Eureka bukan sekadar band biasa


TIGA anak muda ini cuba cari kelainan dalam menampilkan muzik dan imej baharu kepada khalayak.

Biarpun baru setahun jagung menapak dalam industri muzik, tiga jejaka ini memiliki jiwa yang besar untuk membawa nama band mereka, Eureka berada pada satu tahap lebih tinggi.

Bagi yang menyedari salah seorang ahli mereka iaitu Haris Muhamad, dia merupakan bekas gitaris dan vokalis kumpulan Klangit.

Haris bersama Ijoy Fikri dan Raja Hafizee sepakat untuk menubuhkan band Eureka selepas mendapat keserasian tatkala sering melakukan jamming bersama.

Sesuai dengan makna Eureka yang diperoleh daripada bahasa Greek iaitu penemuan dalam satu pencarian, dia berjaya mendapat dua lagi rakan untuk menggerakkan band baharu itu selepas hasrat untuk membawa Klangit lebih jauh terkubur.

“Eureka berbeza dengan band Klangit, namun saya akui sebagai bekas anggota Klangit, secara tidak langsung ia membantu Eureka untuk mendapatkan sokongan daripada kawan-kawan dalam industri,” ujar Haris tanpa berselindung.

Meskipun baharu, Haris bersyukur Eureka kini semakin mendapat tempat di hati peminat-peminat muzik yang cenderung kepada genre rock alternatif.

“Uniknya kami dengan band-band lain kerana kami tiada spesifikasi dalam muzik yang dibawa. Walaupun pada dasarnya rock alternatif, tetapi kami juga memperjuangkan muzik yang bersifat universal. Kami versatil dalam memberi muzik yang selesa di telinga pendengar. Sebab kami sedar, muzik itu luas dan tidak harus diletakkan tembok pemisah,” jelas Haris yang turut membawa imej Eureka dengan cara tersendiri.

Keunikan tersendiri

Mengulas lanjut, kata Haris, dia dan Ijoy serta Peakey akan cuba mencari kelainan dalam pelbagai sudut untuk membawa Eureka ke satu tahap lebih kukuh.

“Kami cuba cari kelainan dalam pelbagai sudut. Contohnya dari segi muzik atau imej yang kami paparkan. Bagaimanapun, kami juga tidak mahu tersasar dengan apa yang sepatutnya.

“Kami cuba lakukan yang terbaik, selebihnya kami yakin peminat-peminat muzik yang lebih layak menempatkan di mana sebenarnya Eureka,” kata Haris yang mempertaruhkan single sulung mereka yang berjudul Kejari Pelangi sebagai langkah pertama Eureka.

Mempertaruhkan single sulung ciptaannya sendiri, Haris turut menggunakan khidmat Li Ol sebagai penulis lirik bagi Kejari Pelangi.

Pada masa sama, Haris juga sedar, band-band yang hadir ke dunia muzik mempunyai misi sama iaitu untuk dikenali dan membawa muzik mereka ke arus perdana. Maka, dia dan rakan-rakan harus berusaha lebih gigih untuk menempatkan diri dalam industri muzik tanah air.

“Kami bertiga sangat gila terhadap muzik. Jadi, memang kami cukup serius dalam membuat lagu-lagu berkualiti. Bagaimanapun, kami tidak mahu terlalu mencuba dalam menghasilkan sesebuah lagu. Disebabkan itu, ketika rakaman lagu, kami akan minta pandangan kawan-kawan yang berpengalaman dalam muzik.

“Kami percaya ada keunikan dalam lagu kami tetapi hanya orang luar yang lebih layak menilai apa yang ada kepada kami,” jelasnya optimis.

Lebih senang membawa karya ciptaan sendiri sebagai pengenalan untuk band Eureka, kata Haris, dia bagaimanapun terbuka menerima karya-karya sentuhan komposer lain.

“Untuk single pengenalan ini, kami suka pendengar mendengar karya sentuhan kami. Pada masa sama, kami juga terbuka menerima karya-karya lain dan kami juga akan terus menghasilkan karya-karya terbaik di masa akan datang,” ujarnya seraya menutup perbualan.

Post a Comment

Previous Post Next Post