Caliph Buskers Gelisah Tidak Jumpa Peminat Tepi Jalan


Azmi (tiga dari kiri) bersama anggota Caliph Buskers.

Kumpulan Caliph Buskers berkata populariti yang diraih ketika ini selepas berjaya menempa nama dalam dunia muzik tanah membuatkan mereka gelisah dan tidak boleh duduk senang.

Vokalisnya Azmi atau nama sebenarnya Khairul Azmi Mohd Saad, 29, berkata, kesibukan seperti urusan persembahan, promosi dan publisiti media membuatkan masa untuk bergelar pemuzik jalanan (busking) begitu terhad.
“Sukar untuk kami gambarkan perasaan ini namun apa boleh buat, sejak menyertai dunia hiburan secara komersil masa seakan mencemburui untuk kami bertemu dengan peminat-peminat di jalanan yang kami sifatkan begitu dekat di hati kami.

“Kalau tak silap sehingga hari ini sudah hampir dua bulan kami tidak melakukan aktiviti busking dan ia membuatkan kami tidak boleh duduk senang dan gelisah kerana terlalu rindukan peminat dan suasana di jalanan,” katanya kepada mStar Online.

Caliph Buskers ditemui pada majlis sidang media mengumumkan lima calon akhir Anugerah Indistri Muzik 22 (AIM 22) di Hotel Park Royal Kuala Lumpur, di sini, Khamis lalu.

Caliph Buskers dianggotai oleh Azmi (Vokalis Utama & pemain bes), Zaki (gitaris/vokalis), Fendy (cajon/ vokalis), Wan (gitaris), Rubiana (shaker/ vokalis) dan Shazmeen (shaker/ juruteknik).


Caliph Buskers tetap rindu untuk membuat persembahan di jalanan walaupun sudah popular sebagai kumpulan muzik komersil.

Menerusi AIM 22, Caliph Buskers menerima dua pencalonan untuk lagu Hanya Nama Mu menerusi kategori Lagu Nasyid Terbaik dan Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu.

Dalam pada itu kata Azmi, mereka ingin berpesan kepada semua peminat jalanan agar terus menunggu kemunculan Caliph Buskers di lokasi biasa iaitu di hadapan kompleks beli-belah Sogo pada waktu yang akan diumumkan kemudian.
“InsyaAllah selepas selesai semua urusan membabitkan seni komersil, kami akan memberi perhatian kepada hiburan jalanan kerana di situlah jiwa kami sebenarnya,” kata Azmi.

Sementara itu mengenai perkembangan seni Caliph Buskers, mereka kini sedang menjalani penggambaran klip video single kedua berjudul 'Kaulah Dia' ciptaan Edry Abdul Halim selain merancang untuk menerbitkan sebuah lagu ciptaan sendiri berkonsepkan pop komedi.

Post a Comment

Previous Post Next Post