
JANNA dipilih menjadi duta jenama alat solek FCC baru-baru ini.
SEWAKTU single debutnya, Mungkin Saja dilancarkan sekitar Februari lalu, pelakon Janna Nick tidak meletakkan sebarang harapan terhadap percubaan sulungnya bergelar penyanyi.
Pada pemahaman awal Janna, mungkin khalayak sukar untuk menghadam hala tuju baharunya sebagai pelantun suara, sementelah dirinya tidak pernah dibekalkan dengan ilmu asas dalam bidang muzik.
Bagaimanapun, wanita berusia 21 tahun itu agak terkejut apabila lagu ciptaan Kunci Demak tersebut masih lagi dimainkan rangkaian stesen radio tempatan walaupun telah hampir lapan bulan ia diterbitkan.
Ketika ditemui pada majlis memperkenalkan Janna sebagai duta jenama alat solek FCC di Zebra Square, Kuala Lumpur baru-baru ini, pemilik nama sebenar Nurul Jannah Muner itu melahirkan rasa syukur kerana lagu tersebut masih mendapat tempat dalam kalangan pendengar.
Begitupun, pelakon yang mula dikenali menerusi drama Syurga Nur itu tidak berhasrat untuk memberi fokus penuh kepada bidang nyanyian.
Kongsi Janna, dunia nyanyian bukan keutamaannya dan dia lebih selesa untuk melihat dirinya dikenali sebagai pelakon yang berjaya.
KOSMO!: Tahniah Janna kini bergelar duta jenama alat solek FCC! Boleh ceritakan sedikit mengenai pelantikan anda sebagai duta?
JANNA: Terima kasih. Sebenarnya, saya memang tidak gemar melaram dan jika perlu bersiap, saya akan pastikan ia tidak keterlaluan. Justeru, apabila dilamar oleh FCC dan melihat produknya juga tidak sarat, saya pun bersetuju bergelar duta mereka.
Apakah keistimewaan lain yang anda suka mengenai produk ini?
Selain praktikal dan mudah untuk digunakan, ia sama sekali tidak memudaratkan kulit. Saya mula menggunakannya beberapa bulan sebelum menandatangani kontrak dan ternyata ia tidak mendatangkan kesan sampingan pada wajah.
Kedua, ia halal dan memudahkan saya untuk mengerjakan solat walaupun dengan wajah yang siap disolek.
Sejak kebelakangan ini, anda dilihat begitu sukses dalam mengelolakan kerjaya sebagai anak seni. Selain drama, single sulung anda, Mungkin Saja turut mendapat sambutan ramai. Tidak merancang untuk mengeluarkan single kedua?
Saya memang teringin untuk merakamkan single baharu. Namun, bidang nyanyian bukanlah keutamaan buat masa ini. Saya mahu fokus kepada lakonan terlebih dahulu. Bagaimanapun, saya tidak menolak untuk terus menyanyi, lebih-lebih lagi jika lagu yang diberikan sesuai dengan saya.
Jadi, anda tidak meletakkan sebarang sasaran terhadap percubaan dalam bidang nyanyian?
Saya anggap nyanyian sebagai sebuah ‘pelarian’ dan saya berasa sungguh senang jika orang lain turut terhibur dengan apa disampaikan.
Benar, saya tidak menyasarkan sebarang pencapaian atau anugerah untuk bidang ini. Ia berbeza jika melibatkan bidang lakonan apabila saya akan berusaha bersungguh-sungguh untuk merangkul anugerah dan pengiktirafan.
Selain bidang nyanyian, apakah cabang seni lain yang ingin anda ceburi?
Pada pandangan saya, cukuplah dua karier yang berjalan secara serentak. Jika ada tawaran seperti pengacaraan atau apa sahaja yang bersesuaian, mungkin saya akan pertimbangkan.
Rakan seperjuangan anda, pelakon Saharul Ridzuan bakal mendirikan rumah tangga pada 16 September ini. Tidak terfikir untuk mengikut jejak langkah Saharul yang mendirikan rumah tangga pada usia muda?
Saya masih muda, banyak perkara yang ingin saya cuba. Jika sudah sampai jodoh, saya tidak akan menolak. Buat masa ini, saya selesa untuk fokus kepada karier sebagai seorang pelakon.