Tuah anak miskin IU


PENYANYI IU hari ini merupakan satu nama yang cukup harum bukan sahaja di negara kelahirannya Korea Selatan, tetapi juga seluruh Asia. Buktinya, majalah Forbes edisi Korea Selatan menyenaraikannya di tangga kesembilan dalam kategori selebriti paling berpengaruh di negara tersebut pada tahun 2016.

Sungguhpun telah berjaya dengan tiga buah album studio, Growing Up (2009), Last Fantasy (2011) dan Modern Times (2013) serta membintangi beberapa buah drama popular, IU tidak pernah melupakan sejarah kehidupannya sebelum bergelar selebriti.

Dalam satu temu bual sebelum ini, IU memberitahu keazaman untuk menggubah nasib keluarga yang dibelenggu kemiskinan sejak kecil menjadi titik tolak kepada kejayaannya hari ini.

Nasibnya mula berubah apabila diterima menjadi pelatih di Good Entertainment sebelum berpindah ke LEON Entertainment pada 2007.

“Kehidupan kami sangat susah sehingga terpaksa tinggal bersama nenek, sementara ibu bapa tinggal di tempat lain mencari rezeki. Kami juga terpaksa bersesak dalam sebuah rumah kecil yang mempunyai hanya satu bilik bersama sepupu.

“Waktu itu, saya lebih suka menghabiskan masa berlatih di studio daripada berada di rumah. Di studio, saya mendapat makanan yang mencukupi serta tidur di atas katil selesa. Berbanding di rumah saya sentiasa kesejukan dan tidak cukup makanan kerana hidup hanya bergantung pada nenek yang menjual aksesori rambut di pasar,” ujarnya tentang kehidupan silamnya.

Bagaimanapun semua itu hanya tinggal sejarah yang menjadikan IU lebih kuat dan cepat matang berbanding usianya 15 tahun ketika muncul sebagai penyanyi. Hari ini IU tidak perlu bimbangkan soal kewangan apabila kekayaannya mencecah RM63 juta (AS$15 juta) pada 2014. Selain penjualan album, IU juga menerima bayaran lumayan sebagai duta pelbagai poduk.

Menyentuh tentang nama pentasnya, jelas IU atau nama sebenar Lee-Ji-eun, nama tersebut dipilih penerbitnya ketika debut dengan single pertama berjudul Lost Child pada 2008. Katanya, I membawa maksud saya dan U adalah anda, kedua-duanya bersatu menerusi muzik.

“Saya selesa dengan nama pentas yang diberikan penerbit. Ia cukup ringkas, bermakna dan paling penting saya amat selesa dengan nama tersebut,” ujar IU yang turut digelar Taylor Swift Korea Selatan.

Perubahan

Memulakan karier pada usia 15 tahun dan digelar Korea’s Lilttle Sister kerana membawa imej sopan serta comel ketika awal kemunculannya, ramai yang tidak dapat menerima hakikat bahawa pada usia 23 tahun IU kini merupakan seorang wanita.


PEMINAT IU amat menghargai peminatnya.Gambarnya sedang membantu peminat melintas jalan pernah dirakamkan tanpa sedar.

Imej comelnya berubah. IU kini tidak kekok apabila diminta berpakaian dan bergaya seksi. Tubuhnya yang sedikit berisi juga bertukar menjadi langsing persis seorang model. Bagaimanapun tubuh IU mendapat kecaman khalayak yang disifatkan seperti orang sakit kerana terlalu kurus.

“Saya tidak rasa diri seksi, tetapi matang sesuai dengan peningkatan usia. Tentang penurunan berat badan, saya selesa dengan apa yang dimiliki hari ini.

“Ramai yang mengkritik saya terlalu kurus, tetapi dalam industri seni anda harus korbankan keinginan untuk makan demi tubuh yang menawan. Sejak terlibat dalam drama, berat badan naik mendadak dan saya perlu menjalani diet untuk menampilkan imej berbeza bagi kerjaya nyanyian,” kata IU.

Bagi mendapatkan tubuh yang langsing, IU menjelaskan dia hanya memakan sebiji buah epal untuk sarapan pagi, kentang buat makan tengah hari dan minuman protin pada waktu malam. Tidak cukup dengan itu, IU juga menjalani senaman ringkas seperti menaiki tangga untuk mengekalkan stamina.

Biarpun dikritik IU tetap kekal positif. Baginya kritikan yang diterima menandakan orang ramai menyayangi dan memberi perhatian kepada dirinya.

“Saya perlu terus melakukan yang terbaik dalam kehidupan dan juga kerjaya kerana tidak mahu mengecawakan peminat.

“Namun, sama seperti orang lain, kadang-kala saya tidak membuat pilihan yang terbaik. Disebabkan orang sekeliling sentiasa meletakkan harapan yang tinggi, ia sukar untuk saya.

“Apapun saya harus kekal berpijak di bumi yang nyata kerana tanpa penyokong, IU tidak akan berdiri kukuh seperti hari ini,” ujarnya.

Kerjaya

Beralih bicara tentang kerjayanya, tutur IU, kejayaan sebagai penyanyi tidak datang dalam sekelip mata. Mini album pertamanya, Lost And Found yang dikeluarkan pada 2008 sebelum album studio pertamanya disifatkan satu kegagalan.


IDOLA IU amat meminati penyanyi Kim Tae-woo yang disifatkan sebagai penyanyi yang hebat.

Bagaimanapun disebabkan kegagalan tersebut, IU lebih menghargai sokongan dan kejayaan yang diraih hari ini.

“Kegagalan pada kemunculan pertama dalam industri seni memberi pengalaman yang begitu mahal harganya kepada saya. Disebabkan kegagalan itu, saya lebih menghargai orang sekeliling seperti pekerja agensi serta mereka yang memberi sokongan,” ujarnya yang popular dengan single Marshmallow, Good Day dan Friday.

Namun, nama IU semakin meledak apabila muncul dengan album studio keduanya Last Fantasy pada 2011. Single berjudul You And I daripada album tersebut berjaya terjual sebanyak tujuh juta unit secara digital hanya dalam tempoh seminggu ia dikeluarkan.

Sejak itu kejayaan demi kejayaan mengiringi langkah IU tanpa henti.

Apa sahaja projek atau lagu yang melibatkan dirinya pasti sukses termasuklah dunia lakonan yang diceburinya pada pada 2011 bermula dengan drama popular Dream High.

Sehinga kini, IU telah terlibat dalam lapan buah drama.

Terbaharu IU membintangi sebuah drama bersiri berjudul Scarlet Heart yang mula bersiaran setiap Isnin dan Selasa pukul 9 malam di saluran One HD Astro.

Scarlet Heart

Drama Scarlet Heart merupakan adaptasi daripada sebuah drama China yang turut menggunakan judul yang sama.

Meskipun bimbang akan perbandingan yang dibuat penonton dengan drama asal, IU yang memegang watak Hae Soo berkata, dia menyahut cabaran dan cuba memberikan lakonan yang terbaik.

“Pada mulanya memang saya agak gementar untuk menerima tawaran tersebut, tetapi ia sebuah karya menarik. Sebelum memulakan penggambaran saya menonton drama asal sebagai persiapan membawakan watak Hae Soo,” katanya.

Disoal adakah dia telah bersedia dengan kritikan peminat yang akan membuat perbandingan lakonannya dengan pelakon asal Cecilia Liu, IU menjelaskan dia tidak akan menerima tawaran tersebut jika tidak bersedia menerima kritikan.

“Pasti akan ada perbandingan, tetapi saya terima tawaran ini dengan minda dan hati yang terbuka. Diharap penonton juga dapat menerima lakonan dalam drama tersebut dan terus memberi sokongan untuk saya kekal maju ke hadapan,” tuturnya optimis.

Post a Comment

Previous Post Next Post