SELAIN lagu, klip video yang mengiringi lagu-lagu penyanyi juga tidak terlepas daripada disekat. Klip video S&M yang menampilkan penyanyi Rihanna disekat oleh YouTube dan 11 buah negara di seluruh dunia kerana mempromosikan unsur seks keterlaluan. Selain itu, klip video penyanyi Lana Del Rey, Born To Die turut disekat tayangannya oleh MTV kerana memaparkan visual kemalangan jalan raya yang keterlaluan.
AWAL minggu ini, radar hiburan antarabangsa disensasikan dengan penerbitan trailer filem kontroversi, Fifty Shades Darker, yang menampilkan pelakon utamanya, Jamie Dornan (Christian Grey) dan Danota Johnson (Anastasia Grey) melakonkan beberapa adegan erotik.
Berdurasi sekitar dua minit, sedutan bagi sekuel filem Fifty Shades of Grey itu menerima maklum balas yang bercampur baur daripada khalayak. Walaupun ada segelintir yang berasa kurang senang dengan trailer tersebut, namun, kebanyakan penonton melahirkan rasa teruja menantikan sambungan kisah cinta pasangan Grey yang dijadualkan tayangannya di Amerika Syarikat pada 10 Februari depan.
Tahun lalu, filem pertama daripada francais tersebut, Fifty Shades of Grey, yang mengangkat tema kegilaan seks ganas (BDSM) telah disekat tayangannya di Malaysia, Indonesia, Nigeria, Kenya, Emiriah Arab Bersatu, Papua New Guinea dan Cambodia. Selain itu, beberapa daerah di utara Rusia turut dilaporkan menyekat tayangan filem tersebut.
Alasan terhadap sekatan tersebut mudah, jalan ceritanya dikatakan melanggar norma masyarakat tempatan selain memberi pengaruh negatif kepada penonton.
Masih mengekalkan tema BDSM, Fifty Shades Darker yang diadaptasi daripada novel erotik berjudul sama itu juga mungkin tidak berpeluang untuk ditayangkan di negara sama.
Bagaimanapun, Fifty Shades of Grey bukanlah satu-satunya karya seni yang disekat penyiarannya.
Selain filem, terdapat beberapa karya lain termasuk lagu, klip video serta konsert yang tidak terlepas dari sekatan beberapa buah negara kerana disifatkan menyentuh sensitiviti masyarakat tempatan.