BUAT pengikut setia dunia hiburan K-pop, kehadiran Gong Yoo bukan pekara asing sementelah aktor tersebut terlebih dahulu mencipta nama menerusi drama bersiri Coffee Prince sekitar tahun 2007.
Berbekalkan wajah tampan, mudah buat Gong Yoo ketika itu mendapat kedudukan selesa dalam lapangan industri lakonan. Namun, kegemilangan yang dikecapinya terpaksa dilepaskan kerana mengikuti latihan ketenteraan.
Kemudian, sekitar tahun 2009, selepas menjalani latihan ketenteraan, aktor berusia 37 tahun itu gigih menyusun semula kerjaya seninya sehingga berjaya mencapai semula percikan populariti menerusi filem Train To Busan (TTB) yang kini hangat ditayangkan di pawagam seluruh negara.
Memegang watak sebagai Seok-woo, dia merupakan bapa kepada seorang cahaya mata perempuan yang terpaksa menggunakan perkhidmatan kereta api, Korea Train Express (KTX) dari bandar Seoul ke Busan.
Demi memenuhi permintaan anaknya, Soo-an (Kim Soo-ahn) yang ingin berjumpa dengan ibunya di Busan, ia telah mengundang tragedi apabila mereka berdepan dengan serangan zombie.
Tidak hanya mereka, bahkan sebahagian penumpang kereta api berkenaan turut ditimpa nasib yang sama apabila menjadi mangsa serangan sehingga ada antara mereka turut menjadi zombie.
Bertarung nyawa bersama penumpang lain bagi menyelamatkan diri masing-masing, wujud misteri di sebalik punca serangan zombie yang disebabkan penularan virus sehingga menggugat keselamatan penduduk setempat.
Berkongsi pengalaman menjayakan filem TTB, Gong Yoo mengakui, dirinya mengalami ketakutan saat ingin berdepan dengan zombie sewaktu berada di set penggambaran.
Disebabkan kesan solekan khas yang dikenakan pelakon kelihatan mengerikan, Gong Yoo memberitahu, filem TTB tidak hanya memperuntukkan stamina yang tinggi tetapi permainan emosi antara bapa dan anak.
“Sejujurnya, sejak usia muda, saya tidak gemar memasuki rumah hantu terutama yang didirikan dalam taman tema permainan kerana berasa mudah takut. Boleh saya ringkaskan, sebenarnya saya seorang penakut.
“Bagaimanapun, apabila terbabit dengan TTB sebenarnya saya telah berjaya berhadapan dengan ketakutan sendiri. Tidak sekadar itu, saya banyak mempertingkatkan mutu lakonan terutama daripada aspek permainan atau ekspresi wajah serta emosi.
PRODUK BAHARU Selepas Train To Busan, Gong Yoo muncul dengan buah tangan baharu iaitu filem bercorak agen perisikan The Age of Shadows dan drama Goblin.
“Jadi boleh dikatakan, saya sepatutnya perlu berterima kasih, bersyukur dan berbangga kerana terbabit di dalam naskhah ini,” jelas Gong Yoo yang mengakui dirinya kelihatan lucu sewaktu melihat rakaman babak di sebalik tabir.
Sekuel TTB
Meskipun industri hiburan dari Korea Selatan mampu mendominasi cita rasa penggemar seni dunia tidak mengira sama ada muzik mahupun drama, namun filem terbitan mereka agak sukar menembusi pawagam tempatan berbanding negara Asia lain.
Memperkenalkan strategi mengadakan tayangan beberapa hari lebih awal sekitar hujung Ogos lalu daripada tarikh tayangan asal di Malaysia bagi mengetahui sambutan penonton terhadap filem tersebut, ternyata inisiatif tersebut berjaya.
Berdasarkan sambutan luar biasa yang diterima, TTB tidak hanya mencipta sejarah dengan mendapat kutipan sebanyak AS$ 88.1 juta (RM364 juta) sehingga 7 September lalu selepas ditayangkan di 156 buat negara (jumlah kutipan tidak termasuk di Malaysia), filem tersebut turut mendapat perhatian pembikin filem antarabangsa.
Menarik minat pihak Sony Pictures dan 20th Century Fox, kedua-dua syarikat gergasi itu ingin memujuk produksi TTB dengan harapan agar sekuel filem tersebut berjaya direalisasikan.
Pengarah TTB, Yeon Sang-ho kemudian diajukan soalan sama ada akan menyambung sekuel filem tersebut kerana rata-rata penonton ingin melihat perkembangan watak Seok-woo dan anaknya, Soo-an.
Biarpun wujud keinginan untuk menghasilkan filem Train To Busan 2 (TTB2), Sang-ho bagaimanapun pantas menolak permintaan tersebut kerana watak Seok-woo tidak mampu dihidupkan semula.
“Bagaimana kami ingin mengembalikan seseorang yang seharusnya telah mati untuk dihidupkan semula hanya kerana memenuhi keinginan menghasilkan sekuel filem?,” soal Sang-ho mengenai persoalan tentang sekuel TTB.
Selain Gong Yoo, TTB turut dibintangi oleh Jung Yu-mi, Ma Dong-seok, Choi Woo-shik, Jang Hyuk-jin, Shim Eun-kyung, Kim Eui-sung dan Ahn So-hee.
Sementara itu, berbicara mengenai kariernya yang kembali hangat, Gong Yoo atau nama sebenarnya, Kong Ji-chul mengakui bimbang sekiranya gagal mengekalkan momentum tersebut kerana terpaksa bersaing dengan kemunculan pelakon baharu.
PECAH PANGGUNG Train To Busan mencatat penjualan tiket paling tinggi sekali gus menjadi filem Korea Selatan pecah panggung tahun ini dengan kutipan AS$124 juta (RM514 juta).
Justeru dia memasang strategi sendiri. Biar pernah ‘dilupakan’, namun sebagai pelaku seni senior, Gong Yoo perlu bersikap selektif terutama dalam soal pemilihan skrip.
“Selepas melihat reaksi penonton, saya mengharapkan agar naskhah yang seterusnya tidak hanya dapat mengekalkan populariti tetapi diberi peluang untuk mempamerkan bakat lakonan saya.
“Bukan tamak atau memilih produk yang terlampau bagus, tetapi ia sesuai untuk saya menstruktur semula kerjaya seni saya. Malah, jika saya benar-benar selektif terhadap karakter yang dibawa, ia turut memberi kesan kepada personaliti saya,” ujar Gong Yoo.
Berkahwin
Meninggalkan kisah kariernya, Gong Yoo juga ditanya mengenai status dirinya yang masih solo biarpun menghampiri usia 40 tahun. Masih memegang status bujang dan berbekalkan wajah tampan, Gong Yoo sering menjadi buruan peminat dan media tempatan tentang persoalan pemilih belahan hatinya.
Tidak terlalu mendedahkan kisah peribadi kepada umum, aktres Yoon Eun-hye pernah dikaitkan menjalin hubungan cinta dengannya selepas babak mesra dan intim mereka berjaya menghipnosis penonton menerusi drama bersiri Coffee Prince.
Selepas kedua-duanya menafikan dakwaan tersebut, Gong Yoo pernah dikaitkan bercinta dengan Im Soo-jung. Bagaimanapun, sekali lagi mereka menafikan desas-desus tersebut.
Malah, faktor usia sedikit pun tidak meletakkan Gong Yoo dalam zon terdesak untuk mencari pasangan hidup dan mengakui selesa memberi fokus pada kerjaya.
Tidak meletakkan syarat mahupun ciri-ciri wanita impian, ironinya dia mengakui dirinya berasa teruja untuk membesarkan anak-anak dan melihat mereka membesar.
“Saya tidak pernah meletakkan sebarang syarat mengatakan bahawa wanita yang akan menjadi isteri saya mesti merupakan daripada lingkungan artis.
“Selain itu saya juga tidak mempunyai perkahwinan fantasi mahupun wanita impian. Biarlah perkara tersebut berlaku dengan sendiri tanpa paksaan atau perasaan terdesak. Apa yang pasti, saya juga punya keinginan untuk membesarkan anak-anak,” ujarnya.
Gong Yoo yang turut muncul menerusi rancangan hiburan Entertainment Weekly di saluran KBS2 berjanji dengan salah seorang daripada peminatnya bahawa dia akan berkongsi berita perkahwinan sekiranya telah bersedia untuk berumah tangga kelak.
Peminat tersebut juga berharap agar Gong Yoo mendedahkan identiti dan berita baik itu di laman kelab peminat sebelum mendedahkan kepada media.