Nafiez Zaidi hindar kontroversi


Meskipun masih hijau kerana baru tiga tahun menceburi dunia lakonan, satu kejayaan membanggakan buat Nafiez Zaidi, 24, apabila berpeluang membintangi 16 drama.

Sebagai orang baru, peluang itu tidak mudah dikecapi. Apatah lagi dengan persaingan sengit dalam kalangan pelakon baru.

Nafiez Zaidi atau Abdul Nafis Abduzaidi, 24, enggan bersikap begitu memilih dan terima tawaran yang datang dengan senang hati. Katanya, dia gigih berusaha mengetengahkan bakat seninya hingga dikenali ramai.

Dia juga tidak mahu menggunakan ‘jalan pintas’ untuk menarik perhatian peminat kerana yakin dengan bakat dimilikinya.

“Walaupun jika dihitung melalui pengalaman, saya masih mentah dalam karier seni tetapi minda saya mampu berfikir dengan waras.

“Tak dinafikan populariti amat penting bagi seorang insan seni, namun tidak perlulah ia diraih menerusi kontroversi atau cerita sensasi.

“Ditambah pula masyarakat sekarang sudah bersikap terbuka dan kebanyakan kita berpendidikan tinggi. Dengan pertaruhkan bakat sahaja sudah cukup untuk mencapai kejayaan. Cuma, kenalah rajin berusaha,” katanya.

Berasal dari Kangar, Perlis, lakonan Nafiez mula menjadi perhatian menerusi drama Memori Cinta Suraya melalui Astro Prima yang disiarkan sebanyak 137 episod. Dalam drama adaptasi telenovela popular Mexico, A Love To Remember itu, Nafiez melakonkan watak pembantu sebagai Tariq.

Nafiez akui tidak mahu mengecap populariti sekelip mata. Dia mengatur langkah perlahan-lahan.

“Kalau saya mengejar populariti, rasanya sudah lama saya bersetuju untuk membiarkan diri terkait dengan gosip atau cerita sensasi.

“Saya pernah ada pengalaman diajak ‘seseorang’ untuk menjalin hubungan supaya terpalit gosip. Bagaimanapun, mujur saya tidak cepat terpengaruh kerana memikirkan nama dan maruah keluarga yang harus dijaga,” katanya.

Mengakui semakin memahami asam garam kehidupan anak seni, Nafiez mahu nama serta bakatnya bertahan lama dalam industri seni.

“Biarpun perjalanan karier seni saya ke mercu kejayaan dilihat masih terlalu jauh, yang pasti biarlah ia berpaksikan bakat.

“Itu lebih baik dan saya rela graf peningkatan ditunjukkan tidak begitu drastik kerana masih banyak selok-belok lakonan perlu dipelajari,” katanya.

Mengenai bayaran diterima, Nafiez bersyukur dengan rezeki diperoleh hasil kerja keras dilakukan. Dia sedar siapalah dirinya untuk cuba meletak harga.

“Saya seronok apabila berpeluang mencuba pelbagai watak. Saya juga tidak kisah watak ditawar itu sekadar pelakon pembantu kerana sedar belum ada banyak pengalaman.

“Apa yang pasti, saya senantiasa cekal mahu memberikan lakonan terbaik untuk setiap watak dilakonkan,” katanya.

Antara drama lain pernah dibintanginya ialah Kiah The Spy, Pak Deris Jambul, Besan Tiga Segi, Hati Untuk Siapa, Lilinkah Aku dan Khilaf Sang Pencinta.

Baginya, setiap watak dilakonkan mempunyai cabaran tersendiri. Katanya, dia banyak belajar menjiwai karakter daripada bimbingan pelakon dan pengarah Zul Huzaimy.

Nafiez berharap mendapat lebih banyak peluang mengetengahkan bakatnya pada masa depan.

Post a Comment

Previous Post Next Post