Gurindam jiwa Nadiya Nisaa


MASIH AKTIF - Biarpun masih terkesan dengan kehilangan bayi dalam kandungan sekitar September lalu, namun Nadiya kembali bangkit mengumpul semangat untuk aktif berlakon.

SEJENAK melihat tubuh kecil milik aktres berbakat besar Nadiya Nisaa, hanya cerita tentang keberkesanan lakonannya yang terpahat dalam kotak fikiran.

Jarang sekali mendengar khabar yang kurang enak mengaitkan aktres filem Love Supermoon itu dari segi reputasi mahupun kontroversi. Cuma, sejak akhir-akhir ini terdapat kisah duka dan bahagia yang mewarnai ruang lingkup perjalanan hidup Nadiya atau nama sebenarnya, Nadiyatul Nisaa’ Kamaruddin.

Dalam keterujaan menyambut kehadiran orang keempat dalam keluarga, Nadiya diuji apabila bayi dalam kandungannya disahkan meninggal dunia saat usia kandungan memasuki angka lapan bulan.

Meskipun tamparan itu cukup hebat buat dirinya, namun masih terdapat sinar yang menanti menyuluh jalan kelam itu agar kembali bercahaya. Biar belum pulih daripada kisah kehilangan itu, peminat dikhabarkan dengan berita gembira apabila pelakon filem tersebut membuat keputusan mengenakan hijab pada pertengahan September lalu.

Hijrah

Dalam tempoh lebih sebulan selepas berhijrah, Nadiya menafikan keputusan berhijab hadir selepas pemergian bayi dalam kandungan. Sebaliknya, keinginan untuk berubah sudah muncul sejak bulan Ramadan lagi.

“Sebagai seorang wanita (yang diwajibkan menutup aurat seperti dituntut dalam agama), perkara ini tidak boleh dipaksa. “Ibaratnya, saya berada di persimpangan dan berusaha mencari jalan keluar. Lama-kelamaan, Tuhan akan memberikan apa yang dikehendaki apabila tiba masa sesuai.

“Sejak bulan Ramadan lagi perasaan itu sudah datang tetapi saya tidak berkongsi mengenainya kepada peminat. Selepas tragedi kehilangan itu, barulah saya benar-benar berhijab iaitu pada sambutan Hari Raya Aidiladha lalu,” ujarnya yang berharap perubahan itu akan membimbing dirinya bergelar seorang Muslimah lebih baik pada masa akan datang.

Ditanya, adakah dia akan membataskan atau meletak sebarang syarat untuk watak dalam lakonan, ini jawapan Nadiya: “Saya tidak mahu hijab menjadi penghalang kerana masyarakat perlu faham, apa yang dipaparkan di kaca televisyen hanyalah mainan semata-mata.

“Sebelum ini, saya banyak memegang watak wanita bertudung tetapi bagaimana saya boleh mencipta kemesraan antara suami dan isteri walau tanpa bersentuhan. Ia semua terletak pada keberkesanan dialog dan bagaimana sudut pandang teknik kamera yang digunakan.”

Lakonan

Menyingkap tentang karier seninya, menjelang penghujung tahun ini, Nadiya bakal muncul dengan filem Interchange arahan sutradara tersohor, Dain Said.

Berbicara lanjut tentang peranannya dalam filem yang turut dibintangi rakan artis Shaheizy Sam, Iedil Putra dan bintang dari seberang, Nicholas Saputra serta Prisia Nasution, wanita ini melahirkan rasa teruja. Pada masa sama, dia turut berbangga kerana terpilih menjadi salah seorang penghias filem itu.

“Kalau ada yang terbaik, sudah tentu semua akan berebut-rebut untuk mendapatkan watak dalam naskhah berkenaan. Tidak terkecuali buat diri ini apabila berjaya terpilih kerana terdapat ramai pelakon tersenarai sebagai calon.

“Apa yang saya suka tentang filem dan watak ini tentu sekali kerana ia berkisar seorang puak Orang Asli yang masih hidup walau sudah berusia 200 tahun. Realitinya, ia mustahil berlaku,” ujarnya. Dia memegang watak Sani yang merupakan salah seorang ahli daripada suku kaum Orang Asli Borneo terperangkap dalam budaya asing.

Nadiya yang kelihatan teruja, turut berkongsi pengalaman sepanjang penggambaran membabitkan wataknya. Antara babak yang paling digeruni adalah ketika suku kaum Orang Asli melakukan ritual pembebasan roh.

“Sejujurnya, saya mempunyai perasaan skeptikal untuk tidak berlakon dalam filem yang mempunyai ritual pemujaan kerana ia bukan budaya kita sebagai orang Islam.

“Bagaimanapun, apabila diperhalusi dan memikirkan ia hanyalah jalan cerita yang perlu ada untuk menghidupkan naskhah buah fikiran pengarah, saya perlu melakukannya walaupun tidak menggemari berlakon dalam filem hantu atau seram,” ceritanya yang sudah dua kali menjalin kerjasama di layar perak bersama pengarah berusia 59 tahun itu.

Baginya, peluang melibatkan diri dalam sebuah naskhah yang bagus dan dibikin individu hebat tidak terhidang selalu di depan mata. Justeru, dia menolak perasaan gundah-gulana demi memastikan dapat menjiwai watak, sekali gus mendapatkan hasil bermutu.

“Dalam banyak-banyak filem Malaysia yang pernah dibikin ramai sutradara, saya boleh katakan naskhah ini berbeza. Ini kerana ia membawa saya menjiwai perwatakan Sani yang mustahil untuk dilalui manusia pada zaman sekarang.

“Apa yang penting, saya sangat berbangga kerana mengenali Dain, beliau tidak akan memilih karakter wanita dengan sewenang-wenangnya,” ujarnya.

Reda

Cahaya mata kedua yang dikandungnya hampir saja lahir ke dunia sebagai manusia sempurna, namun soal jodoh dan ajal bukan di tangan manusia. Yang nyata, hanya Tuhan yang mengetahui segala sesuatu kejadian mengenai hamba-hamba-Nya.

Ibu kepada seorang cahaya mata, Omar Saiful, 5, ini cukup tabah dan reda dengan tragedi kehilangan menimpanya.

“Itu semua ketentuan Allah. Dia Yang Maha Mengetahui setiap sesuatu kejadian. Sebagai manusia, saya pandang ia sebagai ujian yang akan berlaku kepada sesiapa sahaja. Cuma soalnya sekarang, sama ada kita kuat atau tidak untuk menghadapinya.

“Alhamdulillah, semangat saya sudah kembali pulih perlahan-lahan untuk keluar berdepan dunia luar. Begitupun, saya masih meletakkan sempadan untuk tidak berkongsi lanjut tentang perkara tersebut kepada umum,” ujarnya sambil menguntum senyuman.

Tambah Nadiya, walaupun sudah kembali aktif turun ke set penggambaran, namun buat masa sekarang dia tetap mahu melebihkan keluarga dan diri sendiri.

Post a Comment

Previous Post Next Post