100 soalan Raja Ilya ke Hollywood


ANUGERAH - Raja Ilya merupakan pemenang anugerah Pelakon Wanita Terbaik melalui filem Appalam pada Malaysian Tamil Award 2011.

JIKA dinilai tahap kredibiliti lakonannya, pasti tiada banyak perkara yang boleh dijadikan pertikaian, tidak mengira sama ada kemunculannya menerusi naskhah bahasa Melayu mahupun Tamil.

Tidak hanya hebat menterjemahkan watak di layar kaca, kelebihan bertutur dalam empat bahasa iaitu Melayu, Inggeris, Tamil dan Hindi menjadi keistimewaan buat pelakon Raja Ilya meluaskan pengaruhnya sebagai anak seni.

Pertama kali mengorak langkah dalam bidang seni suara menerusi program Gempak Superstar, wanita yang cukup mesra disapa sebagai Ilya itu tidak pernah menyangka penampilan sulungnya telah membuka peluang sebagai penyanyi, sekali gus melebarkan sayap ke peringkat antarabangsa.

Jelas terpancar emosi teruja di wajah saat menyusun kata, Ilya mengakui dirinya menerima tawaran terbang ke Hollywood bagi mengembangkan bakat dalam bidang nyanyian.

Menjadi satu peluang keemasan buat Ilya memperkukuhkan portfolio seninya, pelakon berusia 31 tahun itu enggan terburu-buru membuat keputusan. Sebaliknya, dia percaya bahawa setiap rezeki telah ditentukan Tuhan.

Terkejut dengan tawaran tersebut, Ilya lantas melontarkan 100 soalan pada wakil syarikat rakaman demi mendapatkan kepastian mengapa dia yang menjadi pilihan dalam kalangan selebriti tempatan.

Dalam nada seloroh serta melepaskan ketawa kecil, Ilya menjelaskan, dia lebih senang sekiranya tawaran tersebut melibatkan masa hadapan kerjaya sebagai pelakon.

“Tawaran tersebut memberikan satu kejutan besar dalam kerjaya seni memandang fokus utama saya adalah bidang lakonan dan bukannya nyanyian.

“Buat masa sekarang saya memilih untuk menolak ‘lamaran’ syarikat tersebut serta meminta agar mereka mencari penyanyi tempatan yang sememangnya menyimpan hasrat untuk mengembangkan bakat ke peringkat antarabangsa,” jelas pelakon kelahiran Ipoh, Perak itu.

Biarpun kedengaran seperti menolak tuah, Ilya yakin keputusan itu adalah yang terbaik kerana dia lebih mengetahui kemampuan sendiri serta tidak mahu menanggung malu sekiranya gagal mencapai standard yang diharapkan di kemudian hari kelak.

Bagaimanapun, keputusan itu masih belum menemui penghujung kerana Ilya akan mengadakan perbincangan dengan penerbit syarikat rakaman berkenaan pada bulan September depan demi memberikan kata putus sama ada menerima atau menolak tawaran mereka.

Tercalon FFM28

Menjadi tahun bertuah buat Ilya, dia tidak hanya menerima peluang mencipta nama di Hollywood, pelakon drama rantaian Tuan Anas Mikael itu turut dicalonkan bagi kategori Pelakon Baharu Wanita Terbaik menerusi filem Suamiku Encik Perfect 10 di Festival Filem Malaysia ke-28 (FFM28).

Sesekali dilihat membetulkan kedudukan tempat duduknya, bibir Ilya tidak pernah lekang mengukir senyuman sehingga menampakkan membariskan giginya yang tersusun kemas.

Mengakui debaran menantikan keputusan pemilik trofi tersebut, bagi Ilya peluang meletakkan nama dalam senarai lima pencalonan berkenaan merupakan satu momen berharga buat dirinya.

Wajahnya tampak tenang menyusun kata dan bibirnya mengatakan tidak meletakkan harapan untuk menang, namun nescaya pemilik nama sebenar, Raja Ramilah Begum Raja Mohamad itu tetap menyimpan hasrat agar tuah berpihak kepadanya.

“Kesemua calon yang bertanding mempunyai kelebihan dan kekuatan masing-masing. Mereka merupakan saingan sengit buat saya sehinggakan sukar untuk menjangkakan siapa bakal memenangi anugerah tersebut.

“Peluang meletakkan nama dalam senarai lima pencalonan terbaik merupakan detik bermakna dan bersyukur kerana segala usaha keras selama ini berhasil,” kata Ilya mengenai anugerah yang bakal berlangsung pada 3 September depan itu.

Ditebak dengan soalan siapakah pelakon yang menjadi pesaing buatnya, Ilya cukup sekadar melemparkan senyuman dan menjadi kenalan rapatnya, Zara Zya (Rembat) merupakan seteru terdekat selain Nur Risteena (Girlfriend Kontrak), Falisha Crosley (Mat Moto) dan Marianne Tan (Ola Bola).

Cinta dua darjat

Menyebut kata dua darjat, perkara awal yang terlintas di fikiran penggemar seni tempatan adalah babak cinta antara Tengku Zaleha dan Ghazali menerusi filem Antara Dua Darjat arahan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee sekitar tahun 1960-an.

Perbezaan darjat antara golongan bangsawan dan marhaen menjadi plot utama sehingga terkena tempias pada kisah cinta Ilya bersama teman lelakinya warga Australia.

Bukan kedudukan yang menjadi pemisah tetapi status perbezaan agama antara Islam dan Kristian membuatkan Ilya membiarkan penamat ceritera cintanya kepada ketentuan takdir.

Dalam nada suara yang sedikit perlahan dan sesekali melepaskan pandangan ke luar jendela, Ilya mengakui meskipun wujud jurang agama antara mereka, dia tetap menyayangi lelaki tersebut.

“Kami menjalani satu hubungan cinta yang kompleks sehingga sukar untuk mentafsir adakah segalanya akan ke gerbang perkahwinan atau tidak,” tuturnya lembut.

Bercerita tentang kesediaan untuk berumah tangga dan memegang status sebagai isteri, Ilya yakin dirinya telah bersedia untuk memikul tanggungjawab tersebut.

Bagaimanapun, Ilya tidak menolak sekiranya hubungan cinta yang dibina hampir tiga tahun lalu putus di tengah jalan, dia reda dan yakin bahawa setiap kejadian itu ada hikmahnya.

“Sekiranya perbezaan agama menjadi faktor utama kami tidak dapat bersama, saya memilih untuk mengundurkan diri daripada hubungan ini.

“Biarpun begitu, saya tetap sayangkan dia. Tambahan kedua-dua belah keluarga turut tidak membantah hubungan kami,” ujar Ilya yang mengharapkan kekasihnya akan terbuka hati untuk memeluk agama Islam kelak.

Fitrah manusia yang hidup secara berpasang-pasangan meskipun kedua-dua saling tidak membangkitkan soal perkahwinan, Ilya tetap menaruh harapan agar hubungan mereka kekal bahagia dan menempuh hari tua bersama.

Post a Comment

Previous Post Next Post