BIARPUN lagu Proppa berjaya menembusi pasaran Indonesia, tetapi Votez tetap merasakan situasi itu sebagai ‘pemanas enjin’ untuk memacu karier mereka ke aras yang lebih baik.
JIKA diikutkan, ini merupakan single kedua kumpulan Votez sejak mula bergelar penyanyi pada akhir tahun 2014. Namun, siapa sangka di sebalik usia setahun jagung itu, single Proppa berjaya menembusi pasaran negara jiran Indonesia.
“Alhamdulillah, ia merupakan permulaan yang baik untuk kami. Lagu ini mula mendapat tempat sejak Mei lalu. Insya-Allah dalam masa terdekat, kami akan melakukan promosi ke beberapa buah stesen radio di sana.
“Sebenarnya, ia peluang yang hadir tanpa dijangka tetapi ia membuktikan muzik yang kami perjuangkan telah berjaya mendapat kepercayaan peminat di sana,” kata ketua kumpulan itu, Meeyo ketika bertemu dalam satu sesi fotografi di Studio Utusan baru-baru ini.
Tambah Meeyo, situasi industri muzik di negara itu yang banyak dipelopori dengan kumpulan penyanyi memudahkan mereka mencuba nasib. Ternyata, tuah memihak kerana aliran muzik rancak menjadi bonus untuk mereka dikenali.
“Apa yang kami sasarkan di Indonesia adalah penerimaan daripada peminat secara menyeluruh dan berharap agar lagu ini akan dibuat nada dering di telefon mudah alih.
“Tetapi, apa yang membuatkan kami bertuah adalah kerana muzik retro funk yang cuba diperjuangkan diterima dengan mudah di sana. Rata-rata peminat menyukai bunyi dan muzik lagu ini,” katanya.
Bercerita lanjut mengenai single tersebut, ia menampilkan gandingan Votez yang dianggotai Meeyo, Meer Nash dan Joe Bazli bersama seorang artis muda Irma Seleman untuk bahagian rap.
“Selepas hampir setahun single pertama Mana Dulu mendapat tempat dalam hati peminat, kami kembali dengan single Proppa yang mengisahkan tentang kami bertiga yang ingin memikat seorang gadis.
“Ia turut mengandungi lirik rap yang dinyanyikan penyanyi Irma Seleman. Lagu tersebut asalnya dihasilkan oleh Sharon Paul tetapi disebabkan liriknya sudah lama, jadi ia ditukarkan kepada yang lebih segar sesuai dengan genre kumpulan kami iaitu retro funk.
“Malah, apa yang istimewanya ialah ciri-ciri lagu Malaysia masih ada dalam lagu ini walaupun ia telah dimodenkan,” ujar Meer Nash.
Menariknya, proses adunan akhir lagu tersebut dilakukan di Los Angeles, Amerika Syarikat oleh sebuah syarikat rakaman di sana. Menceritakan mengenai perkara tersebut, Meer Nash berkata, mereka berasa teruja kerana diberi peluang untuk menggunakan khidmat syarikat rakaman luar negara dalam single kedua mereka.
Proses tersebut dilakukan pada Mac lalu dan siap pada hujung bulan April selepas mereka mendapat tawaran daripada seorang rakan yang berada di sana.
Biarpun mengakui kehadiran mereka dalam industri negara ini masih kurang menyerlah, namun Votez tetap bersemangat mengejar impian dan menganggap perjalanan mereka dalam bidang ini masih baru.
“Walaupun tidak sehebat artis lain, tetapi kehadiran kami tetap juga disedari oleh sebilangan peminat yang meminati aliran muzik yang kami bawa.
“Apa yang penting, misi kami sekarang adalah untuk mengkaji minat masyarakat dan pasaran terkini.
“Sekarang orang lebih gemar dengan irama yang catchy dan lirik yang mudah diingati. Jadi, ia memberi kami peluang untuk meneroka dunia hiburan dengan lebih luas,” kata Joe Bazli menutup perbualan.