Atilia Haron cuba rawatan Cina untuk hamil


SELAIN sibuk menguruskan pusat yoga miliknya, Atilia Haron kini terbabit dengan penggambaran drama rantaian Arluna.

AGAK lama rasanya tidak mendengar khabar ratu jazz bertubuh genit yang merupakan puteri kepada penyanyi Salamiah Hassan ini.

Baru-baru ini, Atilia hadir sebagai duta bagi menyerikan majlis sambutan ulang tahun kedua sebuah barangan kelengkapan rumah dari Korea Selatan Cuckoo di Restoran Ruyi & Lynn Bangsar Shopping Centre, Kuala Lumpur.

Sesuatu yang menarik perhatian ketika itu, Atilia, 42, atau nama lengkapnya, Raja Putri Atilia Raja Haron berjalan dengan tangannya memegang tongkat.

Tidak mahu melepaskan peluang, sambil menyapa mesra wanita itu didekati untuk bertanya khabar dan perkembangan terkini dirinya.

KOSMO!: Apa Khabar? Maaf bertanya, kenapa dengan kaki Atilia sehingga terpaksa berjalan menggunakan tongkat?

ATILIA: Khabar baik, sebenar kaki saya cuma terseliuh sedikit. Saya terjatuh ketika melakukan aktiviti senaman. Alhamdulillah, keadaan kaki saya tidaklah terlalu serius, cuma saya memakai tongkat ini kerana perlu berjalan banyak untuk ke majlis ini.

Baiklah, boleh kongsikan perkembangan terkini anda?

Buat waktu ini saya sedang sibuk dengan studio yoga saya iaitu YogaOneThatIWant. Sambutan sangat menggalakkan, dan kini saya sudah mempunyai 10 buah studio yang antaranya terletak di Ampang, Kuala Lumpur, Shah Alam, Selangor Bangsar dan sekitar Damansara. Bukan itu sahaja, saya juga giat menjalankan perkhidmatan bengkel kesihatan. Walaupun bayaran yang diterima tidak sebesar nyanyian, tetapi saya cukup puas kerana dapat berkongsi pengalaman yang orang boleh bawa balik dan amalkan.

Bagaimana pula dengan perkembangan dalam kerjaya seni anda?

Jika tiada aral melintang pada bulan hadapan saya akan melancarkan album baharu. Album itu merupakan album ketiga saya dan judulnya adalah Number Three. Setakat ini, ia masih dalam proses untuk disiapkan. Memang ia mengambil masa yang lama kerana saya mementingkan kualitinya.

Adakah anda masih akan mengekalkan irama muzik jazz dalam abum ketiga ini?

Ya betul, konsepnya masih sama dengan album Sangkar sembilan tahun lalu. Terdapat sembilan buah lagu dalam album itu dan komposernya terdiri daripada saya, Jason Voo. Seorang komposer dari Indonesia juga telah menyumbangkan sebuah lagu untuk saya dalam album ini.

Melihat kepada beberapa perkongsian gambar anda di Instagram, adakah anda kini sedang berlakon dalam sebuah drama?

Benar, saya ada terlibat dalam penggambaran drama berjudul Arluna. Drama ini merupakan adaptasi daripada novel dan akan ditayangkan di Astro, tetapi tarikhnya belum diketahui lagi. Saya membawakan watak sebagai Azimah iaitu ibu saudara kepada Saharul Ridzwan.

Agak lama juga anda tidak berlakon, apa yang membuatkan anda menerima tawaran ini?

Mungkin kerana situasi penonton sekarang yang gemar menonton drama diadaptasi daripada novel. Perkara itu membuatkan saya bersemangat dan yakin drama ini akan mendapat sambutan hangat. Watak yang diberikan juga tidak begitu berat, pada saya ia sangat mudah untuk dilakonkan.

Sebenarnya, berlakon ini cuma sebahagian daripada minat, fokus utama saya adalah kepada nyanyian kerana masih banyak perkara yang ingin dicapai. Jika diikutkan, semua perkara saya mahu buat seperti yoga, nyanyian, lakonan dan saya juga mahukan anak. Saya gembira dengan setiap perkara yang saya lakukan ini.

Mungkin ada sedikit yang anda ingin kongsikan soal anak?

Setiap pasangan berkahwin mengimpikan untuk mendapat cahaya mata. Saya dan suami Adam Sofian Mazlan telah melakukan pelbagai ikhtiar termasuklah mengamalkan perubatan Cina. Saya minum air rebusan akar kayu, walaupun pahit tetapi saya kuatkan juga hati untuk minum kerana kami memang inginkan zuriat. Hanya mungkin belum ada rezeki buat kami.

Post a Comment

Previous Post Next Post