NABIL Ahmad sudah kembali sihat selepas tiga hari dimasukkan ke hospital.
Pengacara dan pelawak popular, Nabil Ahmad, 33, mengakui fikirannya sentiasa tertumpu kepada soal kerja ketika dimasukkan ke hospital pada Selasa lalu selepas mengalami cirit-birit dan demam kerana terlalu penat bekerja.
Nabil berkata, sepanjang tiga hari terlantar, fikirannya gusar memikirkan tanggungjawab mengendalikan program realiti popular, Gegar Vaganza musim ketiga (GV3) dan beberapa komitmen lain yang sudah dipersetujui terlebih awal.
"Saya risau memikirkan pelbagai komitmen sepanjang minggu ini.
Tidak hanya terbabit sebagai pengacara GV3, saya juga menerima beberapa undangan persembahan lain membuatkan saya serba salah jika terpaksa membatalkan kemunculan.
"Saya merayu kepada doktor supaya memberikan rawatan terbaik kerana mahu segera sembuh.
Alhamdulillah, selepas mendapat rehat yang cukup dan keadaan kesihatan mulai pulih, saya dibenarkan keluar tengah hari semalam.
Sebaik saja keluar hospital, saya terpaksa bergegas menghadiri satu mesyuarat penting.
"Jadual saya terlalu padat, malah sepanjang hari ini saya terikat dengan latihan sempena persembahan pembukaan GV3 yang bermula esok (Ahad).
Syukur kerana saya kini kembali bertenaga untuk meneruskan kerja," katanya.
Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2008 itu bagaimanapun, terkilan kerana perancangannya untuk membawa isteri dan anak-anak bercuti pada minggu lalu terpaksa dibatalkan.
"Jadual saya penuh hingga Disember ini dan apabila mendapat cuti, saya pula terpaksa masuk.
Hanya itu masa yang ada untuk saya bersama keluarga dan berhasrat membawa mereka bercuti di destinasi dalam negara.
"Terkilan juga apabila hasrat itu tidak menjadi kenyataan kerana saya jatuh sakit.
Kasihan kepada anak-anak, tetapi saya tidak boleh berbuat apa-apa kerana sudah terikat dengan pelbagai komitmen," katanya. Selain GV3, pengacara program MeleTOP itu bersama Ebby Yus dan Douglas Lim dipilih sebagai mentor untuk program Lawak Solo yang akan memulakan siarannya Jumaat ini.