Sokongan peminat setia terhadap Elly pada program Gegar Vaganza membuatkan penyanyi ini menguatkan semangat untuk membuat yang terbaik setiap minggu.
RATA-RATA yang mengikuti industri hiburan tanah air, pasti maklum dengan kisah kehidupan penyanyi Elly Mazlein yang mendapat liputan media selepas dia bergelar ibu tunggal. Apatah lagi selepas muncul semula isu punca pergolakan rumah tangganya baru-baru ini, namanya antara yang hangat diperkatakan umum.
Hari ini, masuk minggu ketiga konsert persembahan program Gegar Vaganza yang disertainya. Selain sering mendapat pujian daripada juri dalam setiap nyanyiannya, apa yang lebih menarik perhatian umum apabila lagu-lagu yang diberikannya pada pertandingan itu seolah-olah menggambarkan perjalanan kisah hidupnya.
Bahkan, selepas selesai mendendangkan lagu Berpisah Jua yang merupakan lagu asal Ziana Zain, tugasan minggu ini pula dia diberikan judul Perawan Atau Janda nyanyian asal penyanyi Indonesia, Cita-Citata.
Ditambah pula dengan jenaka hos program tersebut, Nabil Ahmad yang turut mengusik penyanyi itu dengan mengatakan kehairanannya terhadap Elly yang tetap ditinggalkan biarpun punya paras yang cantik sambil merujuk kepada lagu berjudul Berpisah Jua.
Situasi itu secara tidak langsung menimbulkan cakap-cakap orang bahawa program itu seolah-olah mahu ‘mengenakan’ dirinya. Sungguhpun begitu, pelantun lagu hit Bungaku Bakawali itu tidak pernah mengambil apa yang berlaku itu sebagai sesuatu yang serius, malah melihat perkara tersebut dari sudut positif.
“Tidak. Saya tidak anggap begitu (mengenakan saya). Saya anggap apa yang diberikan kepada saya itu sebagai satu cabaran. Jadi, dalam hidup ini janganlah sensitif sangat.
“Memang kalau diperhatikan, lagu pertama (Usah Ditambah Bara Yang Tersimpan) memang lagu mengisahkan diri saya, lagu kedua (Berpisah Jua) pun macam kisah saya, selepas itu lagu untuk minggu ketiga dapat pula Perawan Atau Janda,” jelasnya.
Menurut Elly, apa jua lagu yang diberikan kepadanya akan dilaksanakan sehabis baik. Cuma, sebagai insan biasa, dia juga tidak dapat lari untuk menafikan emosi dan perasaan yang ditanggungnya selama ini. Jadi, sedikit sebanyak, emosinya turut ‘terpukul’ dengan lagu-lagu yang mengisahkan dirinya itu.
“Setiap minggu lagu macam kisah diri saya. Sebelum menyanyi itu memang saya takut tidak boleh tahan emosi. Macam menyanyi depan cermin, ibarat kena ‘bom’ depan muka sendiri.
“Walaupun cerita dalam lagu itu sangat kisah saya, tapi sokongan peminat yang berada dalam dewan itu membuatkan saya terus kuat sebenarnya. Saya cakap kepada diri jangan menangis,” kongsi ibu kepada Putri Sara Sefhia yang kini berusia tujuh bulan.
Dalam pada itu, Elly turut berdepan keadaan kesihatan yang tidak begitu mengizinkan sejak minggu pertama lagi. Bahkan, menjelang konsert minggu ketiga malam ini juga, keadaan kesihatannya masih lagi belum begitu stabil.
Sungguhpun begitu kata Elly, dia tidak mahu menjadikan perkara itu sebagai alasan untuk dia tidak memberikan yang terbaik. Biarpun faktor kesihatan itu ada kalanya dilihat sebagai bonus buatnya dalam meraih simpati umum, Elly tidak mahu mengambil kesempatan ke atas perkara itu.
“Kita kena terima perkara itu. Apabila jadi seperti ini, secara tidak langsung orang memang kesian kepada saya. Itu saya tidak nafikan.
“Atas sebab itu juga, saya kata semua ini ada hikmah, tapi tak mahu ambil kesempatan. Sebab itu walaupun sakit, saya tak mahu ambil tugasan yang diberikan secara sambil lewa. Sebolehnya cuba berikan yang terbaik,” katanya.