Ayda Jebat, Muahciked Jakarta yang macet


Salam Ahad semua pembaca kolum adik. Harap minggu ini dapat melakukan aktiviti menarik bersama keluarga.

Ayda Jebat
sekarang cuti daripada penggambaran tetapi jadual masih padat dengan aktiviti lain. Tak apalah, sementara masih ada permintaan kenalah gigih dan berusaha keras.

Cerita bab mencari rezeki ini, adik nak kongsi sikit dengan semua pembaca mengenai kehidupan adik di Jakarta, Indonesia.

Sebenarnya, adik baru-baru ini berpeluang ke Jakarta untuk menjalani proses rakaman lagu ketiga adik bersama penerbit, Irwan Simanjuntak, yang juga penerbit Pencuri Hati sebelum ini. Adik sangat berterima kasih dengan kerjasama diberikan Irwan.

Apapun, sekarang adik belum terfikir nak cerita mengenai lagu sebab semuanya masih lagi dalam proses pembikinan.

Cuma adik rasa mereka yang sudah ke Jakarta mesti tahu apa masalah utama di sana. Betul, tekaan itu. Kesesakan jalan raya.

Di Jakarta, perkataan diguna pakai untuk jalan yang sesak ialah macet. Aduh.. Macet! Macet! Macet! Kenderaan yang begitu banyak dengan keadaan jalan agak sempit membuatkan keadaan menjadi lebih sesak.

Namun begitu, ia adalah sumber rezeki yang boleh dikatakan lumayan di sana kerana kebanyakan penduduk di Jakarta bekerja sebagai pemandu teksi, penunggang motor ojek dan lain-lain.

Semua ‘golongan pemandu’ di sana boleh dilabel ‘hebat’! Kenapa adik kata hebat? Sebabnya mereka agak cekap memandu kenderaan.

Kira boleh dikategorikan sebagai pelumba kerana boleh masuk celah-celah kereta macam dalam filem Fast and Furious.

Kalau dalam kenderaan dinaiki, memang rasa macam nak tekan brek saja kaki ni bila melihat kedudukan antara kenderaan sangat dekat.

Tapi disebabkan mereka sudah terbiasa dengan kesesakan jalan, kebanyakan pemandu peka dengan waktu sesuai. Mereka biasanya akan elak keluar lewat atau berada di jalan raya pada waktu pagi dan petang. Terutama ketika waktu pejabat di sana.

Bayangkan perjalanan yang hanya sejauh lima kilometer boleh mengambil masa selama 1 jam 30 minit untuk sampai. Memang sesak teruk.

Selain keadaan trafik, di Jakarta juga terkenal dengan jualan di kaki lima. Makanan seperti bakso, ayam penyet, soto ayam dan lain-lain sangat mudah untuk dinikmati.

Harga pun murah dan rasanya amat asli tetapi sebelum beli jangan lupa periksa kawasan sekeliling kerana harus memastikan tahap kebersihan makanan dijual.

Antara makanan terkenal di Jakarta ialah ‘martabak’. Apa pun, jangan sekali-kali samakan dengan martabak di Malaysia.

Martabak di Indonesia sama seperti kuih apam balik di Malaysia. Martabak di sana juga terdapat pelbagai perisa. Ada martabak oreo dan keju, toblerone, keladi, mentega kacang dan macam-macam lagi. Sedap dan harganya pula cuma RM5 untuk dua orang makan.

Cakap fasal makanan, kalau dah namanya Indonesia mestilah ada Indomie tapi di Malaysia Indomie selalu ada di restoran mamak.

Di Jakarta, Indomie boleh didapati di mana saja. Lebih menarik lagi, ada pelbagai jenis Indomie. Siap boleh lagi pilih tahap kepedasannya. Syok kan.

Justeru, hati-hati kepada sesiapa yang tak makan pedas. Tanya dahulu kepada peniaga itu tahap pedas satu-satu produk Indomie.

Kalau yang tak kuat makan pedas, mungkin skala 1 atau 2 saja dah cukup. Tiba-tiba pula adik rasa nak tunjuk hebat. Bukan apa, mana tahu kalau anda minta pedas tahap 4 atau 5, memang langsung tak boleh makan jawabnya.

Apa yang boleh adik kongsikan, memang terlalu pedas. Adik pun tak makan pedas sangat, sebab itu adik sekadar mengingatkan.

Habis sudah cerita makanan. Kalau nak cerita, memang panjang dan jadi sendat info dalam kolum Muahciked ini.

Pun begitu, apa yang dikongsi ini cuma apa yang adik rasa dan nampak. Hanya pendapat adik. Kalau anda nak kongsi pendapat, jom lah.

Terus-terang, adik sangat menghargai setiap kiriman e-mel daripada anda . Apa pun, jumpa lagi pada minggu hadapan. #kehidupan

Post a Comment

Previous Post Next Post