
Penyanyi tersohor negara, Siti bakal hadir bersama album terbaharu pada awal tahun hadapan.
ISU lagu ciplak bukanlah satu perkara asing dalam industri muzik tempatan. Biarpun jarang berlaku, isu ini dilihat mampu menjejaskan kredibiliti komposer selain memberi tanggapan buruk terhadap penyanyi yang merakamkan karya tersebut.
Itulah kegusaran digetuskan penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza apabila lagu hari raya terbaharunya, Hari Kemenangan didakwa khalayak mirip lagu yang pernah dipopularkan kumpulan nasyid, Rabbani berjudul Kemenangan.
Berpeluang bertemu dengan penyanyi tersohor negara pada majlis sambutan hari raya bersama 30 penghuni Rumah Titian Kasih di Hotel The Westin, Kuala Lumpur baru-baru ini, Siti atau nama sebenarnya, Siti Nurhaliza Tarudin berkata, beliau menyedari tentang persamaan yang ada pada kedua-dua lagu tersebut selepas menonton rakaman video dikirim peminat beberapa hari sebelum menjelang Hari Raya Aidilfitri pada bulan lalu.
Ironinya, sewaktu menyedari tentang perkara tersebut, lagu ciptaan komposer terkenal, Suhaimi Mohd. Zain atau lebih mesra disapa dengan panggilan Pak Ngah itu baru sahaja dipasarkan secara digital dan dimainkan rangkaian stesen radio tempatan.
Bagaimanapun, Siti, 37, memberitahu, persamaan yang terjadi bukan disebabkan masalah ciplak, sebaliknya, isu berkenaan timbul akibat salah faham berlaku sewaktu Pak Ngah memberikan demo lagu serupa kepada kumpulan tersebut beberapa tahun lalu.
KOSMO!: Boleh Datuk Siti terangkan bagaimana salah faham ini boleh terjadi?
DATUK SITI: Saya difahamkan, Pak Ngah pernah memberikan beberapa buah demo lagu kepada kumpulan Rabbani beberapa tahun lalu. Lagu Hari Kemenangan merupakan antara lagu tersenarai. Namun, selepas lagu tersebut diberikan, mereka berdiam diri dan Pak Ngah menganggap Rabbani tidak bersetuju merakamkan lagunya. Disebabkan itu, Pak Ngah memberikan lagu tersebut kepada saya dan dirakamkan sempena hari raya tahun ini.
Adakah lagu tersebut dirakamkan oleh Rabbani dan dimuatkan dalam album mereka?
Saya kurang pasti mengenai perkara tersebut. Namun, menerusi video yang dikongsi peminat, Rabbani menyanyikan lagu tersebut menerusi persembahan terbuka dan tidak dikomersialkan. Tambahan pula hak cipta masih milik Pak Ngah.
Apakah tindakan lanjut Rabbani selepas anda sedar tentang video tersebut?
Selepas perkara ini dibincangkan oleh pihak Universal Music dan Pak Ngah, Rabbani ada menghantar surat dan menyatakan permohonan maaf. Saya berasa sangat gembira kerana isu ini tidak berlanjutan.
Adakah perkara ini menjejaskan hubungan anda bersama Rabbani?
Sejujurnya, saya sangat menghormati mereka. Sebagai rakan artis, saya tidak mahu mengguris hati sesiapa. Tambahan pula, saya dan Rabbani sering berkongsi pentas mengadakan persembahan bersama. Justeru, apabila perkara ini dapat diselesaikan dengan baik, saya berasa sangat bersyukur. Dalam masa sama, ia membuktikan bahawa karya Pak Ngah masih lagi berbisa.
Pernah mengalami situasi yang serupa sebelum ini?
Saya pernah mengalami perkara sama sekitar beberapa tahun lalu. Menerusi album Hadiah Daripada Hati, saya ada merakamkan lagu ciptaan komposer Indonesia berjudul Wanita. Selepas album tersebut diterbitkan di Malaysia, saya diberitahu ada seorang penyanyi di sana turut memasarkan lagu yang serupa. Begitu juga dengan lagu Engkau ciptaan Ade Govinda, versi rakaman penyanyi dari Indonesia muncul di internet selepas ia dimuatkan dalam album Unplugged pada tahun lalu.
Boleh kongsikan perkembangan terkini?
Saya kini sedang memilih material yang sesuai untuk dimuatkan dalam album studio terbaharu. Mengikut perancangan, album tersebut mungkin dipasarkan pada awal tahun hadapan.