Tutup restoran, Nik Michael kembali ke perniagaan katering


DUA chef selebriti, Chef Nik Michael (kanan) bersama Chef Sarah Benjamin menyertai program Cooking For Love musim ke-2 rancangan Food Channel (AFC) Original Production pada 27 Oktober depan.

Keadaan ekonomi negara yang tidak menentu membuatkan tukang masak selebriti, Nik Michael, terpaksa menutup restoran miliknya, PickNik di Solaris Dutamas, dekat sini.

Nik atau nama penuhnya Nik Michael Imran Nik Ezar, 26, berkata, suasana dihadapi ketika ini membuatkan restoran beliau mengalami penurunan hasil penjualan sehingga 50 peratus.

"Selepas membuat kira-kira, lebih baik saya menutup restoran itu sebelum menanggung kerugian yang besar.

"Masalah ekonomi negara kita yang tidak menentu membuatkan pelanggan tetap saya mula berhati-hati dalam perbelanjaan.

Sebagai contoh, jika mereka datang ke PickNik setiap minggu, ia berubah menjadi sebulan sekali," katanya kepada BH Online.

Selain itu, beliau turut berdepan masalah dengan pembekal makanan yang mengurangkan kuantiti barangan dipesan berbanding biasa.

Bagaimanapun, kata Nik, beliau tidak menyesal dengan keputusan itu dan menganggap ia sebahagian daripada proses jatuh bangun sesebuah perniagaan.

Katanya, jenama PickNik masih wujud, namun ia diteruskan menerusi perniagaan katering, seperti dilakukannya sebelum ini.

"Apabila restoran ditutup dan kembali kepada perniagaan lama, ia mendapat sambutan yang lebih menggalakkan.

"Saya juga mempunyai pasukan yang menggerakkan perniagaan katering ini.

Alhamdulillah, ia mendapat sambutan, terutama bagi majlis tertutup," ujarnya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Nik bersama gandingannya, Sarah Benjamin, bakal muncul menerusi program Cooking For Love yang akan disiarkan menerusi saluran Asian Food Channel (Astro 703) bermula 27 Oktober ini, jam 6 petang.

Post a Comment

Previous Post Next Post