Raja Afiq, Anis belum bincang soal kahwin


HUBUNGAN Afiq dan kekasihnya yang juga seorang pelakon, Anis Al-Idrus masih berjalan seperti biasa.

MENCIPTA nama menerusi drama rantaian Sayangku Kapten Mukhriz, pelakon baharu, Raja Afiq tidak menyangka kesan daripada naskhah tersebut menjadikan dirinya kini lebih dikenali.

Rentetan daripada perhatian yang diberikan kepadanya selepas membintangi drama tersebut, Raja Afiq menaruh harapan agar dia diberi peluang mencuba pelbagai karakter demi memperkukuhkan kedudukannya dalam persada seni hiburan tempatan.

Seiring dia mencipta nama sebagai pelakon, sisi peribadinya juga dicungkil sama. Dia yang tidak pernah menyembunyikan kisah cinta dengan pelakon dan penyanyi Anis Al-Idrus, 28, kini berhadapan dengan ‘masalah’.

Hubungan yang mereka jalani sejak beberapa bulan lalu kini dikatakan sudah berpenghujung.

Afiq atau nama lengkapnya, Raja Muhammad Afiq Raja Razali, 22, yang ditemui pada majlis perasmian pembukaan pusat rawatan kecantikan, Naarabelle Face Spa di Pusat Komersial Setapak, Kuala Lumpur hanya mampu tersenyum saat ditanya mengenai berita itu.

KOSMO!: Selepas membintangi drama rantaian Sayangku Kapten Mukhriz, apakah perubahan yang berlaku kepada kehidupan Raja Afiq?

RAJA AFIQ: Perbezaan selepas membintangi drama tersebut adalah peminat mula kenal dan tegur saya. Ia merupakan satu situasi baharu buat saya. Malah, ada di antara mereka memanggil saya dengan nama watak seperti Kapten Mukhriz dan ustaz, bukannya nama sebenar saya iaitu Raja Afiq.

Secara peribadi, bagaimanakah penerimaan anda terhadap perubahan itu?

Sejujurnya, saya berasa gembira dan bersyukur dengan sambutan peminat. Biarpun mereka tidak mengenali saya sebagai Raja Afiq, perkara itu bukan satu kekesalan, sebaliknya membakar semangat buat saya memberikan lakonan yang lebih baik pada masa akan datang sehingga dapat meninggalkan kesan pada penonton.

Bagaimanapun, saya masih pendatang baharu dalam bidang seni dan ada beberapa perkara yang masih perlu saya perbaiki, sekali gus menyesuaikan diri dengan dunia ini.

Watak bagaimanakah yang anda inginkan pada masa akan datang?

Saya harap diberi peluang untuk mencuba pelbagai watak seperti antagonis, lelaki psiko, mahupun membawa peranan sebagai orang miskin. Saya percaya, percubaan dalam melakukan pelbagai karakter dapat memberi kemahiran untuk mengembangkan kerjaya.

Saya juga tidak mahu mudah berasa selesa untuk membawa watak yang sama dalam setiap naskhah.

Melihat kepada trend pelakon lelaki tempatan masa kini, kebanyakan daripada mereka bertubuh sasa. Menurut pendapat anda, adakah perkara itu perlu untuk mendapat tempat dalam industri seni?

Pada pandangan saya, memiliki tubuh sasa itu hanya satu pakej. Bagaimanapun, bakat lakonan adalah lebih penting kerana setiap anak seni itu dinilai berdasarkan kredibiliti masing-masing.

Beralih kepada kisah peribadi, bagaimanakah hubungan anda dengan kekasih, Anis Al-Idrus yang dikatakan telah berpisah. Adakah perkara tersebut benar?

Perkara itu tidak benar kerana kami masih bersama dan hubungan juga berjalan seperti biasa. Mungkin kerana masing-masing sibuk dengan urusan kerja dan jarang berpeluang keluar bersama, membuatkan khalayak menilai kami telah berpisah.

Sejujurnya, hubungan kami berada dalam keadaan baik dan kami masih dalam fasa mengenali hati budi antara satu sama lain.

Adakah anda mempunyai sebarang perancangan untuk menamatkan zaman bujang dalam tempoh masa terdekat?

Kami tidak pernah berbincang tentang perkahwinan. Perkara tersebut juga dilihat terlalu awal, memandangkan saya sendiri baru menceburkan diri dalam industri. Justeru, adalah lebih baik untuk kami berdua memberi fokus kepada perkembangan kerjaya dan keluarga.

Selepas drama rantaian Sayangku Kapten Mukhriz selesai ditayangkan, apakah produk terbaharu anda?

Bermula 18 September lalu, saya sudah menjalani penggambaran drama rantaian sebanyak 16 episod berjudul Tangisan Cinta Amina. Naskhah tersebut merupakan penampilan kedua saya membawa peranan sebagai watak utama di samping pelakon Tiz Zaqyah.

Post a Comment

Previous Post Next Post