Nora Ariffin Sedia belajar benda baharu


PENYANYI terkenal era 90-an, Nora Ariffin menyifatkan penyertaannya menerusi program realiti, Gegar Vaganza musim ketiga (VG3) sebagai 'lokasi' bagi menimba ilmu baharu dalam bidang nyanyian.

Bahkan, pemilik nama penuh Wan Norafizah Ariffin ini bersedia untuk menerima arus pembaharuan meskipun sudah berpengalaman lebih 20 tahun dalam industri.

"Hari ini, perkembangan industri muzik sudah berubah sama sekali. Tidak sama macam 10 tahun lalu.

"Seeloknya, zaman kegemilangan itu dijadikan sebagai pengalaman.

"Dan, saya juga bukanlah seorang yang berlagak diva untuk tidak menerima arus pembaharuan," katanya ketika ditemui selepas pelancaran program realiti berkenaan, baru-baru ini.

Rentetan itu, penyanyi berusia 43 tahun ini mengakui sudah bersedia daripada segi mental dan fizikal untuk menerima sebarang kritikan.

"Saya akur dengan konsep yang diketengahkan dalam GV3. Saya rasa ia menarik kerana bakal menguji tahap kemampuan saya.

"Lagipun, saya tidak kisah sekiranya dikritik asalkan ia merupakan komen yang membina dan tidak keterlaluan.

"Secara tidak langsung, ia juga dapat membantu untuk meningkatkan keupayaan saya dalam bidang nyanyian," katanya.

Menurut pelantun lagu Hadirlah Kekasih ini lagi, sebagai artis, seni adalah perjuangan utamanya.

"Saya menjadi pemerhati program pertandingan ini sejak musim pertama lagi. Tahun lepas ada tawaran cuma saya belum bersedia.

"Lagipun masa itu ada kawan-kawan artis dan bukan artis menasihatkan saya agar tidak terima tawaran ini kerana kata mereka, nanti jatuh standard.

"Namun, apabila sekali lagi tawaran datang untuk GV3, saya sudah fikir bulat-bulat untuk menerimanya," katanya.

Pada masa sama, Nora turut meletakkan dirinya sebagai penghibur.

"Saya tidak anggap GV3 ini sebagai satu pertandingan. Saya juga tidak takut kalah.

"Lagipun, industri muzik kita ini kecil sahaja, jadi saya ambil peluang ini untuk sahut cabaran apatah lagi sebagai penghibur harus sedaya upaya menerimanya.

"Bahkan, saya juga sudah bersedia untuk menerima tugasan lagu dalam pelbagai genre," katanya.

Nora yang mencipta nama menerusi lagu Di Persimpangan Dilema turut menganggap GV3 sebagai platform bagi semua artis era dahulu untuk kembali bersinar di pentas nyanyian.

"Saya tidak pernah menganggap GV3 akan menjatuhkan standard seseorang penyanyi.

"Lagipun, generasi hari ini, tidak tahu apakah kehebatan seseorang artis senior itu.

"Tambahan pula, artis-artis lama ini tiada platform. Jadi, inilah pentas dan peluang untuk tunjuk kehebatan masing-masing," katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post