Sherry Ibrahim enggan komen drama lakonan Fattah Amin


Sherry Ibrahim enggan memberi sebarang komen melibatkan bekas kekasihnya, Fattah Amin.

Putus cinta dengan Fattah Amin selepas menyulam cinta selama dua tahun, Sherry Ibrahim mengambil langkah untuk menongkah arus dan tidak mahu lagi toleh ke belakang.

Malah, dia juga enggan membuat sebarang kenyataan tatkala disoal tentang bekas kekasihnya itu meskipun kedua-duanya berada dalam pengurusan yang sama iaitu Myfastyle Creative Sdn. Bhd.

Ketika ini, tidak keterlaluan jika Suri Hati Mr. Pilot dikatakan sebagai drama paling popular mengisi skrin televisyen.

Watak Ejaz Fakhri dan Warda Erina begitu melekat di hati penonton sehingga mereka mahu pelakon-pelakonnya iaitu Fattah dan Neelofa bercinta di alam realiti.

Tatkala disuakan keinginan penonton itu, hanya jawapan no comment yang keluar daripada bibir Sherry.

Pelakon berusia 33 tahun itu juga enggan memberi sebarang komen bila ditanya sama ada dia menonton drama yang kini menjadi siulan ramai penonton itu.

“Saya tidak mahu komen apa-apa,” ujarnya yang kini sedang rancak dalam mempromosikan single sulungnya yang berjudul Seikhlas Cinta.

Sebelum ini Fattah pernah mengeluarkan kenyataan bahawa hubungan mereka masih baik sebagai kawan biarpun sudah berpisah.

Ironinya, bila ditanya akan hubungannya dengan pelakon lelaki itu Sherry sekali lagi enggan memberi sebarang jawapan.

Sebaliknya, pelakon Teduhan Kasih itu lebih senang meluahkan isi hatinya menerusi laman Instagramnya

@sherryibrahim dengan memuat naik kata-kata pujangga dan melankolik.

Dalam perkembangan lain, Sherry tegar mengisi hari-harinya dengan perniagaan produk kecantikan Deeja Cosmetic miliknya. Malah, dia juga bakal mengeluarkan klip video Seikhlas Cinta dan iklan Deeja Cosmetic pada bulan depan.


Pada November nanti, pelakon dan penyanyi berusia 33 tahun ini akan muncul menerusi klip video single sulungnya yang berjudul Seikhlas Cinta.

“Sekarang saya tengah giat menjalankan bisnes produk kosmetik itu. Selain itu, saya juga sedang usahakan untuk lagu sulung saya, Seikhlas Cinta dimainkan di radio. Alhamdulillah, pihak pengurusan turut bantu mempromosikan lagu berkenaan di beberapa program seperti Hlive, Nasi Lemak Kopi O, Wanita Hari Ini dan juga Selamat Pagi Malaysia,” jelasnya bersemangat.

Beto Kusyairy

Sherry juga bersyukur kerana tawaran lakonan tidak putus-putus hadir kepadanya dan terbaharu dia bakal muncul dalam drama Dengan Nama Allah di samping aktor hebat, Beto Kusyairy.

“Saya rasa teruja dan pada masa sama gementar berlakon di samping Beto. Tambahan pula, watak yang diberikan kepada saya agak mencabar. Namun, saya mahu ambil peluang itu kerana Beto seorang pelakon yang cukup berbakat dan jalan cerita drama arahan Murali Abdullah itu juga bagus,” ujarnya mengenai telemovie terbitan Zeel Production itu.

Menurut Sherry, dia membawakan watak bekas pelacur yang menghidap penyakit kanser tahap tiga, sementara Beto pula membawa watak Halim, pemuda yang berpaling daripada agama selepas kematian isterinya.

“Walaupun watak saya mencabar, namun saya bersyukur kerana Murali banyak memberi tunjuk ajar dan membantu saya menjayakan watak tersebut dengan baik,” jelas Sherry yang turut terlibat dalam drama Tuhan Jagakan Dia terbitan A.Aida Production bersama pelakon Afiq Muiz.

Post a Comment

Previous Post Next Post