Wajah Dafi kembali ceria


Penyanyi dan pelakon, Dafi semakin pulih daripada penyakit Bell’s Palsy yang menyebabkan wajahnya menjadi senget seolah-olah diserang angin ahmar sejak sebulan lalu.

Dafi, 28, berkata, dalam tempoh itu dia turut menjalani rawatan kerana pada awalnya bimbang ia ada kaitan dengan angin ahmar.

“Pada mulanya, saya agak panik apabila wajah tiba-tiba menjadi senget kerana bimbang saya diserang angin ahmar. Bagaimanapun, doktor memaklumkan ia adalah Bell’s Palsy yang menyebabkan wajah menjadi senget akibat ada saraf yang trauma,” katanya.

Menurut Dafi, doktor memaklumkan ia berpunca akibat tekanan kerja dan kurang rehat.

Dafi berkata, doktor turut memaklumkan penyakit itu kebiasaaanya mengambil masa hingga tiga bulan untuk sembuh.

“Saya bersyukur kerana tidak sampai sebulan, wajah saya beransur pulih dan kembali normal.

“Seperkara lagi yang membuatkan dia tenang ialah kerana penyakit itu tidak membuatkan saya rasa sakit, sebaliknya hanya kelihatan dari riak wajah yang tidak selari,” katanya.

Bagaimanapun, Dafi mengakui penyakit itu mengganggu perjalanan kerjayanya tetapi ia masih mampu dikawal.

“Memang sedikit mengganggu, namun dengan adanya keluarga dan rakan-rakan yang sentiasa memberikan semangat, saya tidak terlalu tertekan.

“Dalam tempoh itu juga, saya kerap hadir ke majlis-majlis kerana tidak mahu keyakinan saya untuk berdepan dengan orang ramai terjejas,” katanya.

Kini, Dafi masih lagi menjalani rawatan hiperberik untuk memastikan saraf wajahnya kembali normal.

“Doktor juga menasihatkan saya supaya mendapatkan rehat secukupnya dan bersenam supaya penyakit itu tidak kembali,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post