SALDANA membuat debut pertamanya di layar perak pada tahun 2000 menerusi filem Center Stage.
TIADA yang lebih membahagiakan aktres terkemuka Hollywood, Zoe Saldana sebaik melahirkan anak kembar lelaki iaitu Bowie Ezio dan Cy Aridio pada November dua tahun lepas.
Tanpa berselindung, Saldana, 38, dan suami, Marco Perego, 37, mengakui, rona kehidupan mereka kini berubah 100 peratus apabila mahu memastikan segala-galanya sempurna buat anak.
Tidak hairanlah, teraju utama filem Guardians of the Galaxy itu cukup obses membesarkan pasangan kembar mereka yang kini sudah berusia dua tahun.
“Pernah suatu hari ketika saya dan suami makan malam bersama rakan-rakan, tiada lain yang diperkatakan oleh saya melainkan cerita mengenai anak-anak.
“Saya juga ada bertanya kepada suami adakah saya terlalu obses dengan anak pada waktu itu. Bukan apa, bimbang juga kerenah saya menjengkelkan teman-teman rapat,” katanya tertawa kepada Allure Magazine baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Saldana yang bakal muncul dalam filem terbaharunya, Star Trek Beyond yang dijangka menjengah pawagam tempatan pada Khamis depan memberitahu, dia pernah berdepan saat-saat getir ketika melahirkan Bowie Ezio dan Cy Aridio.
“Ketika itu, mereka dilahirkan tidak cukup bulan. Saya juga hanya boleh melihat anak-anak sehari selepas mereka dilahirkan.
“Syukurlah mereka berjaya membesar dengan sihat di sebalik apa yang berlaku pada waktu itu,” ceritanya lagi.
Dalam pada itu, Saldana atau nama sebenarnya Zoe Yadira Saldana-Nazario tidak tertekan dengan pandangan skeptikal pemerhati filem Hollywood yang menyifatkan dirinya lambat menyinar tatkala menginjak usia 38 tahun pada 19 Jun lepas.
“Saya tidak peduli dengan usia, bagi saya ia sekadar angka. Yang paling utama, saya harus bijak memastikannya seimbang antara populariti dan keluarga,” ujarnya.
Tidak pernah menetapkan sebarang tempoh sebelum mengundurkan diri daripada pesona kehidupan Hollywood yang penuh glamor, Saldana juga sentiasa bersedia seandainya namanya tidak lagi diingati peminat suatu hari nanti.
“Sebagai manusia biasa, sudah tentu saya gembira sekiranya kehidupan saya membahagiakan. Cuma pada masa sama, pastinya saya akan bosan seandainya saya sentiasa gembira sepanjang masa,” jelasnya.
Menyentuh mengenai wataknya dalam Star Trek Beyond, Saldana menjelaskan dia kekal menjayakan watak sebagai pegawai komunikasi bernama Nyota Uhura seperti mana prekuel filem terdahulu iaitu Star Trek Into Darkness yang ditayangkan di pawagam pada 2013.
“Saya juga gembira apabila kembali bekerja sama dengan muka-muka lama seperti Chris Pine dan Zachary Quinto dalam filem ini,” katanya.