DI sebalik kisah cinta yang masih samar, sinar bahagia yang terpancar di raut wajah aktres popular, Mia Ahmad sudah cukup untuk menceritakan segala-galanya.
Memang benar, pemilik nama sebenar Samihah Ahmad Baderi, 28, itu tidak pernah sarat bercerita mengenai jalinan kasih antara dia dan penjaga gawang skuad Johor Darul Takzim, Mohd. Izham Tarmizi Roslan, 25, setelah berkawan rapat sejak beberapa bulan lepas.
Hakikatnya, cinta tidak perlu dibuktikan dengan kata-kata. Waima terlalu awal untuk membicarakan hal itu, Mia mengakui hatinya kini dijaga dengan cukup kemas oleh Mohd. Izham seperti mana aksi tangkas jejaka berkenaan di tengah padang.
"Dia memang lelaki yang paling rapat dalam hidup setakat ini. Sebenarnya saya tidak begitu memilih, cukuplah jika memahami kerjaya dan setakat ini dia cukup menyenangkan," ungkapnya jujur kepada Sensasi Bintang.
Mengulas lanjut, Mia juga memanjat rasa syukur lantaran kehadiran lelaki itu tidak pernah merunsingkan lantaran cukup memahami kesibukannya sebagai aktres.
"Belum ada perbincangan untuk mendirikan rumah tangga, tambahan pula karier masih di peringkat permulaan kerana saya bermula agak lambat dalam bidang ini.
"Justeru, saya perlu memastikan segala-galanya telah stabil sebelum boleh memikirkan soal itu," ujarnya menguntum senyum.
Cuma pada masa sama, Mia mengakui pernah diamuk perasaan bimbang, sementelahan pula hubungan mereka masih di peringkat mengenali hati budi masing-masing.
Tiada alasan untuk merajuk
AKTRES ini menyifatkan hubungannya dengan Mohd. Izham masih di peringkat mengenali hati budi masingmasing.
"Pada mulanya, memang takut dengan perbezaan usia memandangkan saya berusia tiga tahun lebih tua daripadanya, namun apabila berbicara dengannya, saya tidak berasa sedang berbual dengan insan yang lebih muda. Kami juga tidak pernah merajuk kerana baru mengenali antara satu sama lain.
"Keluarga tahu hubungan kami, tetapi masih belum ada sebarang pertemuan rasmi. Keluar pun beramai-ramai bersama kawan bagi mengelak sebarang syak wasangka masyarakat," getus Mia.
Tanpa berselindung, pasangan itu juga masih belum memiliki nama manja seperti mana kelaziman pasangan bercinta yang lain.
"Belum sampai tahap untuk memanggil panggilan manja seperti Bi, Ucuk, Sayang atau sebagainya. Kalau ikut pangkat, dia harus panggil saya kakak.
"Saya sekadar memanggilnya dengan nama Izham, cuma dalam kalangan rakan-rakan memanggilnya Miji. Buat masa ini, masing-masing sibuk dengan kerjaya dan belum tahu perihal termasuk kesukaan masing-masing dan sebagainya," ujar Mia melentur tawa di bibir.
Itu yang terzahir di kanvas realiti. Di layar kaca, majoriti peminat juga belum dapat melupakan cerita Mia yang sebelum ini pernah dikaitkan dengan aktor, Saharul Ridzwan yang selamat menamatkan zaman bujangnya bersama wanita pilihan, Qaabila Deena Emir Mohamed Akif Emir kelmarin.
Tidak pernah bercadang untuk mengikut jejak langkah Saharul untuk segera mendirikan rumah tangga, dramatis itu menjelaskan bahawa mereka tiada sebarang rancangan ke arah itu pada tahun ini.
"Tiada apa pun nak cakap, rasanya peminat pun dah faham bahawa saya dan Saharul memang tiada apa-apa sebelum ini. Apapun, saya mengucapkan selamat pengantin baharu kepadanya," ungkap Mia yang menanti dua filemnya iaitu Jibam dan Superbike untuk ditayangkan di pawagam.
Bosan watak polos
DUA filem lakonan Mia, Jibam dan Superbike masih menanti masa untuk ditayangkan di pawagam.
Sentiasa menyifatkan diri masih baharu dalam bidang ini dan perlu mempelajari banyak perkara, Mia sejujurnya tidak tahu sampai bila akan mampu bertahan dalam industri seni tempatan.
Cuma katanya, kadang-kadang perasaan itu berbelah bahagi untuk mencari kehidupan yang lebih stabil termasuk menjalankan bisnes biarpun lakonan tetap menjadi keutamaan.
Buat masa ini, jelas Mia, dia juga pernah menerima tawaran untuk mencuba bidang baharu seperti pengacaraan dan nyanyian, namun terpaksa ditolak kerana enggan menjejaskan fokus terhadap bidang lakonan.
"Jika benar ada rezeki suatu hari nanti, apa salahnya mencuba. Sejujurnya, saya mengidam watak insan istimewa serta gila-gila dan keluar daripada zon selesa sekali gus membuktikan kemampuan berbanding sekadar menjayakan karakter wanita baik dan lembut.
"Ramai yang menyangka seolah-olah saya polos dan sering diberikan watak sedemikian sedangkan saya sememangnya sudah bosan membawakan watak yang sama kerana tidak dapat bermain dengan karakter," ujarnya yang bakal tampil dengan produk tudung, Tassel By Mia Ahmad dan juga kosmetik iaitu Absolue By Mia Ahmad.
Risau mengeluarkan kenyataan yang boleh mengguris hati khalayak dan tidak sesuai dengan imejnya yang berhijab, gadis kelahiran Taiping, Perak itu juga enggan menyertai mana-mana program realiti kerana kuat melatah.
"Saya khuatir tercakap yang bukan-bukan ketika melatah. Mungkin, saya melatah kerana suka mengelamun sendirian. Selain itu, ramai juga yang tahu bahawa saya seorang yang cemerkap," ujarnya yang baru selesai menjalani penggambaran drama berjudul Cerita Ramadan Hazim.
Kongsi Mia lagi, dia juga mudah mengalami penghidratan biarpun telah minum air dalam kuantiti yang banyak.
"Selain itu, saya mudah menjiwai muzik dan teralit jika sedang meneliti telefon pintar tanpa mempedulikan orang sekeliling. Saya juga tidak tahan sejuk terutamanya ketika berada dalam bilik berhawa dingin," ujarnya seraya menoktah bicara.