Search tetap keutamaan Din


DIN Search (kiri) berbangga dan percaya dengan potensi serta bakat yang dimiliki pendatang baharu, Alyd.

Sejak beberapa bulan lalu, kelibat gitaris kedua kumpulan Search, Nordin Taib sering muncul bersama penyanyi baharu, Alyd mempromosi single Nostalgia telah menimbulkan tanda tanya dalam kalangan pemerhati seni.

Keakraban kedua-dua pelaku seni ini mencetuskan persoalan, sama ada Nordin atau lebih dikenali dengan nama pentas Din telah meninggalkan kumpulan legenda tanah air itu.

Bagaimanapun, lelaki berusia 53 tahun itu menegaskan, dia masih bersama kumpulan Search yang cukup dekat dengan hatinya.

“Saya masih bersama Search dan tetap akan kekal sebagai sebuah kumpulan. Apa-apa pun yang berlaku saya tetap akan mendahulukan Search dalam segala hal.

“Pada kebiasaan, jika tidak mempunyai sebarang projek bersama Search, saya akan memberi tumpuan kepada Alyd. Saya ingin menggilap bakat terpendam dalam dirinya sekali gus melihat dia berjaya dalam bidang seni,” katanya yang ditemui di Studio Utusan, baru-baru ini.

Din menyifatkan pemuda berasal dari Seremban, Negeri Sembilan itu mempunyai potensi besar dalam industri seni suara. Hal itu yang telah membuka pintu hatinya bergandingan bersama Alyd dalam penghasilan Nostalgia.

Dia memberitahu, mereka telah bertemu secara tidak sengaja di sebuah kedai muzik sekitar empat tahun lalu di Seremban dan mendapati Alyd mempunyai bakat terpendam apabila mendendangkan sebuah lagu.

“Alyd mempunyai potensi besar sebagai penyanyi jika digilap dengan sebaik mungkin. Dia bukan sahaja boleh menyanyi tetapi bermain gitar, mengolah lirik dan menggubah lagu sendiri.

“Kriteria berkenaan merupakan satu kelebihan kepada dirinya apabila berkecimpung dalam bidang seni. Disebabkan itu, saya bersetuju untuk mengiringi Alyd mempromosi single terbaharunya,” ujarnya lagi.

Ditanya sama ada muzik dibawa Alyd mengikut acuan Search, Din menjelaskan dia sama sekali tidak terlibat dalam gubahan lagu penyanyi berusia 30 tahun itu.

“Dia orang baharu dan perlu dibantu. Sebagai orang yang sudah berpengalaman, tentu sekali saya tidak ada masalah membantu Alyd meneruskan cita-cita sebagai penyanyi. Kalau dia berusaha bersungguh-sungguh pasti akan berjaya.

“Saya juga tidak terlibat dalam gubahan lagu Alyd. Saya hanya ingin membantu dan memberi sokongan kepada perjalanan karier seninya. Saya hendak melihat dia berdiri sendiri dengan hasil karya-karyanya,” katanya.

Setakat ini, Din memberitahu single Nostalgia mendapat reaksi positif daripada penggemar muzik balada dan berharap ia akan mendapat tempat pendengar apabila mula diputarkan di corong-corong radio.

Sementara itu, Alyd atau nama sebenarnya, Syed Khalid Said Hamdza berasa bertuah kerana berkesempatan menuntut ilmu bersama Din dalam mewarnai dunia seni.

“Saya berasa muzik merupakan perkara yang perlu dikongsi bersama. Justeru, saya sangat berbesar hati kerana diberi peluang untuk bekerjasama dengan legenda seperti Din.

“Sejujurnya saya sangat berpuas hati dengan lagu single Nostalgia yang mendapat sentuhan Din dan pemuzik-pemuzik terkenal. Tidak mudah sebenarnya untuk mengumpulkan nama-nama besar mengiringi orang baharu seperti saya,” katanya.

Dia yang baru bertatih dalam bidang muzik tanah air menambah, pengalaman bersama gitaris terkenal itu banyak memberi pendedahan berhubung pembikinan sesebuah hasil karya muzik termasuk mendapat nasihat dalam mengharungi dunia seni.

“Saya berharap single Nostalgia diterima penggemar muzik tanah air, malah menyimpan impian ia mampu memberi saingan sihat dalam industri ini. Kita juga sedang dalam perancangan untuk menyiapkan single kedua,” ujar Alyd.

Pemilihan genre moden rock menjadi pilihan hati dalam mewarnai dunia muzik tempatan kerana dirinya sudah sebati dengan muzik genre berkenaan.

Malah, dia percaya peminat muzik moden rock masih ramai dan sebagai pelapis baharu, penyanyi ini ingin mengembalikan semula kegemilangan genre berkenaan sekali gus memberi pilihan kepada penggemar muzik tempatan.

Post a Comment

Previous Post Next Post