Tatkala nama dan wajahnya menjadi dambaan, segala-gala mengenai Mira Filzah diukur, dinilai secara terperinci dan ditelah biarpun bohong.
Nasib badan bergelar artis, kaki terdorong badan merasa, lidah tergeluncur emas padahnya, pelakon berusia 23 tahun itu terapi diri menelan ungkapan, namun pada masa sama menjawab secara berhemah mengenai video menari Hindustan miliknya yang menjadi viral.
“Pada saya, video menari Hindustan itu biasa. Sebenarnya, banyak lagi isu lain yang dibangkitkan netizen termasuk tidak memakai sarung tangan. Memang saya masuk dalam industri ini sebagai model pakaian Muslimah dan banyak memperagakan jubah. Pada masa sama, saya juga menjadi hos Qari Junior. Disebabkan itu, orang nampak saya berimej jubah sentiasa sedangkan itu tuntutan kerja,” jelas Mira yang mengaku dirinya merupakan penari kebudayaan sejak di bangku sekolah sehingga bergelar mahasiswi Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Pelakon Cinta Si Wedding Planner itu sengaja diselak isi sanubarinya. Dilihat daripada riak wajahnya, perasaan gusar disalahertikan terpancar tanpa perlu bibir melontar kata.
Namun, di sebalik sikap berubah yang diramal banyak mata, dia tetap Mira Filzah yang sama. Ada batas yang dijaga.
“Mereka mengatakan saya sudah berubah, tetapi sebenarnya tidak. Bila berlakon tidak memerlukan saya untuk memakai jubah sentiasa. Saya akan pakai jeans atau seluar dan memang diri saya seperti itu tetapi mereka di luar tidak faham. Susah sebenarnya nak puaskan hati semua orang,” jelas Mira yang enggan memikir telahan orang, sebaliknya fokus pada program realiti 3 Juara yang menuntutnya menjadi hos bersama Ammar dan Issey.
Alam terbentang dijadikan guru, sikap tegas yang dimiliki menjadi pendorong untuknya bersungguh-sungguh menggapai apa yang diingini dan bidang pengacaraan salah satu yang bertakhta di hati.
Pemilik nama sebenar Nur Amirah Filzah Badioezaman itu menyifatkan pemilihannya sebagai hos program baharu itu sebagai tempias selepas kejayaannya mengacarakan Anugerah Bintang Popular ke-29 (ABP29) bersama Zizan Razak.
Tidak dibandingkan
PELAKON cantik ini bertuah kerana keluarga sentiasa memberikan sokongan kepada kerjaya seninya selama ini.
“Alhamdulillah, selepas mengacarakan ABP29 Mei lalu, saya dipilih pula mengacarakan program baharu yang saya sifatkan sebagai sebuah program yang sangat menarik.
“Konsep program 3 Juara ini lain daripada program-program realiti TV sebelum ini yang mana ia menampilkan tiga juara bagi tiga kategori iaitu rock, balada dan irama Malaysia.
“Saya terima sebab tertarik pada konsepnya. Tambahan pula ia adalah program realiti baharu dan saya merupakan pengacara pertamanya. Secara tidak langsung, saya akan jadi tanda aras dan tidak akan dibandingkan dengan sesiapa,” ujarnya mengenai program yang mempertaruhkan bakal juara meraih wang tunai sebanyak RM300,000, disiarkan pada malam ini, pukul 9 malam di TV3.
Program 3 Juara turut menampilkan tiga komposer hebat mewakili tiga kategori yang bertanding iaitu Edrie Hashim (rock), Ajai (balada) dan Pak Ngah (irama Malaysia).
Dalam perkembangan lain, Mira baru selesai penggambaran drama 20 episod untuk TV3 yang berjudul Meh Sandar Pada Aku di samping pelakon Aliff Aziz.
Pada 20 Oktober ini pula, dia juga bakal memasuki set penggambaran drama terbaharunya bersama Fattah Amin yang berjudul Cik Serba Tahu.
Biarpun baru berusia 23 tahun, Mira pantas matang dan mencuba pelbagai bidang. Pada masa sama, pendiriannya masih tegas untuk tidak hanyut dalam permainan duniawi.
“Saya masih mengekalkan tiada babak bersentuhan dalam drama tetapi kalau teknik penggunaan kamera okey. Ada beberapa teknik kamera yang saya boleh terima dan semuanya juga atas perbincangan dengan pengarah.
“Daripada kita buat dalam drama, tetapi di luar kita cakap teknik kamera lagi salah. Kalau betul saya tidak buat dan orang luar bertanya mengenai babak intim yang dilakukan, saya sedia jelaskan,” jelasnya ketika ditanya mengenai babak-babak intim yang dilakonkan pelakon berhijab sering mengundang kritikan pedas netizen.
Soal hati Mira
SETAKAT ini Mira Filzah lebih selesa berlakon drama berbanding filem biarpun menerima banyak tawaran ke layar perak.
Belum puas ‘meratah’ skrip-skrip drama yang datang silih berganti terhadap dirinya, pemenang Artis Baru Wanita Popular Anugerah Bintang Popular Ke-29 itu juga tidak pantas menerima tawaran filem yang hadir kepadanya di kala ini.
“Saya rasa belum tiba masanya lagi untuk ke layar perak sebab saya masih baharu. Kalau boleh, filem pertama itu biarlah yang berjaya dan betul-betul puas di hati saya,” ujarnya yang mengaku ada menerima beberapa tawaran filem.
Rugi kiranya soal hati Mira tidak disingkap. Ironinya, takdir dan jodoh belum sampai ke bahagian hidup bekas pelajar cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan Aminuddin Baki, Kuala Lumpur itu biarpun pernah digosipkan dengan beberapa pelakon lelaki sebelum ini.
“Bercinta, belum lagi rasanya sebab saya baru 23 tahun. Tambahan pula, jadual lakonan dan pengacaraan saya sangat padat. Kalau ada masa senggang, saya akan habiskan bersama keluarga dan keluar bersama teman-teman sekolah dan universiti. Walaupun terlalu sibuk, saya kena ada masa untuk mereka.
“Sebenarnya saya bersyukur keluarga sangat faham dengan kesibukan saya walaupun tidak lagi duduk di Bangi, Selangor dengan mereka. Malah, setiap tawaran yang datang juga melalui kata putus keluarga,” ujarnya yang kini tinggal bersama kakak di Jalan Kuching supaya mudah berulang-alik dari lokasi penggambaran yang kebanyakannya di Kuala Lumpur.