Jiwa klasik Ushera


Lagu klasik Melayu mungkin kurang mendapat perhatian pendengar.

Namun, masih ada kelompok peminat genre ini dan pastinya mereka rindu mendengar lagu klasik didendangkan semula.

Yakin masih ada permintaan, penyanyi Ushera memilih memperjuangkan lagu genre ini.

Tampil dengan album Semalam di Malaya, Ushera mengalunkan 11 lagu klasik yang diberi nafas baru namun masih mengekalkan lenggok dan muziknya.

Biarpun sedar tidak mudah untuk menyanyikannya, Ushera tiada masalah kerana melihat peminat begitu suka setiap kali dia mempersembahkan lagu sebegitu.

“Saya sedar tidak mudah menyanyikan lagu seperti ini. Banyak kajian perlu saya lakukan, malah untuk menyanyikan semula tanpa mengubah susunan muziknya tidak mudah.

“Saya perlu menyanyi dengan muzik asal namun mengikut lenggok dan gaya sendiri. Ia satu cabaran besar buat saya.

“Biarpun sukar ketika rakaman, saya suka kerana lagu sebegini sudah sebati dengan diri,” kata pemilik nama sebenar Fadzilah Yusof ini.

Tidak hanya fokus menyanyi, Ushera juga berharap dapat beraksi dalam teater muzikal satu hari nanti. Ini kerana baginya menyanyikan lagu klasik sama susahnya dengan menjayakan teater.

Oleh itu, dia yakin genre pilihannya itu akan membuka lebih ruang kepadanya mengembangkan bakat di pentas teater.

“Menyanyikan lagu klasik kadangkala memerlukan saya banyak berinteraksi. Keinginan untuk menjayakan teater muzikal sudah lama ada.

“Insya-Allah jika ada peluang itu apa salahnya saya mencuba,” katanya.

Ushera sebelum ini menyanyi lagu jaz di kelab selain aktif menulis lagu.

Post a Comment

Previous Post Next Post