
MESEJ - Maher menyifatkan album One sebagai mengandungi untaian karya sarat mesej positif.
Selepas empat tahun menyepi tanpa hadir dengan album baharu, penyanyi kelahiran Tripoli, Lubenan, Maher Zain yang sinonim dalam mengangkat karya-karya berunsur Islamik kembali melahirkan ‘buah tangan’ ketiga berjudul One.
Pelantun lagu Thank You Allah berusia 35 tahun ini menterjemah mesej-mesej kerohanian melalui muzik kontemporari moden beranggapan album terbaharu dilancarkan serentak di seluruh dunia pada 1 Ramadan lalu merupakan karya cerminan kematangan dirinya berkecimpung dalam dunia seni.
Maher memberitahu, perjalanan karier seninya bermula agak perlahan berbanding artis lain yang menempa nama di persada antarabangsa. Beliau hanya mula menyanyi secara serius sewaktu usia menginjak 27 tahun.
“Dua tahun kemudian, baru saya muncul dengan album sulung berjudul Thank You Allah manakala Forgive Me merupakan album kedua dibikin pada tahun 2012. Hal ini bermakna secara kolektif, saya baru sahaja berkecimpung dalam dunia seni kira-kira lapan tahun.
“Begitupun, sepanjang lapan tahun bergelar artis, banyak yang telah saya pelajari dan memperbaiki diri untuk terus berkarya dalam menyampaikan mesej-mesej positif kepada para pendengar,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran album ketiganya, One di Menara Kuala Lumpur, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Penyanyi yang pernah menerima Anugerah Platinum di Malaysia menerusi penjualan album pertamanya, Thank You Allah mencecah 300,000 unit itu tidak menyifatkan dirinya sebagai seorang penyanyi yang bagus. Beliau malah menyifatkan dirinya masih bertatih dalam bidang seni ini.
Justeru, sepanjang pembabitan dalam dunia seni, beliau banyak memperbaiki diri dalam bidang nyanyian dan interaksi bersama audiens melalui persembahan-persembahan yang dilakukan di seluruh dunia.
One
“Sebagai artis baharu banyak yang perlu saya perbaiki semasa mula-mula berkecimpung dalam bidang ini. Bagaimanapun, secara berperingkat-peringkat melalui usaha berterusan saya mula berkembang sebagai artis hari ini.
“Bahkan, saya dan pihak pengurusan syarikat telah memberikan yang terbaik dalam pembikinan album ketiga berjudul One ini. Kami melihat ia sebagai sebuah karya yang baik daripada pelbagai segi termasuk nukilan lirik, susunan muzik, mixing dan mastering album,” katanya.
Menyentuh berhubung pemilihan nama judul album One, lelaki yang sentiasa mengukir senyuman ini menjelaskan, sebagai seorang Muslim apa sahaja dilakukan dalam kehidupan ia akan berbalik kepada Allah Yang Maha Satu.
“Ia amat bertepatan apatah lagi apabila imej Islam tercalar berikutan konflik yang melanda dunia. One juga sebagai simbolik satu dunia yang merupakan tempat manusia menetap serta perpaduan sejagat ummah Islam seluruh dunia.
“Album terbaharu ini merupakan satu usaha kecil dalam menyampaikan mesej positif keamanan agar dapat menjalani kehidupan berharmoni bagi menjadikan dunia lebih baik,” tuturnya.
Album yang memuatkan 15 buah lagu itu mengambil masa sekitar dua tahun untuk disiapkan sepenuhnya, malah mempunyai tiga versi berbeza bagi pasaran dunia iaitu bahasa Arab, Inggeris dan Turki.
Dalam album tersebut, Maher memberitahu, telah berkolaborasi bersama beberapa artis ternama dunia bagi memberi kelainan dan muzik lebih segar serta bertenaga.
“Saya telah berduet bersama penyanyi Afrika Selatan, Amakhono We Sintu melalui lagu berjudul The Power, Mustafa Ceceli (The Way of Love-Turki), Atif Salam (Medina dan I’m Alive-Pakistan) serta Issam Kamal (Good Day-Maghribi).
“Sungguhpun album terbaharu ini masih mengekalkan nukilan lirik mesej-mesej positif seperti album terdahulu, terdapat kelainan daripada segi kualiti dan muzik diperdengarkan kepada pendengar kerana ia lebih universal,” ujarnya.
Selain itu, Maher memberitahu, album itu juga mendapat khidmat jurutera terbaik dan pemuzik-pemuzik berpengalaman bagi memberi produk berkualiti tinggi.
“Saya harap duet bersama penyanyi popular antarabangsa ini akan dapat meluaskan pasaran album saya. Semasa pembikinan album kali ini, saya juga berdepan cabaran apabila perlu merakam lebih 30 buah karya kerana terdapat tiga versi diedarkan di dunia.
“Ia merupakan pengalaman baharu kerana memerlukan ketelitian dan mengambil masa yang lama untuk merakamkan album terbaharu ini,” katanya.
Peminat
Maher yang cukup selesa berada di Malaysia menambah, beliau berharap dapat mengadakan konsert siri jelajah di setiap negeri-negeri di Malaysia bagi membolehkannya bersua muka sekali gus melahirkan rasa penghargaan kepada para peminat.
“Bagaimanapun, saya tidak boleh memberitahu tarikh tepat untuk mengadakan siri konsert jelajah berkenaan. Saya berharap ia dapat dilaksanakan secepat mungkin.
“Hal ini kerana melalui medium berkenaan, saya dapat mendekati peminat-peminat di seluruh Malaysia yang banyak memberi sokongan sepanjang bergelar artis,” katanya teruja.
Dalam pada itu, menyentuh mengenai populariti, Maher yang memegang kerakyatan Sweden melahirkan rasa syukur kerana tidak dikenali di negaranya sendiri.
Biarpun melakar nama di benua Eropah, Asia dan Arab sejak bergelar artis lima tahun lalu, beliau selesa dengan keadaan apabila orang tidak begitu mengenali dirinya.
“Saya selesa kerana dapat kembali normal seperti orang biasa apabila balik ke Sweden. Ia sekali gus dapat memberi masa dan ruang untuk saya berehat selepas mengadakan promosi di luar negara.
“Kalau ke luar negara adakalanya saya dapat layanan macam VIP, ada orang sambut dan angkat beg saya tetapi apabila pulang ke Sweden, saya kena angkat beg sendiri. Tidak ada yang hiraukan saya. Sebab itu bagi saya, saya masih Maher Zain yang sama,” katanya sambil ketawa.
Maher memberitahu, suasana yang dirasai merupakan satu hikmah kerana dapat memastikan beliau sentiasa berdiri di bumi yang nyata agar tidak lupa diri kerana perlu melakukan semua perkara seperti orang biasa.