Cico Hararap dan anak perempuan tunggalnya.
LAMA tidak muncul di kaca TV, pelakon Cico Harahap mengakui masih lagi ada dalam bidang seni dan tidak pernah berhasrat untuk bersara daripada dunia lakonan.
Menurut Cico, biarpun masanya kini banyak dihabiskan di Terengganu kerana terikat dengan pekerjaan tetapnya membangunkan projek Tasik Kenyir, dia tidak mempunyai masalah menerima sebarang tawaran berlakon.
“Jadual kerja saya di sana agak fleksibel, jadi jika terlibat dengan penggambaran, saya boleh aturkan kerja di sana mengikut keperluan.
“Lagipun, saya memang sering berulang-alik di antara KL-Terengganu dalam dua minggu sekali untuk menjenguk ibu dan anak saya,” kata anak kepada penyanyi, Uji Rashid ini.
Bagaimanapun, kata Cico atau nama penuhnya Ezzaq Farrouq Harahap, bukan semua tawaran berlakon yang datang diterimanya bulat-bulat sebaliknya dia memilih watak yang berlainan daripada apa yang pernah dilakukannya sebelum ini.
“Kalau boleh saya tidak mahu lakukan perkara yang sama secara berterusan terutamanya dalam konteks watak yang kebanyakannya masih tidak berubah.
“Jadi biarlah saya memberi laluan kepada pelakon-pelakon baru yang ada ini untuk mengisi peranan itu, sementara saya menunggu watak berbeza yang tidak pernah lakonkan sebelum ini” ujarnya yang kali terakhir muncul dalam drama Budak Magik.
Berkongsi tentang perkembangan terbaharunya, kata Cico, dia kini banyak menumpukan perhatian dan kasih sayang dalam membesarkan anak tunggalnya, Rindu Nur Fitrah, 7.
“Walaupun mama banyak membantu saya menguruskan anak terutamanya ketika saya bekerja di luar KL, saya sedaya upaya berusaha memenuhi tanggungjawab sebagai bapa dengan sebaiknya.
“Jika ada kesempatan, saya selalu juga membawa Rindu Nur Fitrah ke Terengganu dan menghabiskan masa bersama-sama,” katanya.
Biarpun banyak berada di Terengganu berbanding Kuala Lumpur kerana tuntutan kerja, Cico tidak pernah berhasrat untuk berpindah ke negeri itu.
“Saya tidak pernah terfikir untuk berpindah kerana kehidupan kami memang tinggal di KL dan mama pun masih lagi aktif dengan aktiviti seninya selain urusan keluarga yang kebanyakannya di sini.
“Saya tidak pernah melihat situasi sekarang sebagai satu masalah kerana diam tidak diam, sudah tujuh tahun saya bekerja di Terengganu," katanya.
Cico yang juga seorang bapa tunggal mengakui kehidupannya kini tenang dan tiada sebarang masalah.