Cinta Fattah, Neelofa hanya dalam drama


AKTOR ini tidak pernah mencampuraduk urusan peribadi dan karier sejak bergiat aktif dalam bidang seni sekitar empat tahun lepas.

SUHU termometer hiburan sepanjang minggu ini hangat seketika rentetan gosip cinta antara dua figura popular, Fattah Amin dan Neelofa.

Ia rentetan daripada keberkesanan gandingan kedua-dua pelakon berkenaan dalam drama terbaharu lakonan mereka berjudul Suri Hati Mr. Pilot arahan Michael Ang yang kini sedang hangat disiarkan di Astro Ria (Saluran 104) dan Astro Ria HD (Saluran 123) sejak Isnin lepas.

Tampil memberikan penjelasan bahawa ia sekadar hubungan profesional di set penggambaran baru-baru ini, Fattah atau nama sebenarnya Abdul Fattah Mohd. Amin, 26, turut menjelaskan bahawa setiap gambar yang dipaparkan di laman Instagram masing-masing sebelum ini merupakan salah satu usaha bagi mempromosikan drama berkenaan.

“Seperti mana yang saya katakan sebelum ini, kami cuma rakan biasa. Jadi, setiap dakwaan yang mengatakan kami bercinta sebenarnya sekadar gosip semata-mata.

“Keserasian sesama kami muncul secara natural dan tidak dibuat-buat, selain masing-masing berusaha untuk memberikan yang terbaik seperti mana yang dikehendaki pengarah,” jelasnya.

Ini merupakan kali kedua Fattah digosipkan bercinta dengan rakan artis sebaik hubungannya bersama pelakon, Sherry Ibrahim ternoktah sekitar Ogos lepas selepas dua tahun menyulam cinta.

Sebelum ini, Fattah juga pernah digosipkan bercinta bersama rakan segandingannya dalam drama Ketupat Palas Mr. Handsome iaitu Mira Filzah, namun kedua-dua pihak menafikan perkara berkenaan baru-baru ini.

Dalam pada itu, tatkala ditanya sama ada dia bersedia untuk kembali serius dalam perhubungan, ini jawapan jujur Fattah.

“Saya tidak pernah mencampur-aduk urusan kerja dan peribadi sejak mula-mula menceburkan diri dalam bidang ini.

“Buat masa ini, belum masanya lagi untuk saya bercinta semula kerana banyak perkara lain yang perlu difikirkan.

“Jadi, ada baiknya saya kekal fokus terhadap perkembangan karier terlebih dahulu,” ujarnya.

Post a Comment

Previous Post Next Post