JULIA mengakui bersedia melangsungkan perkahwinan dengan jejaka pilihannya, namun tidak bersedia berkongsi identiti kekasihnya yang dikenali sebagai Johan sehingga mereka sah bergelar suami isteri.
SERING dikaitkan dengan kontroversi, perjalanan kerjaya pelakon jelita berdarah kacukan Julia Ziegler tidak lagi seperti dahulu. Tidak hanya memberi fokus kepada kerjaya seni, Julia turut berkongsi khabar gembira dan kesediaannya menamatkan zaman bujang.
Memilih calon suami yang merupakan seorang jurutera mekanikal, Julia, 32, dan Johan, 33, serius ingin mengakhiri hubungan mereka ke alam rumah tangga.
Bagaimanapun sebelum ke jenjang pelamin, Julia yang terkenal sebagai pelakon serius terlebih dahulu mengorak langkah berani apabila bakal muncul dalam program televisyen Super Spontan Superstar yang bersiaran secara eksklusif di saluran Astro Warna (132) dan tayangan serentak di Mustika HD (134).
KOSMO!: Tahniah dengan perkhabaran Julia kini bersedia untuk menamatkan zaman bujang. Boleh kongsikan serba sedikit persediaan yang telah dilakukan?
JULIA: Terima kasih. Pada pandangan saya, masih terlalu awal memperkatakan tentang persiapan kerana segalanya berada pada peringkat perbincangan. Tambahan, soal perkahwinan bukan perkara kecil yang boleh diambil secara sambil lewa.
Jika ada jodoh, tahun ini kami berkahwin tetapi andai kata sebaliknya, kami akan berkahwin pada tahun depan. Namun, sebagai langkah awal, kami berdua telah menghadiri kursus kahwin.
Adakah kalian akan mengikat tali pertunangan terlebih dahulu sebelum berkahwin?
Berdasarkan nasihat keluarga, kami membuat keputusan untuk melangsungkan perkahwinan tanpa perlu bertunang.
Bolehkah anda kongsikan detik perkenalan kalian berdua?
Kami saling mengenali setelah diperkenalkan oleh seorang rakan. Pada mulanya kami hanya sekadar teman biasa, namun setelah beberapa bulan saya merasakan kami serasi. Perkara yang paling membuat saya terharu apabila Johan sanggup bertemu dengan ibu saya, sekali gus meluahkan hasrat untuk melamar saya.
Mengapakah anda bersedia berkongsi kisah gembira ini tetapi masih tetap merahsiakan identiti lelaki tersebut?
Pada pandangan saya, tidak salah kiranya ingin berkongsi berita gembira ini kepada umum tetapi demi menghormati permintaan kedua-dua belah pihak keluarga, saya membuat keputusan agar gambar kami berdua akan diambil setelah bergelar suami isteri. Tambahan pula, keluarganya bukan datang dari dalam kalangan industri serta saya bimbang sekiranya mereka berasa tidak selesa sekiranya terlalu terdedah kepada media.
Umum mengetahui kehidupan sebagai selebriti sering dikaitkan dengan kontroversi, adakah dia (Johan) bersedia untuk berdepan dengan situasi sebegitu?
Perkara itu memang benar kerana pastinya sukar buat seseorang selebriti mengelak daripada menjadi tumpuan.
Sekiranya saya berdepan dengan berita kurang enak dalam industri, dia pasti akan membacanya di internet tetapi dia terlebih dahulu akan memastikan kesahihan berita itu dengan bertanyakan sendiri kepada saya.
Lumrah hubungan pasangan memang kadangkala ada cemburu tetapi syukur segalanya berjalan baik. Dia juga seorang yang amat memahami kerjaya saya sebagai pelakon.
Beralih kepada soal kerjaya, bagaimanakah perkembangan aktiviti seni anda sekarang?
Saya sedang sibuk menjalani penggambaran drama rantaian Bahagia Bersamamu selain akan muncul menerusi program Super Spontan Superstar.
Apakah yang membuatkan anda tertarik untuk menyertai program tersebut?
Tujuan asal saya menerima tawaran untuk menyertai program tersebut kerana ia merupakan perkara baharu dalam kerjaya seni saya kerana bersifat komedi. Saya ingin mencabar kebolehan diri dalam menghiburkan penonton dengan berjenaka secara spontan.
Saya tidak mengharapkan kemenangan tetapi peluang bersaing bersama selebriti lain sudah merupakan kejayaan buat saya. Maklumlah, dunia komedi bukan ‘makanan’ saya.
Menyertai program komedi tidakkah anda bimbang sekiranya dilabelkan sebagai pelawak kelak?
Bidang lakonan itu tidak terhad kepada satu watak sahaja dan disebabkan itu saya tidak gentar sekiranya dilabelkan sebagai pelawak kerana kerjaya ini bukan satu tugas mudah, tambahan perlu membuat penonton gelak ketawa.