Ashraff dan Ana Dahlia telah mengikat tali pertunangan baru-baru ini.
Ajal, maut, jodoh dan pertemuan merupakan rahsia Allah yang tidak mampu dijangka atau dirancang oleh kita sebagai hambanya.
Perihal ini tepat untuk menggambarkan situasi pelakon, Ana Dahlia atau nama sebenarnya Diyana Mastura Jaafar, 33, yang bertemu jodoh selepas lima tahun menjanda.
Tanggal 30 Julai lalu menjadi saksi pertunangan antara Ana dan bakal suami, Mohd. Ashraf Datuk Juriey Latiff, jejaka berusia lingkungan 30-an dimeterai serta bakal disatukan dalam ikatan pernikahan tidak lama lagi.
KOSMO!: Mengapakah majlis pertunangan anda dilakukan secara tiba-tiba dan tiada sebarang pengumuman sebelum ini?
ANA: Sebenarnya, kami berdua tidak merancang untuk bertunang dan hanya sekadar mahu merisik sahaja apabila keluarga Ashraf datang ke rumah ibu bapa saya di Taiping, Perak.
Begitupun, seminggu sebelum mereka datang merisik, keluarga memberi cadangan, alang-alang datang jauh apa salahnya terus bertunang, sekali gus terjadilah majlis serba ringkas dan sederhana ini. Memang agak tergesa-gesa kerana ia rancangan saat akhir.
Boleh ceritakan bagaimana detik perkenalan antara anda dan tunang bermula?
Dia bekerja di belakang tabir bersama syarikat produksi milik bapanya, Juriey Latif dan kebetulan tahun lalu saya ada berlakon dalam sebuah drama bersiri bertajuk Singgahsana Cinta arahan Juriey. Dari situ kami berkenalan dan mulai rapat sehingga mengambil keputusan untuk berkahwin.
Difahamkan, Ashraf juga memegang status duda dan mempunyai tiga anak. Adakah anda sudah bersedia memikul tanggungjawab sebagai ibu tiri kelak?
Ya, pastinya kerana sejak dulu memang mahu berkeluarga dan anak-anak dia akan saya anggap seperti anak sendiri. Mereka juga baik dengan saya dan tidak mempunyai masalah menerima saya sebagai ibu kedua selepas emak mereka sendiri.
Lima tahun bersendirian, apakah yang membuat anda terbuka pintu hati menerima Ashraf sebagai suami?
Selepas bercerai dahulu, saya tidak pernah meletakkan sebarang halangan kepada diri sendiri untuk tidak berkahwin lagi. Dari dahulu, saya impikan sebuah keluarga bahagia dan sentiasa berdoa agar Allah dengar doa saya untuk dipertemukan jodoh sekali lagi yang akan kekal hingga syurga.
Selepas bertemu Ashraf, saya lihat dia seorang yang matang dan menerima diri saya seadanya. Mungkin dia juga pernah gagal dalam rumah tangga membuatkan dia lebih memahami perasaan saya.
Benarkah anda sedang berehat daripada dunia lakonan demi fokus kepada perkahwinan?
Sebenarnya, saya sepatutnya ada penggambaran tetapi ia dibatalkan, maka masa terluang digunakan sebaik mungkin untuk persiapan majlis perkahwinan.
Namun, jika ada tawaran saya akan terima, malah bakal suami tiada masalah untuk saya terus bekerja seperti biasa selepas bergelar isteri kerana tahu itu sumber rezeki saya.
Bilakah tarikh pernikahan ini dijangka berlangsung?
Kami berdua belum memutuskan tarikh sebenar sama ada hujung bulan ini atau pada bulan September kerana mahu melihat secepat mana proses persiapan boleh dilakukan. Insya-Allah, ia akan berlangsung tahun ini juga dan saya akan beritahu apabila semuanya sudah ditetapkan.