Raja Afiq diminta kekal imej ustaz


Watak Kapten Ustaz Mukhriz dalam drama Sayangku Kapten Mukhriz meledakkan populariti Raja Afiq Raja Razali.

Obsesi peminat kepada watak yang dibawa oleh sesetengah pelakon dalam sesebuah drama popular di kaca televisyen sudah sering berlaku. Sehingga ada dalam kalangan penonton terbawa-bawa imaginasi sesebuah karakter yang digilai ke alam realiti.

Perkara sama dialami pendatang baharu, Raja Afiq Raja Razali yang membawakan watak Kapten Ustaz Mukhriz Al-Attas dalam drama Sayangku Kapten Mukhriz apabila dia kini menjadi pujaan hati ramai wanita.

Walaupun drama tersebut sudah melabuhkan tirainya, ramai peminat masih tidak dapat melepaskan imaginasi gaya ustaz daripada Raja Afiq dan terus-terusan ingin ia dikekalkan sebagai personaliti dalam diri jejaka berusia 22 tahun itu.

KOSMO!: Adakah anda berasa terbeban dengan desakan peminat yang mahu watak ustaz dikekalkan walaupun selepas tamat drama Sayangku Kapten Mukhriz?

RAJA AFIQ: Bagi saya, itu perkara biasa kerana mungkin mereka jatuh cinta dengan watak saya dalam drama tersebut. Namun, ia bukan satu kewajipan bagi saya untuk mengikut kehendak mereka sepenuhnya kerana saya tidak suka menjadi hipokrit dan akan tetap menjadi diri sebenar apabila berada di luar lokasi lakonan.

Maksudnya anda tidak mahu dilihat dan dianggap baik seperti seorang ustaz?

Bukan, saya cuma mahu peminat memahami saya sebagai manusia biasa dan tidak sempurna. Mereka mungkin menemui kesempurnaan pada watak lakonan kerana ia rekaan semata-mata. Hanya kerana saya tidak mahu dibayangi watak ustaz bukan bermaksud saya seorang yang jahat.

Apakah antara perkara yang diminta peminat agar anda mengekalkan imej ustaz?

Mereka tidak suka melihat saya memuat naik gambar memakai baju singlet ketika bersenam di gimnasium. Setahu saya, itu bukannya tidak menutup aurat cuma mungkin peminat tidak biasa melihat saya begitu dalam drama.

Selain mahu anda kekal dengan imej ustaz, apa lagi yang pernah dilakukan peminat kerana terlalu obses dengan watak Kapten Mukhriz?

Ketika saya pergi membuat jelajah mempromosi drama di beberapa buah negeri, ada peminat menangis kerana tidak mahu saya balik ke Kuala Lumpur. Ia situasi yang agak kekok buat saya yang baru pertama kali berdepan keadaan tersebut.

Bagaimana penerimaan teman wanita anda, Anis Al-Idrus terhadap perkara berkenaan?

Dia tiada masalah kerana sedar ini adalah asam garam dalam industri. Tiada isu untuk cemburu atau marah kerana peminat memang berbeza-beza perangainya.

Khabarnya, anda dan bekas teman lelaki Anis, Sharnaaz Ahmad diuruskan oleh pihak yang sama. Tidakkah anda berasa kekok dengan keadaan tersebut?

Kami bersikap profesional. Saya tidak mahu masuk campur soal cinta lama mereka ia berlalu. Bagi saya, kami perlu bijak mengasingkan antara kerjaya dan hal peribadi.

Sharnaaz juga sudah mengumumkan akan berkahwin tahun hadapan, bagaimana pula perancangan anda dan Anis?

Perkahwinan bukan suatu perlumbaan. Jika Sharnaaz sudah sampai seru, Alhamdulillah. Bagi saya dan Anis, kami belum berbincang soal berkenaan kerana saya masih baharu dalam industri dan banyak lagi perkara perlu dicapai sebelum berumah tangga.

Anis enam tahun lebih berusia berbanding anda, tidakkah perbezaan usia tersebut akan menyukarkan persefahaman dalam perhubungan?

Saya seorang yang setia dan bukannya jenis lelaki yang melihat perbezaan umur ketika bercinta. Insya-Allah.

Watak Kapten Ustaz Mukhriz dalam drama Sayangku Kapten Mukhriz meledakkan populariti Raja Afiq Raja Razali.

Post a Comment

Previous Post Next Post