Dira Kami hanya gaduh manja


DirA bersama suaminya, Helmi tidak suka mempamerkan kemesraan rumah tangga mereka di hadapan umum.

Sekitar seminggu lalu, sewaktu umat Islam masih lagi dalam suasana menyambut hari raya, timbul khabar angin tentang pergolakan rumah tangga pelakon dan pengarah, Dira Abu Zahar, 32.

Perselisihan faham yang berlaku antara pelakon drama Dahlia ini dan suaminya, Helmi Yusof, 38, sewaktu bulan puasa dikatakan berpanjangan hingga menyebabkan perceraian.

Namun, pemilik nama sebenar Khaidirah Datuk Seri Abu Zahar ini tampil memberi penjelasan bahawa mereka masih suami isteri dan tidak pernah timbul isu bercerai seperti yang digembar-gemburkan.

KOSMO!: Adakah anda terkejut apabila gosip perceraian anda tersebar dalam laman sosial?

DIRA: Ya, pastinya kerana setahu saya, kami berdua tiada masalah besar sehingga keluar cerita-cerita merepek seperti ini (cerai). Namun saya sudah dapat mengagak, lambat laun pasti akan ada orang membuat anggapan terhadap rumah tangga kami.

Apakah maksud anda perkara ini sudah dijangka?

Saya dan Helmi bukanlah seperti pasangan suami isteri lain yang sering memaparkan kemesraan rumah tangga kepada orang ramai. Kami tidak romantik dan tidak mempunyai gambar-gambar berpelukan di laman sosial kerana itu adalah cara saya dan dia bercinta. Helmi mempunyai pendirian sendiri mengapa kami tidak perlu menunjukkan kebahagiaan rumah tangga pada masyarakat jadi apabila kurang dilihat bersama, mulalah timbul khabar-khabar angin ini.

Jadi sebenarnya tiada apa yang berlaku dalam perkahwinan kalian?

Untuk mengatakan kami langsung tidak bertengkar, itu tidak mungkin kerana bagi saya normal jika suami isteri gaduh-gaduh manja. Namun ia setakat itu sahaja, bukan sampai melibatkan perpisahan.

Adakah selepas ini anda akan lebih terbuka untuk berkongsi tentang kehidupan peribadi anda?

Tidak sama sekali, biarlah hal keluarga menjadi rahsia saya dan suami. Lagipun ini permintaan Helmi untuk tidak mendedahkan cerita rumah tangga kepada orang maka sebagai isteri, saya harus menghormati permintaannya.

Bercerita tentang kerjaya seni, apakah yang membuatkan anda berani mengambil tugasan mengarah teater Mencari Sumaiyah di Istana Budaya pada Ogos depan?

Saya anggap itu sebagai salah satu rezeki terpijak kerana ini kali pertama saya mengarah pementasan teater dan kebetulan ia akan diadakan di pentas berprestij seperti Istana Budaya. Saya berani kerana melihat kerusi pengarah sebagai satu cabaran untuk melihat sejauh mana kreativiti serta kesungguhan saya daripada sudut pengarahan.

Bagaimana dengan bidang lakonan, adakah anda sudah tidak mahu bergerak secara aktif?

Saya sebenarnya bukan tawar hati tetapi sudah penat untuk bersaing dengan bakat-bakat muda yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Jika ditawarkan menjadi watak emak pula, saya tidak yakin mampu bersaing dengan golongan-golongan veteran yang sudah terkenal dengan watak keibuan. Jadi, lebih baik saya fokus kepada bidang pengarahan sahaja. Biarlah kali ini, generasi baharu yang mengambil alih tugasan tersebut.

Post a Comment

Previous Post Next Post