Album Baru Punca Hazama Tangguh Kahwin


Penyanyi Hazama sebolehnya ingin segera menamatkan zaman bujang dengan Genervie Kam, 36, namun terpaksa menunda tarikh pernikahan kerana ingin memberi fokus pada album terbaharunya.

Hazama atau nama sebenarnya Hazama Ahmad Azmi, 32, berkata, biarpun sebelum ini dia ada merancang untuk berkahwin dengan Genervie selepas Hari Raya Aidilfitri lalu, namun ia hanyalah satu perancangan awal.

“Hubungan kami masih baik. Kalau ditanya soal nak kahwin, kalau boleh esok juga saya nak pergi kursus kahwin namun memikirkan kebelakangan ini komitmen kerja semakin bertambah untuk persiapan album, kami 'cool' dulu.

“Lagi pula kami tidaklah terlalu terburu-buru memandangkan kami berlainan agama. Justeru biarlah semuanya berada dalam keadaan cukup bersedia agar tidak timbul masalah di kemudian hari,” katanya kepada mStar Online.

Sementara itu kata Hazama, untuk majlis perkahwinannya nanti, dia tidak merancang untuk mengadakan sebarang majlis tertentu sebaliknya hanya mahu menumpukan pada majlis akad nikah yang akan dihadiri oleh kaum keluarga dan sahabat terdekat sahaja.


Hazama dan kekasihnya, Genervie Kam.

“Ini adalah kemahuan saya sendiri dan telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak kerana bagi saya cukuplah apabila jurunikah dan saksi mengesahkan pernikahan kami, itulah kebahagian paling bermakna biarpun tanpa majlis resepsi, bersanding dan sebagainya.

“Seperkara lagi saya sebenarnya tidak mahu bekerja di hari bersejarah itu kerana apabila diadakan majlis-majlis tertentu, hendak atau tidak saya terpaksa turun padang membantu dan ia pasti lebih memenatkan,” katanya.

Berkongsi sisi kerjaya seninya pula, kata Hazama dia kini sedang mengumpulkan sembilan buah lagu terbaik yang sudah dirakamkannya antaranya Sampai Mati, Malaikat, Amaran Mama, Aku Yang Sebenarnya, Aku Bukan Dewa, Sang Perindu dan beberapa lagi untuk disatukan menjadi sebuah album yang akan dilancarkan pada hujung tahun ini.

Dalam perkembangan lain Hazama turut menerima tiga pencalonan dalam Anugerah Industri Muzik ke 22 (AIM22 ) yang bakal berlangsung pada 18 Disember depan.

Dia menerima tiga pencalonan untuk kategori Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu/ Lelaki (Sampai Mati), Video Muzik Terbaik (Sampai Mati) dan Lagu Pop Terbaik (Sedetik Lara).

AIM22 bakal berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Post a Comment

Previous Post Next Post