RJ mula dikenali selepas muncul bersama Black menerusi lagu Teman Pengganti.
LELAKI berjambang ini mula mencipta nama melalui lagu Teman Pengganti. Ketika itu, dia menggantikan penyanyi rap, Malique untuk menjayakan lagu nyanyian bersama penyanyi Black.
Berjaya membawakan lagu bahagian rap, dengan baik, nama RJ terus melekat dalam kotak ingatan peminat. Malah, RJ atau Rapper Jambang ini terus menjadi pilihan penyanyi lain yang inginkan khidmatnya menyanyikan bahagian rap dalam lagu mereka.
Antara penyanyi yang memilih berkolaborasi dengan RJ ialah Tasha Manshahar menerusi lagu Terima Kasih Cinta, Raja Ema (Warna Hatiku) dan Ezad Lazim (Hati Mati).
Hakikatnya, dalam kerancakan bergelar penyanyi, lelaki berusia 33 tahun itu sebenarnya masih memegang jawatan sebagai pegawai perhubungan awam di sebuah syarikat rakaman tempatan, Monkey Bone.
Kini, selepas sembilan tahun menjadi pengurus artis, RJ mula mengambil langkah berhenti kerja demi mahu terbang bebas mengejar cita-citanya menjadi seorang penghibur.
KOSMO!: Bila sebenarnya RJ mula berhenti kerja sebagai pegawai perhubungan awam?
RJ: Saya berhenti pada 1 Ogos lalu. Sebenarnya, bukan saya tidak mahu menjadi pegawai perhubungan awam lagi, sebaliknya saya disarankan berhenti kerja.
Mengapa anda disarankan untuk berhenti, adakah anda mempunyai sebarang masalah dengan Monkey Bone?
Pada mulanya saya juga berasa kecewa dan terfikir adakah saya merupakan pekerja yang bermasalah. Sebenarnya, syarikat rakaman tersebut baru sahaja bertukar pihak pengarah pengurusan, dia menyarankan agar saya berhenti kerja dan mengejar cita-cita sebagai penyanyi.
Menurutnya, saya lebih sesuai bergerak sebagai penyanyi. Jika saya meneruskan kerjaya lama, ia mungkin akan menimbulkan sedikit kekeliruan antara saya dan artis yang akan diuruskan untuk sebarang kerja promosi.
Jadi, apa yang membuatkan anda bersetuju untuk berhenti dan fokus kepada nyanyian?
Jika diikutkan, pada mulanya memang saya kecewa kerana sudah sembilan tahun bekerja dan memiliki pendapatan tetap.
Bagaimanapun, tawaran menjadi penyanyi hanya datang sekali sahaja. Perkara itu membuatkan saya menerima saranan tersebut.
Tambahan pula, saya masih bersama Monkey Bone dan berpeluang membuat promosi sendiri.
Bagaimana dengan perancangan anda selepas ini?
Banyak perancangan baharu yang perlu saya buat sejak bergelar penyanyi. Insya-Allah, saya akan tampil dengan single pertama tidak lama lagi.
Saya juga masih mempunyai perancangan untuk bergandingan dengan penyanyi lain mengikut kesesuaian lagu.
Adakah anda yakin kemunculan sebagai penyanyi solo boleh diterima peminat?
Pada mulanya, keyakinan saya sekadar 80 peratus.
Bagaimanapun, kini keyakinan saya meningkat sehingga 100 peratus kerana pengalaman selama sembilan tahun sebagai pengurus artis banyak membantu saya sebagai penyanyi kelak. Malah, boleh dianggap kelebihan buat saya kerana sudah mengenali beberapa nama komposer besar seperti Ajai dan DJ Fuzz.
Jadi, bilakah single pertama anda akan dilancarkan?
Mengikut perancangan, saya akan melancarkan single baharu tersebut sekitar November atau Disember depan. Tajuknya belum ditentukan lagi. Bagaimanapun, disebabkan ia single pertama saya, jadi masa yang panjang diperlukan untuk menghasilkan karya yang berkualiti.
Adakah anda akan membawakan lagu-lagu yang terdiri daripada genre rap sahaja?
Saya tidak kisah apa sahaja genre yang akan dibawakan nanti. Jika lagunya sedap, saya pasti akan menyanyikannya.