“Kalau Tuhan melancarkan perjalanan itu (berkahwin), saya terima. Pada usia sekarang, saya tidak mahu lagi merancang. Saya ikut sahaja apa yang ditentukan-Nya,” lentur Erra Fazira tatkala kelangsungan hubungannya bersama Shahir dirisik.
Tiada lagi selindung, malah bingkisan hatinya dikongsikan dengan rasa lega setelah status hubungannya bersama Shahir diketahui ramai.
Kisah percintaan dengan beberapa jejaka misteri lenyap apabila hatinya yang dua tahun tidak berpenghuni itu sudah terisi sebuah nama iaitu Shahir.
“Saya selalu berdoa kalau hubungan ini baik untuk saya, keluarga dan agama, lancarkan ia,” tutur aktres jelita itu lagi.
Perbualan kami pada hari itu bertukar tawa ceria, bila diketahui masih ada segelintir yang kurang percaya mengenai pilihan hati Erra itu.
“Sebenarnya pada awalnya saya sendiri tidak menjangka. Dahulu saya ada tetapkan kriteria tidak mahu suami orang, lelaki muda atau yang terlalu kaya.
“Di kala usia sekarang saya tak berani nak adakan kriteria itu lagi dalam hidup. Soal jodoh dengan orang lebih muda itu bukan urusan saya lagi. Saya akan cuba mengelak, tetapi akhirnya perasaan itu tetap kuat ke arahnya,” jelas Erra.
Bukan sebulan dua dia mengukuhkan hati, malah ada rentetan peristiwa dan pengamatan yang diambilnya.
Namun, ciri-ciri yang dimiliki Shahir yang tidak terdapat pada lelaki lain membuatkan diri Erra reda menerima jejaka berusia 28 tahun itu.
“Hubungan kali ini memang sangat berbeza. Kalau nak tahu, kali terakhir saya jumpa dia setahun lebih yang lalu, selepas itu kami berbual menerusi telefon sahaja,” ujar Erra sambil ketawa mengenangkan sesi perkenalan dengan penyanyi Aku Yang Berdosa itu.
Sambung Erra lagi, ketika pada peringkat awal perkenalan dengan Shahir, pernah hati kecilnya berasa was-was dengan hubungan tersebut dan membuka hati menerima orang lain yang hadir dalam hidupnya. Namun, keserasian bersama Shahir juga yang kuat dan aliran perbualan mereka mengalir laju tanpa sebarang sekatan.