Laluan baharu Mawi


ZURIAT - Memiliki seorang cahaya mata iaitu Cahaya Malaika, Mawi dan Ekin menyerahkan kepada Allah mengenai zuriat baharu buat mereka.

SEJAK kebelakangan ini arah seni bekas juara Akademi Fantasia musim ketiga, Mawi atau nama sebenarnya, Asmawi Ani dilihat lebih bersifat islamik, baik dalam segala segi, tidak kiralah muzik mahupun bidang penerbitan.

Walhal dalam kanvas seninya yang bermula 11 tahun lalu, Mawi, 35, boleh disifatkan sebagai penyanyi ‘rojak’ yang tidak gentar mencuba pelbagai genre muzik antaranya pop, balada, etnik kreatif dan juga R&B.

Percubaannya itu dilihat seperti tiada fokus. Perkara itu diakui sendiri oleh Mawi yang memberitahu, peringkat awal kerjaya seninya seperti tiada hala tuju.

“Sewaktu menyertai program Akademi Fantasia pada tahun 2005, saya masih tercari-cari identiti sebagai penyanyi.

“Selepas bergelar juara, saya dihujani lagu daripada ramai komposer ternama. Disebabkan tiada pengalaman dan hanya mengikut telunjuk pihak pengurusan, itu yang saya nyanyi lagu pelbagai genre,” tuturnya membuka bicara.

Namun, selepas beberapa tempoh waktu, Mawi memberanikan diri mencipta lagu pertamanya berjudul Ayah.

Sambutan hangat peminat menyebabkan Mawi terus berkarya dan lahirlah lagu seperti Hijab, Al-Haq, Al-Nuraa Yang 5 Yang Enam, Sahabat Dalam Tubuh dan terbaharu, lagu raya Bukan Bulan Sebarang Bulan.

Melihat judul lagunya sahaja sudah kedengaran islamik. Bagaimanapun akui Mawi, semuanya berlaku tanpa dirancang.

“Jujur, saya tidak pernah merancang untuk cipta lagu bersifat islamik. Sebelum ini saya telah cuba pelbagai jenis lagu tetapi akhirnya ditarik ke arah ini (islamik) tanpa sedar.

“Lagu-lagu ciptaan sendiri yang bersifat islamik semuanya mendapat sambutan lebih baik daripada lagu genre lain. Akhirnya saya sedar bahawa penyebaran dakwah dalam bidang seni adalah tempat saya,” katanya yang ditemui pada majlis rumah terbuka di kediamannya di Bangi baru-baru ini.

Disoal tentang hala tuju muziknya hari ini yang lebih banyak berduet dengan penyanyi rap berbanding menyanyi solo, kata Mawi, ia bukan rancangannya, sebaliknya berlaku tanpa disengajakan.

“Memang saya berduet dengan penyanyi rap seperti Daly dan Syamsul Yusof. Rezeki berduet itu datang secara tiba-tiba.

“Bukan kerana sudah tidak percaya kemampuan diri sebagai penyanyi solo tetapi sudah rezeki dan saya pula amat selesa bekerja dengan penyanyi rap,” balasnya.

Jika tiada kekangan, sekitar penghujung tahun ini Mawi akan muncul dengan lagu solonya sendiri. Sebelum itu dia terlebih dahulu keluar dengan lagu tema filem Desolasi arahan Syafiq Yusof berjudul Bukan Propaganda.

Dalam lagu tersebut, Mawi sekali lagi akan berduet bersama Syamsul Yusof selepas kali pertama dengan lagu Kalah Dalam Menang yang menjadi runut bunyi untuk filem Munafik.

Pengarah filem

Selepas berjaya mengekalkan kestabilan kerjaya nyanyian, Mawi kini sedang merancang untuk bergelar seorang pengarah filem sekitar awal tahun depan.

Menurutnya, selain menyanyi, dia juga aktif dengan syarikat produksi Mawi World Entertainment yang ligat menghasilkan drama serta dokumentari untuk stesen televisyen.

Terbaharu, dokumentari berjudul Kembara Bumi Mikraj yang berkongsi kisah perjalanannya di Palestin sedang disiarkan di televisyen.

“Saya telah mengarah lima buah drama sebelum ini. Pengalaman tersebut menyebabkan saya berani untuk terjun ke dunia filem pula.

“Namun, saya tidaklah buat filem syok sendiri. Sebaliknya, meminta tunjuk ajar dan nasihat daripada Syamsul Yusof. Saya yakin dengan penasihat seperti Syamsul, saya dapat lakukan dengan baik,” ulasnya.

Bagaimanapun, filem komedi yang merupakan kesinambungan daripada drama arahannya berjudul Rock Sangkut masih belum memulakan penggambaran kerana sedang menunggu penajaan.

“Buat filem perlu bajet yang besar. Walaupun skrip hanya tinggal draf terakhir dan barisan pelakon telah bersetuju, saya masih menunggu bajet untuk menjalankan filem ini.

“Meskipun minat dan semangat berkobar-kobar untuk menghasilkan filem saya perlu berpijak di dunia realiti bahawa buat filem adalah perniagaan. Justeru, saya harus merancang sebaik mungkin sebelum melaksanakannya,” tuturnya.

Tambahnya, biarpun filem itu berunsur komedi, dia tetap menyelitkan unsur kesedaran dan keagamaan sebagai dakwah seni.

“Sambil gelak ketawa tidak salah saya cuba ingatkan penonton tentang agama. Saya percaya dengan cara santai dakwah lebih mudah diterima oleh penonton, terutamanya golongan muda,” katanya lagi.

Curang

Beralih bicara tentang keluarga, suami kepada Norashikin Rahmat dan bapa kepada Cahaya Malaika, 4, itu bersyukur dengan kebahagian dimiliki hari ini.

Tempoh lapan tahun melayari bahtera rumah tangga, Mawi juga mengakui pernah berada pada waktu paling sukar dalam perkahwinan sebelum mengecapi keharmonian.

“Tahun pertama perkahwinan paling sukar untuk saya dan isteri. Bukan mudah untuk Ekin menerima saya yang penuh tumpuan dalam kehidupannya.

“Alhamdulillah, lama-kelamaan dia menerima saya seadanya. Kelahiran Cahaya membuat hidup saya lengkap,” luahnya.

Saat disoal rahsia keharmonian rumah tangganya, kata Mawi, sebagai pasangan suami isteri harus sentiasa ada sifat percaya dan bertolak ansur.

Paling penting katanya, setiap pasangan harus menjaga kepercayaan yang diberikan dan jangan sesekali curang dengan pasangan.

“Melihat pengalaman orang sekeliling, satu yang saya belajar adalah jangan sesekali buat hal (curang) dengan pasangan.

“Walaupun selepas itu hubungan pulih tetapi kecurangan yang dilakukan itu masih meninggalkan bekas dalam hati dan tidak akan dilupakan sampai bila-bila. Jadi, jangan pernah berniat untuk mencuba,” katanya yang mengekalkan tradisi bercuti bersama keluarga setiap enam bulan sekali.

Disoal pula tentang menambah cahaya mata, Mawi dan Ekin yang duduk bersebelahan hanya tersenyum lalu berkata, mereka bersyukur dengan kurniaan Allah dimiliki hari ini.

“Semua pun tahu saya pernah keguguran beberapa kali sebelum dapat Cahaya. Jadi, soal tambah anak saya serahkan kepada rezeki.

“Kami tidak pernah merancang, jika ada saya bersyukur. Lagipun Cahaya sudah besar, rasanya tidak ada masalah jika dapat adik, namun belum ada rezeki,” tutur Ekin menutup bicara.

Post a Comment

Previous Post Next Post