Myo, Wak Doyok tawan Jepun


WAK DOYOK dan Myo bergambar kenangan bersama kru produksi di salah sebuah tempat yang dilawat di Jepun.

Selepas kejayaan memberangsangkan dicipta menerusi rancangan travelog Ke Korea Ke Kita? dan Ke Indonesia Ke Kita?, kini penonton dibawa pula ke Jepun dengan musim baharu berjudul Ke Jepun Ke Kita?

Masih mengekalkan dua hos sama iaitu Wak Doyok dan Myo (vokalis kumpulan Oh Chentaku), keserasian yang wujud dalam dua musim sebelum ini meyakinkan penerbit untuk kembali menemukan mereka bagi edisi ke negara matahari terbit pula.

Pengalaman ketika berada di Korea Selatan dan Indonesia pada musim lalu memberi banyak pengalaman kepada Wak Doyok serta Myo sehingga mereka kini selesa mengembara bersama berbanding ketika pertama kali digandingkan.

“Untuk musim ketiga di Jepun, persahabatan kami lebih erat jika dibandingkan sewaktu kali pertama bertemu untuk penggambaran di Korea dahulu.


Myo dan Wak Doyok bersama artis jemputan iaitu Mawar Rashid (kiri sekali) dan Ruhainies (kanan sekali).

“Rasanya tidak banyak beza bagi musim ketiga ini kecuali lokasinya kerana kami diberi kebebasan menjadi diri sendiri dan itu yang membuatkan rancangan ini lebih seronok untuk ditonton,” kata Myo ketika mengulas tentang pengalaman penggambaran Ke Jepun Ke Kita?

Cabaran dan pengalaman

Memasuki musim ketiga, konsep yang ditampilkan kekal serupa apabila Myo dan Wak Doyok diberikan pelbagai cabaran serta misi berbeza di beberapa lokasi seperti di Gunung Fuji, Pusat Budaya Islam, Masjid Ibaraki di Osaka, Stadium Kyocera dan Pulau Arnab yang dipanggil Okunoshima.

Menurut Myo, antara tugasan lasak dan permainan mencabar minda yang diberikan pihak penerbit ialah perlu bersaing antara satu sama lain mengelilingi Jepun.

“Setiap negara yang kami kunjungi memberi pengalaman berbeza. Secara peribadi, saya banyak mempelajari tentang adat dan budaya masyarakat luar yang begitu unik.


MYO (kiri) dan Wak Doyok kini bersatu kembali dalam program Ke Jepun Ke Kita?

“Ia menjadi lebih istimewa apabila boleh berkongsi informasi bersama penonton selain membantu mereka mendapatkan panduan seandainya mahu melawat negara tersebut suatu hari kelak,” tutur Myo lagi.

Selain cabaran lasak, mereka juga dapat mempelajari aktiviti kebudayaan yang sinonim dengan negara Jepun seperti seni mempertahankan diri iaitu Judo dan kraf tangan diperbuat daripada kertas dipanggil origami.

Myo dan Wak Doyok juga sempat menghadiri pesta masyarakat Jepun yang terkenal semasa berada di negara berkenaan iaitu Pesta Hamamatsu serta Pesta Namahage.

Untuk edisi kali ini, pihak kru penerbitan Ke Jepun Ke Kita? telah menghabiskan hampir 50 hari di negara matahari terbit itu untuk menyelesaikan 13 episod secara keseluruhan.

Program terbitan Primeworks Studios berkenaan telah mula disiarkan di TV9 bermula 4 Oktober lalu, setiap Selasa pada pukul 10.30 malam.

Post a Comment

Previous Post Next Post