Raja Azmi, Hubungan semakin kuat


Raja Azmi dan Mohd. Eddie Ghazali berkahwin pada 13 Oktober 2013 dan berpisah pada 11 November 2014. Mereka kemudiannya berkahwin semula pada 26 Februari 2016.

Kebahagiaan selepas keluh-kesah itu indah. Indah itulah yang dilafazkan daripada bibir penerbit sensasi, Raja Azmi selepas mengecap bahagia menerusi perkahwinan keduanya bersama Mohd. Eddie Ghazali.

Segala kesedihan yang pernah membungkam di dadanya akhirnya terlerai lantas digantikan dengan cahaya kebahagiaan yang didambakan. Semuanya berkat kesungguhan dirinya dan Eddie untuk membuktikan perkahwinan kali kedua ini lebih bermakna.

Pemilik nama sebenar Raja Azmi Raja Sulaiman juga mengakui perkahwinan kali keduanya bersama Eddie semakin kuat selepas mereka lebih mendekatkan diri dengan Allah.

“Alhamdulillah, Eddie tidak segan-segan belajar mengaji al-Quran dengan saya. Sekurang-kurangnya dalam seminggu sekali kami akan ke masjid untuk solat berjemaah. Keadaan itu menguatkan lagi hubungan kami,” ujarnya kepada Sensasi Bintang.

Menurut penerbit berusia 57 tahun itu, ada hikmah apa yang berlaku ke atas perkahwinan mereka sebelum ini.

“Perkahwinan kali kedua ini membuatkan kami lebih bertoleransi. Tambahan pula, kami mahu berpayung di hujung nyawa bersama. Jadi biarlah ia teduh dan tenang serta lebih mendekatkan diri kepada Allah,” jelasnya lagi.

Raja Azmi dan Eddie berkahwin pada 13 Oktober 2013 dan berpisah pada 11 November 2014.

Mereka kemudiannya berkahwin semula pada 26 Februari 2016.

Sebelum perkahwinan itu, Raja Azmi pernah berkahwin dengan jaguh badminton negara, Mohd. Jalani Sidek dan dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Puteri Suraya, 30; Puteri Suaida, 26, dan Megat Deli, 21.

Dalam perkembangan lain, Raja Azmi berkata, dia kini punya keyakinan diri untuk berlakon selepas terbabit dalam drama Sha dan Shah (2015) dan Marhaban Kome Oi yang baru melabuhkan tirainya.

“Sebelum ini saya pernah berlakon dalam drama terbitan Mohd. Noor Kadir iaitu Persona Grata pada tahun 2009. Itupun sebab dipaksa oleh Mohd. Noor. Terketar-ketar juga bila pertama kali berlakon.

“Selepas itu saya dicabar berlakon oleh David Teo dalam drama Sha dan Shah pada tahun lepas. Daripada situ saya jumpa Kartina Aziz dan dia banyak memberi sokongan kepada saya untuk terus terbabit dalam bidang lakonan,” kata Raja Azmi.

Terbaharu, kata Raja Azmi, dia juga ditawarkan penerbit terkenal, Datuk Yusof Haslam berlakon dalam drama Gerak Khas.

“Belum ada kata putus lagi tetapi Yusof sudah dua kali mengajak saya berlakon dalam drama Gerak Khas sebagai isteri A. Galak,” jelasnya yang juga merancang untuk menerbitkan filem terbaharunya pada awal tahun depan.

Biarpun kini dia semakin aktif berlakon, namun penerbit berusia 57 tahun itu lebih mencintai dunia penulisan.

Katanya, masih banyak cerita yang ditulisnya, menanti untuk divisualkan.

Post a Comment

Previous Post Next Post