Meskipun Eizlan Yusof dan Vie Shanti Khan sudah bercerai, namun Eizlan akui dia dan bekas isteri masih lagi berhubung sebagai kawan baik dan berbincang perihal anak-anak.
“Rutin saya sekarang ini dipenuhi dengan berlakon, urusan kerja di pejabat dan belajar di salah sebuah universiti awam di utara. Pada masa yang sama juga jika ada masa luang saya akan bawa anak-anak keluar berjalan-jalan.
“Malah, hal itu pun bekas isteri tidak menghalang kerana dia pun seorang yang memahami, pendek kata tidak ada had. Jadi kami berlima ok saja. Cuma tidak ada ikatan sah sahaja, tetapi saya dan bekas isteri masih berkawan dan berbincang tentang anak-anak,” ujarnya.
Eizlan dan bekas isteri juga mengharapkan agar anak-anak mereka mengutamakan pengajian agama dan pendidikan untuk yang terbaik buat diri mereka bila dewasa nanti.
“Sememangnya saya utamakan pelajaran dan agama, jadi dua perkara ini keutamaan saya kepada anak-anak. Alhamdulillah begitu juga dengan bekas isteri, dia pun berkehendakan yang sama. Nampaknya kami ada persefahaman untuk berikan yang terbaik untuk anak-anak kami,” katanya.
Dalam perkembangan lain saksikan lakokan Eizlan menerusi filem Mat Moto Otai arahan Ahmad Idham bemula 6 Oktober ini.