Perjuangan muzik Nusantara Ramayan


KUMPULAN Ramayan mendedikasikan nama kumpulan menjadi tajuk album pertama mereka.

IRAMA muzik pop Nusantara merupakan antara genre yang tidak pernah lapuk dengan peredaran zaman. Biarpun wujud genre moden dan popular seperti R&B, balada dan rock, namun muzik orang lama tetap menjadi pilihan.

Begitu juga dengan lima anak muda yang menggelarkan diri mereka sebagai Ramayan. Hadir sebagai sebuah band indie ke gelanggang seni tanah air, mereka mengetengahkan genre muzik yang dipanggil Nusantara Psychedelia.

Dianggotai oleh Syafi’i (vokalis), Que (dram), Omar (bass) Nadz (keyboard) dan Amin (gitar), kelima-lima anak muda itu optimis dengan genre muzik yang mereka perjuangkan walaupun kedengaran asing.

“Nusantara Psychedelia merupakan gabungan muzik balada pop, rock, blues dan muzik Melayu. Inspirasi muzik kami juga diambil daripada penyanyi seperti Zainal Abidin, Broery Marantika dan kumpulan Alleycats.

“Kami sengaja memilih memperjuangkan irama yang diinspirasikan daripada penyanyi legenda kerana selain minat, mereka semua mempunyai faktor tarikan tersendiri, jadi kami ingin membuat interpretasi faktor itu dalam muzik kami,” kata Syafi’i mewakili kumpulannya semasa pelancaran album pertama mereka berjudul Ramayan.

Bercerita lanjut mengenai genre muzik Ramayan yang ditubuhkan sejak 2014, tambah Syafi’i, dia dan ahli kumpulannya benar-benar optimis agar muzik mereka boleh diterima pendengar.

Keyakinan dikuatkan lagi dengan sentuhan melodi yang catchy dan mempunyai unsur kemelayuan.

“Selain bersifat ringan untuk didengar, melodi dalam setiap lagu juga berunsurkan Melayu.

“Muzik yang kami bawa berlainan dan perkara ini membuatkan kami ingin membawa wajah baharu ke dalam muzik pop Malaysia,” terangnya yakin.

Bercakap soal album yang mengandungi lima buah lagu iaitu Akhir Kalam, Hantu, Oh Dewiku, Gemalai dan Sepintas Sastera Hati, kesemuanya merupakan hasil karya mereka bersama.

Album terbitan Luncai Emas dan diedarkan Gudang Suara Records tersebut turut mendapat tunjuk ajar penyanyi tersohor negara, Datuk M. Nasir.

“Lima buah lagu yang terdapat dalam album ini merupakan hasil karya kami sendiri. Ia mengambil masa selama enam bulan dirakamkan.

“Kami berasal dari latar belakang yang berbeza jadi secara umumnya, album Ramayan menggambarkan gabungan diri dan pemikiran kami semua sebagai orang muda,” terang Syafi’i merupakan anak keempat M. Nasir.

Sebelum ini, tiga orang abangnya, Ilham, Hidayat dan Yasin juga bergiat aktif dalam bidang muzik dengan menubuhkan kumpulan Pita Hati.

Maksud Ramayan

Ditanya soal Ramayan dipilih menjadi nama kepada band mereka, sambil tersenyum Que berkata, nama tersebut berasal daripada perkataan keramaian.

“Ramayan asalnya diambil daripada perkataan keramaian yang menunjukkan kami beramai-ramai bersatu untuk membuat muzik.

“Dalam album pertama ini, kami ingin menunjukkan keserasian yang tercipta antara satu sama lain ketika berkarya.

“Kami meletakkan harapan tinggi agar peminat dapat menerima dan dapat mendengarnya tanpa prejudis,” tutupnya mengenai simbolik pemilihan nama tersebut.

Post a Comment

Previous Post Next Post