Penjenamaan semula Haiza


Haiza kini tidak lagi dikenali hanya sebagai penyanyi dangdut, tetapi sayap seninya semakin melebar tinggi di angkasa sebagai deejay dan penyanyi serba boleh.

HAMPIR 21 tahun bergelumang dalam bidang seni, penyanyi dan penyampai radio Haiza sudah masak dengan asam garam dan sepak terajang dunia penuh glamor ini.

Sepanjang tempoh tersebut, penyanyi yang mula terkenal dengan irama dangdut menerusi album Dag Dig Dug... Mana Tahan pada 1995 itu pernah berada di puncak populariti dan pernah merasai pengalaman dipandang sebelah mata.

Bagaimanapun, Haiza atau nama sebenarnya, Rohaizah Nordin berjaya membuka mata banyak pihak apabila menyertai program realiti Gegar Vaganza musim kedua pada tahun lalu.

Meskipun tidak bergelar juara, namun bakat seni wanita berusia 36 tahun itu terserlah dan namanya kembali meniti di bibir peminat. Sejak itu, rezekinya mencurah-curah termasuk kini bergelar penyampai radio untuk stesen Kool FM.

“Alhamdulillah, jadual kerja saya semakin sibuk. Perubahan yang berlaku agak ketara kerana jika sebelum ini saya dipandang sepi dan pernah nama digugurkan daripada persembahan pentas kerana disangka hanya boleh menyanyi dangdut, situasi berkenaan sudah berubah.

“Sekarang, saya ditawarkan menyanyi lagu pelbagai genre termasuk menjadi pengacara majlis. Bayaran juga naik sedikit daripada dahulu. Saya anggap ia rezeki untuk keluarga dan rakan-rakan. Tanpa doa dan sokongan semua, saya tidak akan berdiri di sini,” ujar Haiza merendah diri.

Populariti semula yang diraih Haiza itu bukan sahaja membuka mata banyak pihak tentang bakatnya, tetapi secara tidak langsung memberi ruang untuknya mengenali siapa kawan dan lawan.

Menurut Haiza, perubahan pandangan orang terhadapnya adalah sesuatu yang normal. Biarpun pernah dipandang sepi suatu ketika dahulu, penyanyi kelahiran Pontian, Johor itu enggan menjadikan perkara tersebut menyekat dirinya untuk mara ke hadapan.

“Setakat ini apa yang dilihat sebelum dan selepas menyertai program Gegar Vaganza adalah orang yang tidak kenal siapa Haiza akan memandang rendah pada saya. Selepas lihat kebolehan Haiza, pandangan mereka berubah.

“Saya tidak pernah berkecil hati kerana itu semua normal dalam kehidupan. Biasalah jika berada di atas orang akan suka dan apabila berada di bawah, semua akan mula meninggalkan kita,” katanya yang sentiasa berfikiran positif dalam setiap perkara yang berlaku.

Rancang tambah anak

Beralih bicara tentang keluarga, isteri kepada pemain hoki, Norhanaphe Omar dan ibu kepada Nur Iman Syafie, 4, itu menegaskan, biarpun jadual kerjayanya padat, namun suami serta anak tunggalnya sentiasa menjadi keutamaan.

Keluarga juga punca utama dia beralih angin daripada bekerja di sebuah stesen radio di Johor ke Kuala Lumpur.

“Sungguhpun sibuk, saya tetap akan mencari waktu berkualiti bersama mereka. Biasanya, setiap Sabtu dan Ahad saya akan terlibat dengan persembahan pentas. Jika berdekatan, saya akan membawa suami dan anak bersama.

“Sekurang-kurangnya, kami akan keluar berjalan atau makan bersama sebelum persembahan pentas. Setakat ini semuanya berjalan lancar dan suami juga amat memahami kesibukan kerja isterinya,” tutur Haiza.

Disoal tentang pertambahan ahli keluarga, Haiza hanya tertawa panjang seraya berkata, sudah menjadi impiannya serta suami untuk menambah cahaya mata. Namun, sehingga hari ini mereka belum dikurniakan rezeki.

“Saya pun sudah 36 tahun, jika boleh memang mahu tambah anak kedua dan ketiga. Saya memang sukakan keluarga yang besar sebab meriah bila sudah tua nanti. Cuma belum dikurniakan rezeki. Jika dikurniakan anak lagi dalam masa terdekat saya sangat bersyukur,” luahnya.

Selain itu, pada majlis rumah terbuka anjuran Haiza di Bukit Jalil Golf & Country Resort, Kuala Lumpur baru-baru ini, anak tunggalnya Iman turut berkongsi pentas dengan Haiza dengan mendendangkan beberapa buah lagu termasuk lagu dangdut.

Dapat dilihat dengan jelas, anaknya mewarisi darah seni Haiza dan berbakat dalam bidang nyanyian. Meskipun tidak menghalang untuk anaknya menceburi bidang seni pada masa depan, tetapi sebagai ibu, Haiza enggan anaknya terlibat dalam dunia glamor pada usia terlalu muda.

“Memang saya nampak dia ada bakat seni terutamanya nyanyian. Dia juga boleh menyanyi dengan baik sebab selalu lihat ibunya berlatih. Cuma bukan sekarang, dia kecil lagi, baru empat tahun, sekolah pun belum lagi.

“Bagi saya, biarlah dia jalani kehidupan kanak-kanak normal terlebih dahulu. Sebagai ibu yang sudah ‘masak’ dengan dunia seni, saya mahu dia mengutamakan pelajaran dan menceburi kerjaya yang menjamin masa depan,” ujarnya.

Namun begitu, andai benar Iman mahu bergelar penyanyi suatu hari nanti, Haiza mahu anaknya mempunyai hala tuju yang betul. Katanya, bukan mudah untuk bergelar seorang penyanyi kerana terlalu banyak pahit daripada manisnya.

Single baharu

Dalam pada itu, selepas lima bulan bergelar penyampai radio Kool FM di slot pagi bersama AG, Haiza semakin selesa. Akuinya, pada peringkat awal perasaan gementar menguasai dirinya sehingga melakukan beberapa kesalahan semasa ke udara.

Namun, berkat sokongan dan tunjuk ajar rakan sejawatan terutamanya AG yang lebih senior dalam bidang radio, perasaan gementar itu hilang.

“Mulanya memang berdebar dan tidur malam pun tidak lena. Bayangkan pada peringkat awal, mengawal panel pun saya tidak pandai. Ada masanya langsung tiada bunyi keluar sebab saya terlupa tekan panel.

“Alhamdulillah, sekarang semakin selesa dan diberi kepercayaan untuk menguruskan slot pagi seorang diri andai AG tidak dapat turut serta,” katanya.

Selain daripada itu, Haiza tetap meneruskan kerjaya seninya seperti biasa. Terbaharu, dia muncul dengan single berjudul Tentang Cinta ciptaan sepenuhnya Asfan Shah.

Bagaimanapun lagu bergenre rock balada itu masih belum diputarkan di radio kerana memberi laluan kepada lagu raya terlebih dahulu.

“Saya tidak tahu bagaimana penerimaan peminat terhadap single baharu itu. Ia bukan lagu dangdut, jadi memang agak berdebar. Namun, dalam masa yang sama teruja sebab mencuba sesuatu yang baharu.

“Jika tiada kekangan, tidak lama lagi single Tentang Cinta akan berkumandang di radio. Saya harap peminat dapat memberi sokongan dan menerima penjenamaan baharu Haiza,” tuturnya menutup bicara.

Post a Comment

Previous Post Next Post