Nadiya Nisaa reda ketentuan takdir


BARU sahaja melalui episod ‘hitam’, pelakon popular, Nadiya Nisaa terus tabah meneruskan kehidupan.

Berazam untuk terus kekal positif, selebriti berusia 31 tahun ini mengakui pandangannya mengenai erti kehidupan turut berubah.

“Alhamdulillah, saya percaya di sebalik apa berlaku, ada cahaya yang menanti. Saya tahu, setiap dugaan, sama ada baik atau buruk, pasti ada hikmahnya.

“Kejadian ini turut mengajar saya agar lebih menghargai,” katanya secara eksklusif kepada Sinar Harian.

Pemilik nama sebenar, Nadiyatul Nisaa’ Kamaruddin ini melalui detik cemas dan menyedihkan apabila bayi dalam kandungannya yang berusia 37 minggu disahkan meninggal dunia, pada akhir Julai lalu.

Lebih memilukan, ini kehamilan keduanya selepas hampir lima tahun menunggu.

Isteri Saiful Razman Mohd Kassim dan ibu kepada Omar ini sepatutnya melahirkan cahaya mata keduanya pada 15 Ogos lalu.

“Jujurnya, saya tidak mengalami apa-apa tanda ketara sehingga membawa kepada kematian bayi di dalam kandungan.

“Bahkan, saya sentiasa memenuhi jadual pemeriksaan kesihatan dengan doktor selain ada mengambil vitamin serta makanan tambahan untuk ibu dan bayi.

“Ketika kejadian berlaku, saya sedang menjalani rawatan susulan dan tiba-tiba doktor mengesahkan bayi tiada degupan jantung,” katanya.

Mengakui sedih dan terkejut, pelakon drama bersiri Adam & Hawa ini bagaimanapun reda dengan ketentuan yang ditetapkan ALLAH SWT.

“Doktor tidak dapat mengenal pasti punca sebenar kematian bayi saya. Jadi, tumpuan segera beralih kepada saya.

“Proses melahirkan perlu dilakukan kerana usia bayi cukup 37 minggu, bahkan saya juga boleh bersalin secara normal.

“Walaupun sedih, saya perlu mempersiapkan diri secara mental dan fizikal untuk bersalin,” katanya sebak.

Lebih menyentuh hati, bintang filem Love, Supermoon ini turut menerima sokongan padu daripada orang-orang di sekelilingnya.

“Alhamdulillah, suami dan semua ahli keluarga sangat membantu. Saya tahu, mereka juga sedih, tetapi semuanya tetap positif dalam menghadapi musibah.

"Saya juga mendapat kata-kata semangat daripada rakan-rakan dan peminat walaupun mereka hanya mengetahuinya menerusi media.

"Saya mahu mereka tahu, saya membaca semua perkongsian kisah yang dititip menerusi media sosial.

"Saya sangat bersyukur dan secara tidak langsung, ia secara perlahan-lahan membantu memulihkan kembali semangat saya untuk terus mengharungi hidup,” katanya yang tamat tempoh berpantang pada 12 September lalu.

Tampil berhijab

Dalam usaha menjadi seorang wanita yang ‘segar dan baharu’, Nadiya tampil berhijab, sejak Ramadan lalu.

Secara tidak langsung, situasi itu meletakkan bintang filem Jejak Warriors ini sebagai titik permulaan baharu ke arah wanita Muslimah yang lebih diredhai-Nya.

“Entah kenapa, perasaan saya sungguh syahdu sepanjang Ramadan lalu.

“Dan sebenarnya, terdapat surah ringkas yang benar-benar meruntun hati saya iaitu surah Al-’Asr (Demi Masa).

“Surah itu menyedarkan saya mengenai kepentingan masa dan selama ini saya berada dalam kerugian kerana tertinggal pelbagai perkara penting yang membawa kebaikan dalam hidup," katanya.

Sehubungan itu, teraju utama filem Gila Baby ini nekad untuk mendekatkan diri dengan agama.

"Ketika itu, saya berusaha untuk berubah sedikit demi sedikit. Saya bertudung kerana ALLAH SWT sudah membukakan pintu hati saya.

"Saya kerap menghabiskan masa dengan membaca buku dan menonton pelbagai rancangan berunsur ilmu agama seperti ceramah.

"Sebagai hamba-NYA, saya berusaha untuk memenuhi tuntutan agama yang hakiki," katanya.

Lebih menyayat hati, Nadiya mula berhijab sepenuhnya sewaktu menghadiri pemeriksaan kesihatan bulanan kandungannya.

Bagaimanapun, pelakon drama bersiri Aku Bukan Bimbo ini diuji dengan kehilangan anak keduanya apabila disahkan meninggal dunia dalam kandungan.

Dalam perkembangan lain, Nadiya kini sibuk mempromosikan filem terbaharunya, Interchange arahan Dain Said yang bakal ditayangkan di pawagam pada 1 Disember ini.

"Saya juga baru saja tamat menjalani penggambaran telefilem Kari Sanjana sempena sambutan Deepavali hujung bulan ini," katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post