
NEELOFA (kanan) bersama ibunya, Noor Kartini (duduk) adiknya, Nur Ameera (kiri) dan kakaknya, Noor Nabila.
MEDIA sosial sering menjadi pilihan utama buat masyarakat masa kini berkongsi aktiviti seharian dan pelbagai berita.
Tidak terlepas mengikuti trend yang sama, pelakon dan pengacara jelita, Neelofa atau nama sebenarnya, Noor Neelofa Mohd. Noor turut menjadikan medium media sosial sebagai medan perhubungan dengan peminat.
Bagaimanapun, aktiviti selebriti itu mengundang rasa kurang senang dalam kalangan masyarakat apabila dikatakan cuba mempamerkan kekayaan ekoran kerap memuat naik video dirinya menjalani kehidupan mewah.
Membiarkan sentimen negatif bergentayangan di minda peminat, pelakon filem Lemak Kampung Santan itu turut berkongsi khabar gembira apabila dia bakal menunaikan ibadah haji bersama kedua orang tuanya iaitu Noor Kartini dan Mohd. Noor.
Dijadualkan berangkat ke Tanah Suci Mekah pada 5 September dan pulang pada 20 September depan, Neelofa, 27, yang tampak jelita sewaktu majlis rumah terbukanya di Pinggiran Taman Tun Dr. Ismail lebih memberi perhatian tentang persediaan kerohanian berbanding menyediakan kelengkapan ke sana.
KOSMO!: Bagaimanakah dengan persediaan mental dan fizikal Neelofa sebelum berangkat menunaikan haji pada 5 September depan?
NEELOFA: Pertama sekali saya mengucapkan syukur kepada Tuhan kerana diberi kesempatan ini pada usia yang muda. Sejujurnya saya tidak memberi penekanan tentang persediaan kelengkapan yang ingin dibawa ke Mekah kerana perkara paling penting ialah persediaan dari segi rohani. Hal ini kerana sukar untuk kita jangka bentuk dugaan yang akan datang kelak. Saya yakin pasti akan ada cubaan ketika sebelum, semasa dan selepas menunaikan haji kelak.
Menunaikan haji pada usia muda, tidakkah anda melihat ia satu situasi canggung memandangkan ibadah haji sering dilakukan oleh mereka yang telah berusia?
Saya tidak fikir begitu. Saya pernah melihat sebelum ini ada ibu bapa yang membawa anak mereka menunaikan haji meskipun masih kanak-kanak. Jadi, pada pandangan saya tidak salah kiranya seseorang individu masih muda ke Tanah Suci bagi menyempurnakan rukun Islam kelima itu. Secara peribadi saya sendiri berasa teruja untuk melakukan ibadah haji pada usia muda setelah pernah menjalani ibadah umrah sebanyak dua kali sebelum ini. Selain itu, saya turut menaruh harapan agar berpeluang menunaikan haji sekali lagi bersama bakal suami kelak.
Tidakkah anda berasa bimbang sekiranya peminat mengkritik keras tindakan mahupun kesilapan kecil terutama berkaitan batas pergaulan dan aurat selepas kembali dari Tanah Suci kelak?
Mengenai perkara itu sukar untuk saya jelaskan kerana sebagai manusia biasa, siapa kita untuk menilai dosa pahala individu tersebut. Sekiranya berlaku, insya-Allah saya bersedia berdepan dengan situasi berkenaan. Biarpun lumrah kehidupan bahawa manusia hanya dapat menilai kerana yang penting Allah tahu tujuan sebenar saya ke sana.
Selain menyempurnakan tanggungjawab umat Islam ke Tanah Suci, adakah anda sememangnya berniat atau membayar nazar?
Jika disebabkan tentang niat, saya sememangnya telah lama memendam hasrat untuk menunaikan haji.
Alhamdulillah peluang itu tiba secepat ini tanpa diduga. Pastinya apabila kita sampai ke sana, akan ada pelbagai niat mahupun doa dan salah satu daripadanya ialah dipertemukan dengan jodoh yang baik kelak.
Melihat kepada akaun YouTube anda bernama #ILofaYou, ada segelintir peminat meluahkan rasa tidak puas hati apabila anda kerap dilihat memuat naik video menjalani kehidupan mewah. Apakah sebenarnya tujuan video tersebut dilakukan?
Pada saya, media sosial adalah tempat untuk berkongsi kehidupan dan aktiviti seharian. Sebagai selebriti, saya menjadikan ia sebagai medium untuk berkongsi dengan peminat. Tidak terniat sekelumit pun untuk menunjuk mahupun riak dengan rezeki tersebut. Tambahan saya menilainya dari sudut positif kerana jika saya tidak memberitahunya sekarang, lambat laun perkara itu akan diketahui masyarakat apabila ia diterbitkan menerusi sebuah program televisyen kelak.
Menerusi laporan sebuah portal brightside.me, anda telah dinobatkan sebagai selebriti tercantik Malaysia. Apakah pandangan anda terhadap gelaran tersebut?
Pada awalnya saya sendiri terkejut dan tidak menduga mengenai perkara itu serta menerima ucapan tahniah daripada keluarga, kenalan dan peminat. Sejujurnya pada saya, kecantikan itu suatu perkara yang bersifat subjektif. Lebih ramai lagi wanita cantik di luar sana yang mungkin kita sendiri tidak mengetahui kerana mereka bukan selebriti, apatah lagi mendapat perhatian umum. Tambahan, saya sendiri berasa malu dengan gelaran tersebut kerana rata-rata gambar selebriti yang diambil tampak jelita berbanding saya.
Melihat kepada kerjaya seni sekarang, anda seperti memberi fokus kepada bidang pengacaraan dan perniagaan berbanding lakonan, mengapa perkara itu berlaku?
Saya meletakkan sasaran kepada satu persatu terlebih dahulu. Setelah mendapat tapak yang kukuh, baru tumpuan akan dialihkan kepada perkara lain. Jadi pada tahun ini, saya menyasarkan untuk melibatkan diri dengan penghasilan drama bersiri. Saya bakal menjalani penggambaran bermula 21 Ogos ini di bawah arahan Michael Ang berjudul Suri Hati Mr. Pilot.