Representasi Lydiawati kaji tuduhan ditolak


PEJABAT Peguam Negara menolak representasi pelakon era 1990-an Lydiawati bagi mengkaji pertuduhan mencederakan seorang peniaga wanita warga Brunei, yang dihadapinya.

Berikutan itu Mahkamah Majistret Ampang di sini hari ini menetapkan 23 dan 24 Jan tahun depan untuk perbicaraan kes Lydiawati, 51, yang didakwa menyebabkan kecederaan terhadap Sharifah Harnizam Wan Musa, 43, di Hotel Safari 2, Lot 52, Jalan Mamanda 9, dekat sini, jam 6.30 petang, 24 Mac lalu.

Majistret Haslinda A Raof menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Norhashimah Hashim memaklumkan representasi yang dikemukakan Lydiawati atau nama sebenarnya Salina Zaimon pada 2 Sept lepas ditolak Pejabat Peguam Negara.

Lydiawati yang diwakili peguam Fatimah Zahrah Ramli didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika disabitkan kesalahan.

Sebelum ini, pada 25 Mac lalu Lydiawati telah memuat naik dua video yang berdurasi 1.02 minit dan 1.29 minit yang memaparkan dia memukul seorang wanita di laman Facebook sehingga menjadi viral.

Post a Comment

Previous Post Next Post