Transisi raya Adhwa, Nazrief

PELUANG - Nazrief dan Nadzmi sentiasa mengambil peluang mendekatkan diri bersama saudara-mara, sahabat handai dan peminat semasa Aidilfitri.

SETIAP kali tiba Hari Raya Aidilfitri, pemahaman khalayak terhadap perayaan yang diraikan selepas menunaikan ibadah puasa selama sebulan itu berlingkar dalam satu suasana sambutan penuh kemeriahan.

Seperti sudah dibiasakan, sambutan 1 Syawal juga cukup sinonim dengan perasaan teruja bertemu sanak-saudara di samping menziarah rakan taulan yang sudah lama tidak bertemu.

Begitupun, tradisi yang selama ini diamalkan dilihat semakin terhakis dek perubahan zaman dan transisi masa. Jika dahulu golongan kanak-kanak merupakan kelompok paling teruja menantikan lebaran, namun, kemeriahan tersebut jarang dirasai pada masa kini.

Hal tersebut turut diakui pelakon dan pengacara, Nadzmi Adhwa. Berpeluang melalui musim-musim perayaan pada pertengahan tahun 90-an, pelakon yang lahir pada tahun 1994 itu mengakui merindukan suasana kemeriahan sambutan 1 Syawal suatu ketika dahulu.

“Keluarga saya terdiri daripada empat orang adik-beradik dan keempat-empatnya lelaki. Jadi, sewaktu kami masih kecil suasana pada pagi raya memang meriah. Masing-masing tidak sabar untuk memadankan pakaian baharu dan bertemu saudara-mara di kampung.

“Tetapi, rasa itu tidak ada lagi. Jika ada sekalipun, anak-anak zaman sekarang hanya meraikan kedatangan lebaran dengan duduk di rumah dan bermain gajet serta permainan video,” kata pemilik nama lengkap Nazmi Adhwa Nor Adzmi itu.

Menjadikan rutin menziarah rumah jiran tetangga pada hari raya sebagai amalan wajibnya sewaktu kecil, Adhwa yang mula dikenali menerusi drama Hati Perempuan itu berkata, golongan cilik pada masa kini lebih selesa beraya bersama orang yang mereka kenali sahaja.

“Seperti sudah menjadi trend baharu, saya lihat kebanyakan kanak-kanak sudah tidak mahu keluar beraya.

“Berbanding kami yang teruja mengumpul duit raya daripada jiran tetangga suatu ketika dahulu, mereka lebih selesa menunggu sanak-saudara datang ke rumah untuk memberikan duit raya. Sejujurnya, suasana hari raya waktu dahulu lebih meriah,” katanya yang pulang ke Padang Serai, Kedah setiap tahun bagi menyambut lebaran.

Ditanya mengenai erti di sebalik kedatangan bulan kemenangan itu, jejaka berusia 24 tahun itu menjelaskan, Hari Raya Aidilfitri merupakan satu-satunya perayaan yang membolehkannya bertemu dengan sanak saudara di samping beristirehat sebelum kembali menyambung tugas di ibu kota.

“Bagi saya, tidak ada sebab untuk kita tidak meraikan kedatangan hari raya. Selepas sebulan berpuasa, kita seharusnya meraikan kemenangan dengan orang yang kita sayangi.

“Lagipun, ini merupakan waktu yang sesuai untuk melapangkan minda sebelum kembali sibuk menguruskan kerjaya,” katanya yang kini bergelar pengacara untuk rancangan travelog berjudul Jalan-Jalan Makan Angin.

Sederhana

Berbeza dengan Adhwa, pelakon tinggi lampai, Nazrief Nazri melewati bulan Syawal pada tahun ini dengan suasana yang sedikit redup.

Tidak seperti tahun sebelumnya, Nazrief atau nama penuhnya, Mohamad Nazrief Mohamad Nazri, 25, menyambut ketibaan Syawal hanya beberapa bulan selepas ibu dan bapanya mengambil keputusan untuk berpisah.

Walaupun sedikit terkesan dengan perceraian tersebut, pelakon drama Rumi & Jawi itu positif dan reda ketentuan Allah.

“Sebagai anak tunggal, saya pulang ke Seremban, Negeri Sembilan lebih awal memandangkan ibu saya kini tinggal berseorangan,” kata Nazrief yang banyak menghabiskan masa bersama ibunya, Radziah Idris, 49, sewaktu bercuti di kampung.

Mengenai persiapan meyambut Aidilfitri, Nazrief berkata, sambutan hari raya tahun ini tidak terlalu meriah. Katanya, dia meraikan lebaran dengan secara ringkas dan sederhana.

“Persiapan sambutan hari raya pada tahun ini tidaklah terlalu meriah. Dua pasang baju Melayu sudah memadai. Hal ini kerana, saya banyak menerima hadiah baju Melayu daripada pereka fesyen dan juga rakan-rakan.

“Jika tidak berkesempatan menggayakannya sepanjang hari raya, saya boleh gunakan baju-baju tersebut jika diundang menghadiri majlis rumah terbuka kelak,” katanya.

Hormat

Menyentuh mengenai perancangan hari raya, pada awalnya Nazrief merancang untuk mengadakan majlis rumah terbuka bagi meraikan saudara terdekat dan peminat. Namun, disebabkan ibu dan bapanya telah berpisah, dia terpaksa menangguhkan hasratnya tersebut bagi menghormati kedua-dua belah pihak.

“Kedua-dua ibu bapa saya baru sahaja bercerai dan masih ada saudara terdekat yang belum tahu mengenai perpisahan tersebut.

“Bagi menghormati keluarga, saya mengambil pendekatan untuk tidak menganjurkan rumah terbuka pada tahun ini,” katanya lagi.

Bercakap mengenai pengalamannya beraya sebagai seorang pelakon, Nazrief berkata, walaupun sedikit kekok, tetapi dia tidak melihat perkara tersebut sebagai satu beban buatnya.

“Apabila pulang ke kampung, sanak-saudara pasti tidak terlepas untuk bertanya mengenai perkembangan saya dalam bidang lakonan.

“Biarpun kedengaran agak klise, saya sentiasa terbuka dengan pertanyaan mereka. Maklumlah, saya merupakan satu-satunya yang terlibat dalam bidang seni. Sudah tentu mereka mahu tahu lebih lanjut mengenai karier saya ini,” ujar Nazrief yang bakal memulakan penggambara n drama bersiri terbaharu berjudul Ainur Mardhiyah pada awal bulan depan.

Selain itu, bekas peserta pertandingan Hero Remaja itu juga bakal muncul dengan drama bersiri terbaharu berjudul Lara Terindah.

Post a Comment

Previous Post Next Post