Tasha Shilla masih seperti dahulu


Selepas hampir satu tahun berehat, Tasha Shilla kembali mewarnai persada seni tanah air.

Ketika awal kemunculan pelakon, Tasha Shilla di dalam arena lakonan tempatan, ramai yang melihat bakat serta potensinya bakal meletakkan wanita ini sebagai pelapis muda industri seni.

Namun, dalam keghairahan menuju puncak kejayaan, Tasha atau nama sebenarnya, Natasha Sheila telah dilambung ombak kontroversi sehingga dia mengambil keputusan memperlahankan karier seni bagi memberi ruang kepada diri sendiri.

Selepas hampir setahun berehat, Tasha kembali aktif seraya mengakui peristiwa putus cinta serta kontroversi banyak mematangkan dirinya.

Bagaimanapun, wanita berusia 29 tahun ini pantas menegaskan, dia masih sama seperti dahulu dan tiada perubahan drastik yang berlaku kepada dirinya.

KOSMO!: Bagaimana keadaan anda selepas segala kontroversi yang menghimpit diri sejak kira-kira setahun dahulu?

TASHA: Alhamdulillah, saya banyak belajar daripada pengalaman dan semuanya mematangkan saya sebagai seorang individu dan juga anak seni. Saya tidak pernah menyesal dengan apa yang berlaku kerana setiap yang ditentukan Tuhan itu pasti ada hikmahnya.

Jika dilihat pada laman sosial anda, seperti anda sudah kurang menonjolkan diri dalam pakaian seksi. Adakah itu bermakna anda sedang dalam proses ke arah penghijrahan?

Saya masih seperti dulu dan tiada apa yang berubah kecuali cara pemikiran. Bukan bermaksud saya tidak berfikir ke arah yang lebih baik tetapi buat masa ini, saya selesa dengan keadaan diri sekarang.

Apakah yang anda pelajari daripada semua gosip-gosip yang pernah singgah dalam hidup anda?

Saya belajar untuk sentiasa muhasabah diri dan tidak cepat menuding jari kepada orang lain. Saya mengaku salah silap dan jika perlu meminta maaf, saya akan melakukannya tanpa sebarang paksaan. Bagi saya, buat apa hendak berpura-pura menjadi seorang kononnya suci jika hakikatnya kita sebagai manusia memang tidak sempurna. Sekarang setiap apa dilakukan, saya akan tetapkan niat kerana Allah.

Sudahkah anda mempunyai pengganti kekasih selepas putus cinta?

Setakat ini, pintu hati saya masih tertutup untuk kembali bercinta. Biarlah saya belajar menyayangi diri sendiri terlebih dahulu sebelum memberi ruang orang lain mencintai saya.

Pengalaman lalu membuatkan saya serik dan sedikit trauma. Justeru, saya akan lebih berhati-hati dalam soal cinta dan jodoh.

Bagaimana dengan perancangan kerjaya anda sekarang?

Saya kini sedang menjalani penggambaran drama bersiri Diari Cinta Kita dan akan terlibat dengan pementasan teater Putera La Galigo pada bulan Disember depan.

Sekarang saya mahu membina kembali kerjaya sama seperti ketika awal kemunculan dalam persada seni.

Cukup rasanya saya hilang fokus kepada perkara tidak penting dan mahu mencari semula minat terhadap lakonan yang pernah saya miliki dahulu.

Boleh kongsikan tentang pementasan teater yang anda terlibat itu?

Ini adalah kali kedua saya terlibat dengan teater selepas Takhta Tiga Ratu pada 2014. Pada mulanya saya agak keberatan kerana masih terikat dengan penggambaran Diari Cinta Kita tetapi selepas membuat perbincangan dengan pengarah Dr. Rosdeen Suboh, pihak produksi memberi sedikit kelonggaran kerana mereka berlatih pada waktu malam. Sebaik sahaja saya selesai penggambaran, saya akan terus ke sesi latihan teater.

Teater menuntut komitmen yang tinggi, adakah anda pasti dapat memberikan sepenuh perhatian dengan jadual kerja agak padat?

Ia akan menjadi satu cabaran buat diri tetapi saya rasa pengorbanan waktu akan berbaloi kerana timbul perasaan rindu hendak berlakon teater.

Kepuasan yang saya dapat apabila berada di pentas teater sangat berbeza berbanding berlakon di layar televisyen. Saya akan memberikan yang terbaik walaupun sedikit kepenatan daripada pihak saya.

Post a Comment

Previous Post Next Post