SUKAR untuk menerobos pergu minda khalayak terutamanya apabila menjana sumber rezeki sebagai anak wayang. Suka atau tidak, memang wujud pandangan skeptikal yang menyifatkan kerjaya selaku anak seni sekadar jalan singkat untuk mencipta pesona serta menuai lubuk mewah, selain menyulam sesuatu yang dipanggil jodoh.
Dek kerana pergu minda yang kononnya pintar menentukan segala-galanya inilah, menjadi punca betapa setiap emosi itu larut bercampur-baur dalam setiap warna dan rasa yang menghilangkan setiap bentuk bahagia yang berbeza.
Bundar mata figura bernama Nadia Brian ini tatkala ditebak sejauh mana kesahihan kisah cintanya bersama aktor berkarisma, Syafie Naswip yang bertebaran meluas di kanvas media sosial baru-baru ini.
Sambil menguntum senyum, pemilik nama sebenar Nadia Najwa Mohamed Rashidi, 25, menyifatkan, ia sekadar gosip mainan anak seni terutamanya apabila bergandingan dalam sebuah repertoir bernama Sape Dari Itali sedikit masa lalu.
“Kami memang rapat, cuma sudah lama tidak bertemu. Jika berhubung sekalipun, ia sekadar mengucapkan selamat maju jaya untuk karier masing-masing,” lenturnya tertawa kepada Sensasi Bintang.
Teman lelaki
Tanpa berselindung, nawaitu Nadia cuma satu iaitu untuk memartabatkan namanya sebagai satu jenama terlebih dulu berbanding sekadar menjaja kisah-kisah cinta.
“Saya berlakon bukan untuk mencari jodoh, sebaliknya kerana minat. Sebab itu, saya sanggup meninggalkan jurusan sains tulen ketika zaman sekolah dan kembali menyambung pengajian dalam bidang teater dan penyiaran di peringkat universiti.
KALAU nak tahu, Nadia sebenarnya seorang yang boyish dan agak cemerkap orangnya.
“Jika ia tetap berlaku sepanjang perjalanan sebagai pelakon selepas ini, saya tidak tahu. Cuma, saya sentiasa mengingati pesan ibu (Husmarita Hussain) supaya jangan mengambil mudah semua perkara,” getus pemegang Ijazah Sarjana Muda Penyiaran Universiti Teknologi Mara itu.
Dihambat perasaan bimbang sekiranya cerita-cerita seperti ini bakal menjejaskan fokus terhadap karier yang baru mencambah mekar sejak setahun lepas, Nadia bagaimanapun mengakui, Syafie memiliki ciri-ciri sebagai lelaki idaman.
“Dia seorang yang kelakar dan petah berbicara, selain memiliki auranya tersendiri. Saya cukup menghormatinya yang tidak pernah mengeluh dan berusaha keras demi keluarga,” ungkapnya yang menginjak usia 25 tahun pada 30 Mei lepas.
Teraju utama drama Sweetie Nanie itu memberitahu, bukan mudah untuk berjuang dalam bidang ini, namun pada masa sama gembira apabila perit-jerih yang terpaksa dihadapi selama ini akhirnya mengundang kepuasan yang sukar untuk diterjemah dengan kata-kata.
“Alhamdulillah, sudah lebih 10 projek dilaksanakan selepas setahun bergiat aktif sebagai pelakon. Masih banyak perkara yang perlu diperbaiki termasuk giat menjalani latihan bagi memastikan segala-galanya sempurna.
“Bukan apa, sebagai pelakon agak sayang jika saya tidak dapat memberikan yang terbaik, tambahan pula pengarah kini ramai yang hebat-hebat. Jadi, segala-galanya perlu mencetuskan impak biarpun tampak remeh seperti menjaga konti dan sebagainya,” ceritanya lagi.
Keluarga & teman rapat
Ungkap anak kedua daripada empat adik-beradik itu, kesukaran rakan-rakan sekuliahnya yang masih berusaha keras untuk dikenali secara komersil juga dijadikan iktibar supaya tidak terlalu selesa dengan apa yang dilaluinya sekarang.
MESKIPUN gemarkan solekan, Nadia sebaliknya lebih selesa tampil secara natural di depan khalayak.
“Keluarga juga gembira kerana saya kini sudah ada sumber rezeki, jadi saya enggan menjadikan karier ini sebagai persinggahan sementara,” getus gadis kelahiran Kangar, Perlis itu.
Nadia yang bakal bergandingan bersama Mira Filzah dalam drama terbaharunya berjudul Cik Serba Tahu selepas ini memberitahu, dia juga tidak pernah mendabik dada termasuk enggan menjalani uji bakat dalam mana-mana drama lakonannya sebelum ini.
“Dengan menghadiri uji bakat, sekurang-kurangnya saya dapat mengetahui kelemahan diri, selain mengenal pasti watak yang benar-benar sesuai buat saya.
“Secara tidak langsung, tiada sesiapa yang boleh mempertikaikan lantaran saya dipilih menerusi uji bakat. Sama ada berjaya mendapat watak itu ataupun tidak, itu soal kedua,” katanya yang turut bakal menjalani uji bakat filem pertamanya dalam waktu terdekat.
Nadia yang akan terlibat dalam pementasan teater Mak Cun D’walei di Istana Budaya, Kuala Lumpur bermula bulan depan menjelaskan, dia bertuah kerana selain keluarga, hubungannya bersama rakan-rakan baik sejak zaman sekuliah juga kekal akrab sehingga sekarang.
“Persahabatan amat penting buat saya. Biarpun sudah jarang berjumpa, sekurang-kurangnya ia menerbitkan aura positif dan tahu boleh berkongsi segala-galanya atas dasar percaya.
“Sahabat baik juga tahu baik buruk kita, namun pada masa sama tidak akan memaksa sesuatu yang kita tidak suka,” jelasnya yang turut bersahabat baik dengan beberapa rakan artis seperti Reen Rahim, Ainul Aishah dan Puteri Aishah.
Peminat
Teruja dengan perjalanan kariernya yang semakin berkembang termasuk kini berada di bawah pengurusan Uprising Entertainment, Nadia bagaimanapun mengakui, belum tiba masanya untuk memiliki kelab peminatnya sendiri.
“Dahulu pernah ada kelab peminat iaitu Nadia Lovatic, cuma ia tidak begitu aktif. Tambahan pula, saya masih dianggap baharu dan tidak pernah menganjurkan sebarang aktiviti bersama peminat sebelum ini.
“Jadi, saya mendekati peminat dengan menghadiri karnival terbuka seperti Jom Heboh dan Syukur Selalu. Insya-Allah, jika tiada aral melintang, mudah-mudahan kelab peminat saya akan kembali aktif selepas ini,” ujarnya menoktah bicara.