TERSENTAK - Disebabkan kemalangan menimpa dirinya Mei lalu, Awi kini lebih bersikap tenang dan percaya bahawa setiap yang berlaku mempunyai alasannya tersendiri.
Tempoh enam tahun menelusuri jalur industri seni muzik Malaysia, penyanyi dan pemuzik berkaliber kelahiran republik Singapura, Awi Rafael semakin memahami erti sebenar menjadi seorang anak seni yang bukan hanya bersandarkan populariti semata-mata. Lebih-lebih lagi apabila dirinya terbabit dalam kemalangan sekitar Mei lalu di Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor.
Mendengar setiap patah terpacul daripada mulut Awi atau nama lengkapnya, Muhammad Namawi Ewan Gunawan Rafael, 30, selepas hampir tiga bulan ditimpa kemalangan, pelantun lagu Kalau Aku Kaya itu seperti lebih tersusun dari segala segi terutama dalam soal melontarkan pandangan kepada teman media.
Mengakui banyak perubahan hidup sedang dialami, Awi yang ditemui pada majlis rumah terbuka Warner Music Malaysia di IM4U Sentral, Puchong, Selangor baru-baru ini tenang bercerita mengenai fokus utamanya dalam bidang muzik.
“Ramai orang bertanya tentang keadaan saya selepas terlibat dalam kemalangan tempoh hari. Apa yang boleh saya katakan adalah saya semakin menghargai erti hidup sebenar. Saya tidak mahu lagi mensia-siakan hidup tanpa mempunyai matlamat kukuh dalam apa jua perkara saya usahakan.
“Sebagai seorang pemuzik, saya ingin melahirkan karya muzik yang memberi impak positif kepada masyarakat. Saya tidak kisah kalau orang kata keberadaan saya dalam industri semakin tenggelam asalkan dapat bikin sesuatu berguna terutama ketika dunia diuji dengan pelbagai cabaran seperti peperangan dan kebuluran,” ujarnya tenang membuka perbualan.
Teruja ingin berkongsi perihal album studio terbaharu berjudul Euforia yang bakal dilancarkan tidak lama lagi, Awi berkata, ia akan menonjolkan sisi berbeza dirinya dalam cabang seni terutama dari segi penulisan lirik.
Euforia
Bakal memuatkan lapan buah lagu, walaupun bunyian muzik masih sama seperti album dan lagu terdahulu, intuisi Awi optimis mengatakan bahawa kebanyakan lagu ditulis dirinya sendiri mempunyai mesej berkisar kebaikan serta kesedaran terhadap kehebatan Ilahi.
“Ya, Euforia merupakan album berbeza berbanding album terdahulu. Setakat ini 80 peratus sudah siap dan saya menjangkakan ia akan dilancarkan sekitar bulan Ogos atau September.
“Single pertama berjudul Kau Dihatiku (kolaborasi dengan Altimet) akan dilancarkan terlebih dahulu sebelum album penuh menyusul. Lagu tersebut adalah kesinambungan kerjasama antara saya dan Altimet yang pernah bekerjasama melalui lagu Kalau Aku Kaya.
“Banyak juga lagu lain seperti Mulakan Dengan Bismillah dan One True Love. Barangkali orang musykil mengapa tajuk lagu album baharu ini lebih menjurus ke arah ketuhanan. Bagi saya sendiri, ini bukanlah album ketuhanan atau kerohanian.
“Saya banyak mendapat inspirasi menulis lagu selepas saya terlibat dengan kemalangan. Saya akui, banyak lagu lebih dekat ke arah kerohanian tetapi muzik saya tetap sama iaitu muzik pop,” ulasnya.
Melihat senario masa kini kebanyakan penyanyi cuma hadir melalui single berbanding mengambil risiko merakamkan album penuh, Awi mempunyai alasan tersendiri untuk berkongsi karya baharu dengan para peminat.
“Sejujurnya, saya sangat percaya pada rezeki Allah. Kalau album ini mengajak orang ramai berbuat kebaikan, saya yakin akan ada bahagian saya di situ.
“Cukup dengan kelahiran album ini dalam industri, itu sudah menjadi satu kelegaaan buat diri saya sebagai penyanyi dan pemuzik. Soal laris atau tidak, itu bukan kerja saya kerana rezeki Allah itu luas dan saya sangat yakin dengan hal itu,” getusnya.
Lagu untuk Tunku Jalil
Dalam rancak berbicara, Awi turut berkongsi satu projek istimewa melibatkan individu yang sangat dirindui rakyat Malaysia terutama rakyat negeri Johor iaitu Almarhum Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim yang mangkat pada 5 Disember tahun lalu disebabkan kanser.
Lagu dicipta Ayai, lirik hasil nukilan Almarhum sendiri yang sempat ditulis sewaktu hayatnya masih ada, sementalah diterbitkan Awi. Karya istimewa berjudul Cebisan Cahaya dinyanyikan Ayai itu bakal dilancarkan pada awal bulan Ogos depan.
Berkisar tentang survival pesakit kanser, Awi yang diberi tanggungjawab untuk menerbitkan lagu tersebut berasa sangat tersentuh kerana berjaya berkongsi antara amanah terakhir Almarhum.
“Saya mendapat tawaran untuk menerbitkan lagu tersebut selepas saya terlibat dengan kemalangan Mei lalu. Alhamdulillah, saya tidak menyangka dapat menerbitkan lagu hasil tulisan individu yang banyak berjasa terutama dalam soal kebajikan pesakit-pesakit kanser.
“Saya sedang mengusahakan agar lagu tersebut juga boleh dijadikan lagu tema Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor atau memberi sesuatu yang positif kepada badan lain seperti Majlis Kanser Nasional (Makna),” katanya.
Ujarnya lagi, dia berharap album Euforia akan turut menjadi inspirasi kepada penggiat muzik tanah air untuk menyampaikan mesej-mesej positif melalui karya berkualiti.
Menutup perbualan, Awi tegas melontarkan pendapat bahawa bukan populariti yang ingin digalinya tetapi matlamat jelas berkecimpung dalam cabang muzik yang menjadi prioritinya dewasa ini.