Tunang diminta lepaskan Indah Ruhaila


BAGI Indah, semua yang berlaku kepada dirinya merupakan asam garam dalam dunia artis.

BARU-BARU ini, penyanyi Indah Ruhaila berdepan situasi yang cukup mengejutkan. Bukan sahaja kepada dirinya, tetapi juga tunangnya. Semua itu gara-gara satu pesanan mesej yang diterima bakal suaminya daripada individu yang tidak dikenali yang meminta agar melepaskan sahaja Indah sebagai tunangan.

Tidak tahu apa motif di sebalik pesanan mesej berkenaan, Indah memberitahu, dia sendiri terkejut apabila individu berkenaan tahu akaun Facebook lelaki yang sudah menjadi tunangannya selama tiga tahun itu. Ini kerana, sehingga kini dia belum pernah mendedahkan siapakah lelaki yang bakal menjadi peneman hidupnya.

“Baru-baru ini, tunang saya hantar paparan mesej yang diterimanya kepada saya. Sewaktu dapat tahu saya sendiri terkejut. Tak sangka ada orang yang sanggup hantar mesej begitu. Saya hairan bagaimana dia tahu akaun Facebook tunang saya.

“Saya sendiri tidak pernah memberi komen atau like sebarang status yang dimuat naik oleh tunang. Saya memang cukup menjaga privasi. Mesej itu menyuruh agar tunang saya tinggalkan saya,” katanya kepada Sensasi Bintang ketika dihubungi baru-baru ini.

Menurut penyanyi berusia 29 tahun itu, status pengirim mesej itu juga tidak dapat dikenal pasti secara jelas memandangkan profil yang digunakan tidak menggunakan gambar sebenar.

“Saya sendiri tidak tahu siapa sebab gambar yang digunakan hanyalah foto pemandangan. Malah, namanya juga seperti bukan nama sebenar. Keadaan ini yang meninggalkan lebih tanda tanya,” kata pelantun lagu popular Percayalah.

Menurut Indah, dia juga ada menghubungi pihak pengurusan kelab peminatnya untuk melakukan semakan ke atas akaun tersebut kerana menjangkakan kemungkinan individu itu tergolong dalam kalangan pengikutnya.

Bagaimanapun, katanya, akaun itu kekal tidak dapat dikenal pasti milik siapa.

Sungguhpun begitu, katanya, dia bersyukur kerana bakal suaminya yang berusia 33 tahun itu tidak cepat melatah. Bahkan, tiada prasangka langsung apabila menerima mesej seperti itu.

“Mulanya bimbang juga kalau dia ada simpan hati dengan apa yang berlaku. Katanya, dia tidak berasa tergugat pun. Dia cuma kata ‘wow, hebatlah awak’.

“Lagipun sebelum saya melangkah dalam industri seni ini, saya sudah terangkan kepadanya kemungkinan yang bakal berlaku. Apa yang penting kami tahu batas masing-masing,” jelasnya yang memberitahu bakal mengakhiri zaman bujang tahun depan.

Masih menyimpan rapi perihal terperinci bakal suaminya itu, kata Indah, apabila tiba masanya, dia pasti akan memberitahu kepada umum. Cuma buat masa sekarang, biarlah perkara itu kekal antara dia dan tunangnya sahaja.

“Persiapan sudah mula buat. Cuma, nanti kalau sudah sedia semuanya, saya akan maklumkan. Jangan bimbang saya akan jemput,” selorohnya.

Dalam perkembangan lain, kata Indah dia kini tampil dengan sebuah lagi single baharu berjudul Semua Untuk Cinta. Menariknya, lagu itu dihasilkan sepenuhnya oleh rakan baiknya sendiri, penyanyi Hael Husaini.

“Selepas saya mendengar dia hasilkan lagu Hati-Hati untuk Amira Othman, saya merasakan dia memang seorang yang berbakat dalam pembikinan lagu.

“Tidak sangka pula apabila saya minta dia buat satu lagu untuk saya, rupa-rupanya memang dia sudah hasilkan terlebih dulu,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post