Amir Jahari sasar pasaran antarabangsa


AMIR (duduk tengah) bersama sebahagian daripada 15 orang ahli pemuzik Amir Jahari Project.

JIKA sebelum memulakan kerjaya seninya sebagai penghibur jalanan, Amir Jahari selesa membuat persembahan secara bersendirian, namun kini dia mengakui selesa ditemani rakan-rakan di atas pentas.

Kemungkinan dilihat seperti satu fenomena apabila penyanyi solo mula beralih arah kepada band seperti Akim & The Majistret dan Azlan & The Typewriter. Kini tiba giliran Amir Jahari Projek mengikut jejak langkah mereka.

Tampil membawa kelainan, transisi pelantun lagu Tanpamu itu tidak dipengaruhi oleh persekitaran, sebaliknya ia merupakan idea baharu buat Amir untuk terus berkarya.

Memiliki kekuatan seramai 15 orang pemuzik yang akan mengiringi persembahannya kelak, mereka rata-rata merupakan kenalan rapat Amir selain berpengalaman dalam bidang muzik.

“Saya tidak terlintas untuk meniru sesiapa, apatah lagi dipengaruhi oleh perkembangan trend masa kini kerana segalanya berlaku setelah kami sepakat membuat perbincangan.

“Perkara paling penting, masing-masing mempunyai cara tersendiri untuk mempersembahkan konsep di samping memartabatkan industri muzik tanah air,” kata penyanyi berusia 24 tahun itu.

Bagaimanapun, kesemua pemuzik tersebut tidak tetap kerana mereka akan silih berganti mengikut kelapangan waktu kerja masing-masing.

Berusaha menampil kelainan dalam setiap sentuhan muziknya, jika sebelum ini dia lebih memberi fokus kepada genre muzik pop, kini Amir ingin mengubah radar kepada tradisional.

Seiring dengan eksperimentasi itu, Amir kini dalam rangka memperkemaskan material album keduanya di bawah nama Amir Jahari Project yang bakal diterbitkan sekitar Januari tahun depan.

Berbeza dengan album pertama berjudul Penghibur Jalanan yang dikeluarkan pada 2013, buah tangan keduanya itu bakal menyaksikan kematangan Amir setelah lebih lima tahun bergelumang sebagai anak seni.

Di samping giat mempromosikan single berjudul Ingga, asimilasi genre pop dan tradisional selain dinyanyikan dalam dialek Sarawak memberi atmosfera baharu dalam industri hiburan tanah air.

“Kami masih berada dalam peringkat perbincangan tetapi apa yang boleh dikongsi pada masa sekarang ialah album kedua akan terbahagi kepada dua bentuk cakera padat (CD) iaitu A dan B.

“Album pertama akan diterbitkan pada Januari depan, manakala kedua pula sekitar pertengahan tahun 2017,” ujarnya bersungguh-sungguh.

Tembus antarabangsa

Mengorak langkah ke hadapan, Amir Jahari bersama rakan-rakan atau Amir Jahari Project tidak hanya mencipta nama di Malaysia tetapi kini berpeluang melebarkan sayap ke pentas antarabangsa menerusi pertandingan nyanyian anjuran rangkaian Hotel Aloft.

Ia membariskan 15 penyertaan dari pelbagai negara Asia iaitu Malaysia, Singapura, Thailand, China, Hong Kong, Macau, Taiwan, India dan Korea Selatan.

Sementara itu, Pengurus Besar Hotel Aloft Kuala Lumpur Sentral, Gregory Gubiani berkata, penganjuran program Project Aloft Star dengan kerjasama saluran televisyen MTV dapat memberi peluang kepada penghibur baharu untuk mencipta nama.

“Pertandingan ini tidak hanya memberi peluang kepada peserta yang berpotensi melebarkan bakat ke pentas antarabangsa tetapi mereka juga dapat bertukar pendapat dan perkembangan muzik dari negara masing-masing,” jelas Gubiani mengenai kejohanan tersebut yang kini telah memasuki tahun ketiga.

Selain Amir Jahari Project, mereka turut ditemani oleh Atilia Hana, Safwan Idham Ramlan (SIR), Dzamira Dzafri, Ili Ruzanna Iqbal dan Monalyssa selaku wakil dari Malaysia ke peringkat separuh akhir.

Dinilai 100 peratus berdasarkan undian peminat di laman web projectaloftstar.mtvasia.com sebelum pihak juri MTV menentukan lima kumpulan yang mara ke peringkat akhir, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak AS$100,000 (RM402,149).

Post a Comment

Previous Post Next Post